Isnin, 9 September 2019 | 11:00am
PEMBUANGAN sisa toksik di Sungai Gatom di Johor.

Pembangunan lestari tangani isu alam sekitar

SATU demi satu bencana dan tragedi alam sekitar berlaku di Malaysia. Antaranya tragedi Highland Tower, Pos Dipang, isu Gua Tempurung, pembuangan sisa toksik di Sungai Gatom di Johor, isu pencemaran arsenik di Loji Rawatan Air Sungai Ganda di Gerik serta terbaru tragedi Sungai Kim Kim Fasa 1 dan Fasa 2.

Ini tidak termasuk statistik pencemaran sungai, pemusnahan hutan, kemerosotan dalam bilangan hidupan liar dan segala bentuk penjejasan alam sekitar lain.

Isu pencemaran sungai contohnya, 51 sungai dalam kategori tercemar dengan 24 pada Kelas 3 (memerlukan rawatan intensif) seperti Sungai Juru di Pulau Pinang dan Sungai Buloh di Selangor. Ini diikuti 26 sungai pada Kelas 4 (hanya untuk tujuan pengairan) seperti Sungai Segget di Johor dan Sungai Alor Lintah di Kelantan, serta satu lagi Kelas 5 (tercemar teruk) iaitu Sungai Tukang Batu, di Johor.

Natijahnya, semua bencana dan pencemaran terhadap alam sekitar disumbangkan campur tangan keterlaluan manusia, kegagalan mempraktikkan pembangunan lestari, kelemahan agensi penguatkuasaan dan sambutan rendah kalangan masyarakat terhadap gaya hidup mesra alam.

Kegusaran terhadap bencana alam sekitar negara tidak terhenti di situ. Kajian saintis iklim dari Crowther Lab berpangkalan di Zurich, Switzerland seperti dilaporkan Channel News Asia, menambah kebimbangan terhadap pelbagai bencana dan malapetaka alam sekitar yang bakal melanda negara masa depan.

Kajian kumpulan saintis itu menunjukkan menjelang 2050, perubahan pola curahan hujan bakal membawa kepada banjir besar dan episod kemarau akibat peningkatan suhu 1.5 darjah celcius.

Ramalan itu mengundang keresahan memandangkan Malaysia hampir saban tahun dilanda banjir.

Lazimnya, apabila berlaku pencemaran dan kemerosotan kualiti alam sekitar, pelbagai pihak menuding jari satu sama lain. Polemik ‘bangau oh bangau’ ini jelas kelihatan dalam tragedi Sungai Kim Kim, membabitkan semua pemegang taruh sama ada agensi berkaitan, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

Sewajarnya kita mempelajari dan mengambil teladan episod pencemaran terdahulu bagi mengelak ia berulang.

Segala bentuk pengabaian terhadap alam sekitar perlu dikekang, kerana apabila alam sudah tercemar kos merawat dan membaik pulihnya amatlah tinggi.

Pemegang taruh secara kolektif mesti bertanggungjawab menjaga, melindungi, memelihara dan memulihara alam sekitar, selain berusaha mencari kaedah terbaik mengatasi masalah pencemaran dan kemerosotan alam sekitar.

Tempoh 62 tahun mengecapi kemerdekaan seharusnya menjadikan semua cukup matang mengharungi dan mencari penyelesaian terhadap permasalahan alam sekitar, hasil kegagalan kita menguruskannya secara lestari.

Oleh itu tema hari kemerdekaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ sangat bertepatan dengan usaha berterusan memelihara dan memulihara alam sekitar negara daripada diancam kemusnahan.

Saban tahun, kerajaan membelanjakan ratusan juta untuk merawat dan memulihara alam sekitar akibat mentaliti pencemaran minda kalangan masyarakat masih pada takuk lama. Ketika Sungai Kim Kim tercemar pada Fasa 1, sejumlah RM8.4 juta dibelanjakan. Satu jumlah amat tinggi.

Justeru, masyarakat Malaysia perlu turun padang membantu dan tidak sekadar meletakkan tugasan ini kepada kerajaan semata-mata.

Apakah selepas keadaan semakin buruk, baru kita sedar untuk menjaga alam sekitar, memulih semula kawasan atau sungai yang tercemar?

Jika disoroti, melampaui dua dekad konsep kelestarian diperkenalkan di Malaysia, ketidaklestarian dalam pelbagai aspek alam sekitar masih berlaku di negara ini, malah semakin serius.

Selepas 25 tahun Malaysia memeterai agenda pembangunan lestari, isu bersangkut ketidaklestarian, daripada soal mikro seperti isu sampah-sarap kepada isu makro seperti bencana alam seperti banjir kilat, masih menghambat agenda pembangunan negara.

Kita tidak boleh bertangguh lagi. Malaysia memerlukan pendekatan bersepadu membabitkan semua pemegang taruh yang disokong perancangan strategik dan sistematik berteraskan kelestarian dalam menguruskan alam sekitar negara, supaya terpelihara sebaik mungkin.

Konsep pembangunan lestari dicetuskan untuk menangani permasalahan alam sekitar perlu difahami sepenuhnya dan diadaptasi semua pihak sebagai prasyarat memperoleh dan menikmati alam sekitar yang sejahtera, berkualiti dan selamat, selain mengelak lebih banyak episod bencana.

Pihak industri pula tidak boleh sekadar memikirkan untung, tetapi harus bersama-sama memikul tanggungjawab mempertingkat kesejahteraan masyarakat setempat, memelihara sumber asli dan melindungi kualiti alam sekitar.

Semua ini perlu disokong sistem governans berteras prinsip pembangunan lestari dalam proses membuat keputusan, penggubalan dasar serta dalam penyediaan perundangan dan peraturan yang mendasari perancangan pembangunan ke arah kelestarian alam sekitar negara.

Gabungan semua entiti ini mampu mengekang alam sekitar negara daripada terus dicemari atas nama pembangunan.

Penulis adalah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Seosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

172 dibaca
Berita Harian X