Selasa, 8 Oktober 2019 | 11:00am
- Foto hiasan

Usah gopoh tampilkan calon muda

MINGGU lalu, 14 artis mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Perwakilan Rakyat atau DPR di Indonesia. Mereka sebahagian daripada 575 Ahli DPR yang terpilih dalam Pemilihan Umum (PEMILU) pada 17 April lalu.

Dua artis terkenal Indonesia turut terbabit, iaitu pelantun lagu Mencintaimu, Kris Dayanti dan bekas penyanyi kumpulan Ratu, Mulan Jameela.

Jika di Indonesia, penyertaan artis sebagai calon pilihan raya semakin mendapat tempat. Di Malaysia pula timbul persoalan - apakah kita bakal menyaksikan belia berusia 18 tahun ‘masuk’ pilihan raya dan seterusnya menang lalu mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen?

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November depan menarik persoalan umum, apakah nanti ada calon berusia 18 tahun bertanding.

Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, yang mengumumkan calon berusia 18 tahun boleh bertanding pada PRK Tanjung Piai turut mengundang polemik.

Adakah parti politik berani untuk meletakkan calon muda? Lebih penting, apakah calon berusia 18 tahun ini benar-benar bersedia untuk menggalas amanah sebagai wakil rakyat?

Jika diamati, had umur calon 21 tahun sebelum ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh parti politik. Jarang kita dengar individu semuda 21 tahun diletakkan sebagai calon oleh parti politik, kecuali beberapa kes terpencil.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), calon Bebas yang juga penuntut jurusan undang-undang di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), P Prabakaran memenangi kerusi Parlimen Batu.

Beliau yang berusia 22 tahun menjadi Ahli Parlimen paling muda dalam sejarah politik negara.

Namun, kemenangan beliau sebenarnya kebetulan, iaitu selepas calon pilihan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, ditolak pencalonannya apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan salah terhadapnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, juga terpilih sebagai wakil rakyat di kawasan Pekan, seawal usia 23 tahun. Beliau menang tanpa bertanding pada PRK pada 1976 bagi menggantikan tempat arwah bapanya yang juga Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Berdasarkan dua kes ini, tidak dinafikan calon muda diberikan laluan mudah untuk menang pilihan raya, bahkan kemenangan mereka tidaklah sepenuhnya bersandarkan kekuatan calon pada masa itu.

Bagaimanapun, calon muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 25, terpaksa bertarung untuk kawasan Parlimen Muar dalam PRU-14. Beliau yang kini Menteri Belia dan Sukan menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, Datuk Seri Razali Ibrahim, dengan majoriti 6,853 undi.

Sehingga kini, tidak ada sebuah parti politik pun mengeluarkan kenyataan dan memberikan jaminan akan meletakkan calon berusia 18 tahun. Malah baru-baru ini, ada pemimpin sebuah parti politik memberi sindiran bahawa memilih wakil rakyat bukan memilih pengerusi kelab.

Sudah tentu parti politik mengutamakan calon yang mempunyai pengalaman dan kematangan hidup untuk menjadi wakil rakyat secara berkesan. Tahap pendidikan yang tinggi, iaitu sekurang-kurangnya ijazah pertama perlu dimiliki mana-mana calon untuk memimpin masyarakat yang semakin terpelajar dan kritikal.

Kita juga percaya belia atau remaja berusia 18 tahun sendiri tidak melihat potensi mereka untuk menjadi ahli politik dalam usia terlalu muda. Adalah lebih baik jika mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi terlebih dahulu sebelum menjadi calon pilihan raya, sekali gus merasai sendiri pengalaman berpilihan raya dan berdemokrasi.

Lebih penting, beri mereka peluang untuk menumpukan perkara yang lebih utama dalam hidup seperti menyambung pengajian dan mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan diri serta membantu keluarga.

Untuk menjadi pemimpin yang baik, calon mesti mempunyai tahap ilmu yang tinggi dan mempunyai pengalaman mengenai kehidupan.

Di beberapa negara, seseorang calon hanya boleh bertanding apabila mencecah usia 25 tahun dan pernah membayar cukai pendapatan.

Ini bagi memastikan calon benar-benar bersedia, matang serta mempunyai tanggungjawab sebagai seorang warganegara.

Apabila had umur calon diturunkan kepada 18 tahun, itu bukan bermakna kita perlu memilih seramai mungkin calon muda serta-merta, semata-mata kerana pindaan Perlembagaan.

Ketika kita melaksanakan had umur calon 21 tahun sebelum ini, memilih calon muda (21 tahun) bukan satu tindakan popular oleh parti politik, kecuali kes tertentu yang sangat kecil jumlahnya.

Jika kita mahu melihat calon berusia 18 tahun, biarlah ia berlaku secara organik dan tidak melalui tekanan. Pilihan raya bukan sekadar memilih wakil rakyat yang diberi elaun, tetapi pemimpin dan suri teladan yang boleh dijadikan contoh serta ikutan masyarakat.

Kita seharusnya membuat persiapan dan memastikan hak mengundi belia 18 tahun tertunai terlebih dahulu sebelum meletakkan mereka sebagai calon. Usah terburu-buru.

Penulis adalah Prof Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X