Isnin, 16 September 2019 | 11:00am
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertukar dokumen Piagam Muafakat Nasional dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil disaksikan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, kelmarin. - Foto Aizuddin Saad

Kesepakatan harus membina bukan menghancur

Dua usaha untuk mencari kesepakatan kebangsaan atau national consensus diumumkan kelmarin. Satu oleh kerajaan dan satu lagi oleh gabungan dua parti pembangkang yang sebelum ini musuh ketat.

Kita sambut baik usaha mencari sebarang kesepakatan kerana ia penting untuk menggembleng seluruh tumpuan dan tenaga rakyat ke arah matlamat memajukan negara.

Namun, bagi memastikan sesuatu usaha benar-benar mendapat kesepakatan di semua peringkat, ia haruslah bersifat terangkum atau inklusif.

Sekali imbas, kedua-duanya iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama dan Piagam Muafakat Nasional, masing-masing menyatakan hasrat ke arah keterangkuman ini.

Namun, jika diteliti, pendekatan yang diambil amat berbeza - mungkin kerana komposisi kelompok yang diwakili mereka.

Wawasan diutarakan kerajaan lebih dilihat meliputi semua kelompok, mahupun dari segi bangsa, wilayah dan kumpulan pendapatan, tanpa meminggirkan mana-mana kelompok pun.

Jelas pendekatan terangkum ini mencerminkan komposisi Pakatan Harapan (PH) yang mewakili semua kelompok di negara ini baik dari segi bangsa mahupun wilayah.

Piagam yang diumum oleh UMNO-PAS pula, lebih berpaksi kepada kaum dan wilayah tertentu di negara ini.

Walaupun ia cuba menunjukkan keterangkumannya dengan menyelit idea tidak menafikan hak kelompok lain, ia tetap memberi gambaran besar bahawa piagam itu lebih berat memperjuangkan satu kelompok kaum.

Berikutan pendekatan yang kurang inklusif ini kita hairan bagaimana PAS boleh seia sekata dengan piagam itu kerana bukankah parti itu sebelum ini menuduh UMNO sebagai ‘assabiyah’ atau perkauman negatif.

Bagi UMNO pula, ia seolah-olah bukan lagi parti yang berwawasan seperti sebelum ini. Tidak ada apa-apa strategi pembangunan spesifik yang diutarakan dalam piagam itu untuk membawa negara ke tahap kemajuan yang lebih tinggi.

Apa yang diluahkan piagam UMNO-PAS itu hanyalah menegaskan apa yang sudah dijunjung dan termaktub dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Setiap parti yang memerintah - baik PH atau Barisan Nasional - memang terpaksa mematuhi falsafah nasional dan undang-undang tinggi negara itu.

Baik dari segi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera lain, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu serta kepentingan sah kaum lain, semuanya harus dipatuhi dan dihormati.

Ini bukan perkara baharu, malah kesepakatan nasional mengenainya sudah sekian lama dipersetujui dan dilaksanakan.

Berbeza dengan kelompongan strategi pembangunan dalam piagam UMNO-PAS, Wawasan Kemakmuran Bersama mengutarakan usaha untuk menstruktur semula ekonomi negara agar ia lebih progresif.

Wawasan itu menamakan beberapa sumber pertumbuhan baharu yang mahu diusahakan. Antara yang menarik perhatian kita ialah hasrat merancakkan penggunaan teknologi pintar dalam sektor pertanian.

Ia menarik kerana rata-rata yang terbabit dalam pertanian adalah orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Dan rata-rata yang ketinggalan daripada arus kemajuan adalah mereka juga.

Kita mahu lihat usaha memajukan pertanian pintar ini benar-benar akan menjadi pengubah nasib atau game-changer kepada kelompok ini.

Kita mahu melihat selepas ini mereka tidak lagi bergantung kepada subsidi, mahupun pemberian wang ihsan. Kita mahu mereka berdiri sama tinggi, megah dan makmur seperti kelompok lain di negara ini.

Negara seperti China, Korea Selatan dan Jepun sudah membuktikan pertanian pintar mampu mengangkat taraf hidup dan martabat penduduk desa dan luar bandar masing-masing.

Kita yakin dengan kesepakatan nasional, perkara yang sama tidak mustahil dicapai di negara kita.

Apa yang penting kesepakatan itu haruslah memasang niat untuk menjurus kepada kebaikan. Kepada sesuatu yang progresif dan membina.

Bukanlah untuk memecah belahkan perpaduan dan menjadi helah untuk meletakkan pihak tertentu berkuasa semula untuk kepentingan sempit dan kepuasan ego mereka.

Penulis adalah Pengarang Kumpulan BH

Berita Harian X