Isnin, 7 Oktober 2019 | 11:00am
ANTARA yang menghadiri majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Hala tuju suntik kesejahteraan ekonomi, sosial belia

WAWASAN Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 perlu disambut baik golongan belia khususnya supaya membolehkan ekonomi terus kukuh dan berkembang.

Meskipun anak muda turut terkesan dengan cabaran ekonomi negara dan dunia, dengan berjimat cermat dan dasar fiskal serta kewangan yang realistik dan praktikal, kita dapat menghadapi cabaran ini dengan lebih berkesan dan berjaya.

WKB 2030 mampu membuka peluang perniagaan serta mewujudkan pekerjaan baharu dan taraf kehidupan rakyat pada umumnya tidak akan terjejas.

Golongan belia umumnya perlu sedar bahawa kestabilan, kemakmuran dan suasana aman damai yang kita nikmati ini adalah satu rahmat besar yang dikurniakan Allah SWT kepada kita.

Maka menjadi tanggungjawab kita semua pula, untuk menentukan supaya keadaan stabil, makmur dan aman ini kekal abadi.

Memang masih ada rakyat yang hidup miskin dan kurang sempurna. Sebab itulah kita perlu terus berusaha. Kerajaan akan terus menjalankan berbagai ikhtiar untuk menghapuskan kemiskinan.

Kerajaan berazam untuk menentukan kehidupan yang wajar dan sempurna untuk seluruh rakyat yang rajin dan sanggup berusaha.

Sebagai bangsa yang sentiasa membuat perubahan dan melaksanakan rancangan yang boleh membawa kemajuan, kita sentiasa berhadapan dengan masalah, tuntutan dan cabaran.

Alhamdulillah, salah faham dan kebimbangan yang timbul daripada hal berkaitan perpaduan dapat diselesaikan menurut cara dan tradisi kita. Kejayaan ini memperkuatkan keyakinan bahawa dengan sumbangan dan sokongan, serta perpaduan rakyat, tidak ada masalah yang tidak dapat kita selesaikan.

Mendalami WKB 2030 seakan-akan menyeru anak muda agar terus bekerja kuat dan mengamalkan etika kerja yang baik. Apa saja usaha baik dan murni yang kerajaan lakukan untuk kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat, perlulah disokong dengan meletak tepi fahaman politik yang berbeza.

Golongan belia perlu hayati konsep ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ dan menerapkan nilai Islam dalam segala bidang kehidupan.

Tidak ada dasar atau konsep dalam dunia ini yang baik 100 peratus. Tentu ada keburukan dan kelemahan padanya. Namun, sebagai makhluk yang boleh berfikir, kita boleh buang yang keruh dan ambil yang jernih.

Dasar dan konsep yang kerajaan tentukan tidak mempunyai banyak aspek yang keruh. Oleh itu, kita tidak perlu menghabiskan masa membahas dengan panjang lebar kebaikan dan keburukan, sementara dasar dan konsep tadi dibiarkan tanpa diamal dan dilaksanakan.

Di samping itu, golongan belia tidak sepatutnya terlalu taasub dengan kebendaan dan mengukur sesuatu semata-mata dari segi keuntungan jangka pendek bagi diri kita.

Golongan belia juga harus berfikir mengenai keuntungan bagi masyarakat dalam jangka panjang. Keuntungan masyarakat akhirnya akan membawa manfaat dan kebaikan kepada kita semua. Orang lain yang perlukan bantuan juga akan mendapat rahmat tanpa mengurangkan nikmat yang kita terima.

Perasaan tamak, jika dijadikan asas kehidupan kita, tetap akan merosakkan masyarakat dan membawa bermacam malapetaka. Oleh itu dalam menjalankan tugas, janganlah kita fikir semata-mata mengenai upahan, tetapi juga terhadap kemuliaan khidmat yang baik dan jujur.

Insya-Allah, kita tidak akan rugi kerana kebaikan dan kejujuran kita.

Berkenaan dengan penerapan nilai Islam, golongan belia jangan hanya tumpukan semata-mata kepada larangan dalam agama, sebaliknya hendaklah kita amalkan tabiat dan sikap baik yang diutamakan Islam.

Kerajinan, amanah, kejujuran, bertimbang rasa dan bertanggungjawab adalah antara nilai yang mulia dalam Islam dan masyarakat Islam mesti mengamalkannya. Bagi yang bukan Islam pula, nilai ini juga dipandang mulia dan tidaklah timbul percanggahan jika mereka juga mengamalkannya.

Dengan ini masyarakat majmuk di Malaysia akan lebih kuat perhubungannya dan segala kebaikan yang datang daripada amalan yang baik ini, akan dikecapi oleh rakyat daripada semua kaum dan agama.

Pada saat menjelang Pembentangan Belanjawan 2020 dan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang menjadi rentetan daripada WKB 2030, marilah kita berganding bahu, bekerja dan menunaikan kewajipan masing-masing dengan tekad dan azam yang lebih kuat.

Matlamat kita ialah mewujudkan satu keadaan di mana setiap rakyat - di mana juga mereka berada - dapat hidup bahagia dan sempurna, serta menegakkan negara Malaysia yang maju dan bermaruah.

Penulis adalah Tokoh Belia ASEAN 2011

Berita Harian X