Isnin, 2 September 2019 | 11:00am

Warna sebenar Malaysia langkaui batasan kaum

FILEM Seniman Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee berada di carta teratas pilihan saya. Boleh dikatakan keseluruhan dialog dihafal sejak berusia belasan tahun, seperti mana kelaziman jutaan peminat karya seniman agung itu.

Mungkin ramai yang mengingati babak seorang pemuda (Ali Fiji) bertanya kepada pengawal keselamatan berketurunan Sikh mengenai tujuan Ramlee (P Ramlee), Sudin (S Shamsuddin) dan Ajis (Aziz Sattar) yang dilihat datang ke studio.

Ali: “Singh, itu tiga orang apa dia mau?”

Singh: “Dia orang mau cari kerja la...”

Ali: “Itu macam punya muka mau jadi filmstar (pelakon) ka?”

Singh: “You pun satu. Baru orang minta kerja you macam-macam cakap. Apa macam you punya bangsa mau maju?”

Ali: “Ala Singh, you bahasa sama gua nampaknya ni Singh.”

Singh: “Bukan bahasa. You punya nasib you makan, dia punya nasib dia makan. Apa salahkah makan sama-sama?”

Dialognya ringkas, namun tamparannya amat hebat. Perbualan itu sarat mesej tersirat yang terpakai hingga ke hari ini. Ia wajar dijadikan panduan tempoh terpanjang, untuk kita saling terus menghormati ruang dan peluang mencari rezeki tanpa perlu menyimpan iri.

Itu warna hidup bangsa bertamadun dan itu juga cara kita rakyat Malaysia.

Selepas 62 tahun mengharungi suka duka dan jatuh bangun bersama, prasangka yang mengundang curiga semakin jauh ditinggalkan atas kesedaran lebih mudah untuk kita meraikan perbezaan yang menyatukan.

Mutakhir ini, kita banyak diuji dengan percikan bara yang berupaya menggugat keharmonian jika tidak ditangani dengan bijak.

Apa yang lebih membimbangkan apabila nada berbaur perkauman itu datangnya daripada kelompok berpengaruh dan semestinya pantas menguasai pemikiran mereka di sekeliling.

Menarik balik kenyataan selepas teruk dikecam atau mungkin atas nasihat pihak tertentu, bukan penyelesaiannya. Keterlanjuran kata akan diingati untuk tempoh panjang, sekali gus mewujudkan bibit kecurigaan tidak berkesudahan.

Isu pendakwah menimbulkan kontroversi, provokasi polemik tulisan jawi dan beberapa insiden lain secara tidak langsung seakan-akan ‘menenggelamkan’ patriotisme bulan kebangsaan yang sinonim dengan hadirnya Ogos, berlanjutan hingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Satu ketika dulu, kenderaan bertali arus di jalan raya megah mengibarkan Jalur Gemilang pelbagai saiz sebaik kalendar memasuki tarikh 1 Ogos, namun kini Jalur Gemilang menjadi sebutan kerana dipasang terbalik sedangkan bendera kebanggaan itu tinggi kedudukannya.

Sikap acuh tidak acuh seperti itu perlu dinoktahkan. Kita tidak boleh terus-menerus mengulit masalah sama yang hadir dalam acuan berbeza. Kita perlu memberi yang terbaik untuk negara, seperti mana banyak yang dinikmati hasil kemakmuran Malaysia.

Generasi milenium yang membesar dalam ledakan kerancakan teknologi dan perolehan maklumat tanpa sempadan, melihat perpaduan sebagai kunci luar biasa menjadikan anak Malaysia serba istimewa.

Perkongsian positif di media sosial seperti makan minum semeja, kembara bersama, saling membantu menyiapkan tugasan kuliah atau menyokong bakat seni serta kemahiran sesama rakan, menunjukkan mereka memilih untuk mengetepikan perbezaan, seperti mana majoriti rakyat negara ini.

Sikap luhur itu perlu dijaga dan dibajai sebaik-baiknya. Sudah tiba masanya kita melihat gambaran lebih besar melangkaui batasan kaum apabila timbul kegawatan.

Persepsi bangsa merdeka tidak boleh dikongkong dengan takrifan ‘kaum A’ menghina ‘kaum B’ atau ‘kaum Y’ menghina ‘kaum Z’. Tindakan peribadi tidak boleh dipukalkan sebagai suara terbanyak.

Dalam meniti laluan untuk terus maju, Malaysia tidak memerlukan sentimen perkauman dibakar sewenang-wenangnya bagi memenuhi serakah segelintir pihak yang gemar melihat keharmonian retak satu persatu.

Benar bagai dikata, mempertahankan kemerdekaan jauh lebih sukar daripada memperolehnya. Setiap rakyat Malaysia mempunyai bahagian tersendiri dalam memastikan titisan darah, keringat dan air mata pejuang terdahulu terus subur menjadi azimat yang menegakkan kedaulatan tanah air.

Begitu banyak realiti kehidupan boleh dikutip di sebalik filem P Ramlee hingga membolehkan karyanya diterima masyarakat pelbagai kaum.

Kita ketawa melihat ‘apek’ Cina yang mengambil upah wang emas menjahit mayat Kasim Baba (Ali Baba Bujang Lapok) walaupun awalnya cuba menolak, dan suami isteri berketurunan India bergaduh jam tiga pagi gara-gara enggan mencuci najis anak (Seniman Bujang Lapok) hingga mengganggu jiran tetangga sebelum berdamai.

Itulah warna-warni sebenar hidup rakyat Malaysia. P Ramlee mendahului masa apabila meninggalkan kita dengan karya malar segar berserta pengajaran sendiri, mungkin sebagai peringatan akan peri pentingnya sentiasa menghormati tanpa memikirkan perbezaan kaum atau agama.

Puisi ‘Hidup Bersama’ karya sasterawan terbilang, Datuk Seri A Samad Said, ibarat mengelus maksud dan pengisian kemerdekaan tanah air dalam bahagia majmuk masyarakatnya.

Antara lain, Pak Samad menukilkan:

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita; kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.

Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.

Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu, berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa – bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.”

Cerita kita berbeza, namun kasih terhadap tanah tumpah darah sama padunya. Hari ini, rakyat Malaysia wajar mendongak ke langit dan tunduk ke bumi dengan bangga kerana antara ruang itu adalah jiwa anak bangsa yang merdeka.

Dirgahayu, tanah air tercinta!

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian.

320 dibaca
Berita Harian X