Sabtu, 31 Ogos 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Universiti memaknakan kemerdekaan

Pembina bangsa terdahulu tidak hanya mahu kita bermegah dengan kemerdekaan, tetapi mengisinya dengan pembangunan dan kemajuan. Wawasan kemerdekaan negara mesti berpaksikan pembangunan insan dan intelektual sebagai tonggak serta pemangkin kepada Malaysia yang sejahtera dan lestari.

Di beberapa negara kurang bernasib baik, sebuah pen dan buku bagi setiap anak muda sudah jauh memadai untuk melakar masa depan dan memerdekakan kehidupan daripada garis kemiskinan.

Di Malaysia, kita sangat bernasib baik. Kerajaan berbelanja besar, iaitu lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet saban tahun untuk sektor pendidikan, pada peringkat sekolah dan pendidikan tinggi. Jumlah ini sama sekali tidak boleh dianggap satu perbelanjaan semata-mata, tetapi pelaburan jangka panjang.

Pada awal kemerdekaan, kita hanya mempunyai sebuah universiti awam (UA), iaitu Universiti Malaya (UM), kini negara mempunyai 20 UA dan 451 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), selain 36 politeknik dan 100 kolej komuniti.

Mengikut statistik Unit Pengurusan Data, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar (BPPD), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 1,343,830 pelajar (enrolmen) sedang mengikuti pengajian pada pelbagai peringkat di IPT dalam negara.

Kewujudan IPT atau lebih khusus, universiti mempunyai peranan dan sumbangan yang penting. Pembangunan negara bangsa sesebuah negara amat bergantung kepada keupayaan menjana insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Sudah tentu, apabila bercakap soal mengisi kemerdekaan, kita mahu negara tercinta ini dijayakan oleh warganegara yang baik dan boleh menyumbang dalam pelbagai sektor dan perkhidmatan. Kemerdekaan bermaksud, kita bertanggungjawab membangunkan negara bangsa dengan kearifan dan acuan kita sendiri.

Sama juga ketika pejuang watan berkorban untuk kemerdekaan atas rasa tanggungjawab untuk menghalau penjajah bagi mentadbir sendiri bumi pertiwi. Justeru, peranan universiti memaknakan kemerdekaan sangat utuh.

Apabila graduan berjaya dilahirkan, mereka bukan sahaja menjadi tenaga kerja pelbagai sektor, tetapi penyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara. Malah, lebih besar daripada itu, universiti sebagai taman ilmu dan pemikiran, pelajar dipupuk dengan nilai, integriti dan ihsan agar menjadi insan yang manusiawi, bukan tanpa roh hanya jasad.

Melalui kecemerlangan dalam penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran, universiti perlu ke hadapan bukan sahaja dalam apa juga penarafan dan ranking, tetapi bakti kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi, antara faktor menentukan kejayaan sesebuah universiti diletakkan dalam kelompok terbaik dunia adalah berkaitan dengan reputasi di mata umum, khususnya dalam kalangan masyarakat yang menjadi antara penerima manfaat akhir.

Masyarakat dalam konteks penerima manfaat sesebuah universiti meliputi majikan yang mengambil graduan bekerja, pihak kerajaan dan industri yang bekerjasama dengan ahli akademia bagi aktiviti penyelidikan dan konsultansi serta juga ahli komuniti yang membabitkan diri dalam aktiviti pemindahan ilmu dari universiti ke lapangan.

Malah, reputasi ini juga diambil kira oleh QS Ranking dalam menentukan skor ranking universiti di seluruh dunia. Agenda memasyarakatkan universiti atau memperkasa masyarakat melalui pelbagai sumbangan oleh warga universiti terus menjadi penting pada masa hadapan.

Sebagai contoh, menyedari pentingnya usaha membangunkan komuniti dan masyarakat, UPM menyediakan kerangka kerja lebih jelas pada 2013 bagi memandu warganya dalam menjayakan aktiviti jaringan masyarakat dan industri (JIM).

Ini meliputi kaedah pelaksanaan menggunakan model quadruple helix yang membabitkan universiti, kerajaan, industri dan komuniti serta kaedah penilaian impak mengikut sistem kesetaraan bintang kepada semua projek jaringan.

Minggu hadapan, UA tempatan bakal menerima pelajar baharu bagi sesi akademik 2019/2020. Ia pasti satu pengalaman baharu kepada pelajar menguruskan kehidupan dan pembelajaran sendiri. Kehidupan mereka semakin ‘merdeka’ daripada kawalan dan perhatian ibu bapa.

Di kampus, pelajar akan dikelilingi rakan dan pensyarah sebagai mentor. Pembelajaran kendiri yang dipromosi oleh universiti memerlukan pelajar belajar untuk belajar. Dengan faktor kecanggihan teknologi dan status kampus pintar, akses kepada maklumat akan menjadikan pembelajaran mereka lebih mudah pada bila-bila masa.

Pelajar datang dan pergi. Universiti boleh dianggap sebagai pelabuhan ilmu untuk jangka masa tiga atau empat tahun. Dalam tempoh kemerdekaan negara selama 62 tahun, universiti juga sudah memainkan peranan penting sebagai pembina bangsa memaknakan kemerdekaan seperti pembina bangsa terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Salam kemerdekaan ke-62 dan selamat datang pelajar baharu ke menara ilmu. Anak merdeka yang berilmu, berbakti.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM)

207 dibaca
Berita Harian X