Isnin, 26 Ogos 2019 | 11:00am

Nasib UPSR masih dalam teka-teki

TINGGAL seminggu lagi untuk calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menelaah pelajaran dan melakukan latihan sebelum menduduki peperiksaan awam berkenaan.

Mereka akan menduduki kertas Bahasa Melayu pada Rabu minggu depan diikuti Bahasa Inggeris keesokannya.

Peperiksaan akan disambung semula pada 10 September ini untuk kertas Matematik, diikuti Sains pada hari berikutnya.

Setiap ibu bapa sudah pasti membantu mempersiapkan anak masing-masing sejak beberapa bulan lalu dan tidak putus-putus mendoakan mereka agar dapat menjawab dengan baik dalam peperiksaan, sekali gus mampu memperoleh keputusan cemerlang untuk membolehkan mereka memasuki sekolah berasrama.

Apa sahaja keputusannya, usah memberi tekanan kepada anak yang masih hijau dan jauh lagi perjalanan perlu ditempuh dalam hidup mereka.

Mereka ini memerlukan sokongan dan dorongan daripada golongan dewasa, sama ada dari segi mental dan emosi untuk menghadapi cabaran dalam hidup.

Gagal UPSR tidak bererti masa depan mereka sudah gelap atau musnah. Banyak lagi peperiksaan perlu dihadapi sebelum memasuki alam pekerjaan atau melanjutkan pengajian, sama ada ke universiti awam atau institusi pengajian tinggi swasta.

Tambahan pula, UPSR yang mengukur pencapaian dalam pembelajaran mata pelajaran hanyalah satu daripada empat komponen dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), yang kini digunakan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menilai murid.

Tiga lagi komponen ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

PBD ialah penilaian dibuat guru ke atas murid ketika pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc). PAJSK pula menilai aktiviti fizikal dan kesihatan murid serta mengukur pencapaian dalam aktiviti sukan dan kokurikulum, manakala PPsi mengesan kecenderungan murid seperti dalam bidang muzikal, linguistik, logik matematik dan visual ruang.

Ini bermakna kecemerlangan seseorang murid dalam bidang akademik sebenarnya tidak menggambarkan kebolehan menyeluruh kerana banyak potensi lain perlu digilap, apatah lagi tujuan persekolahan dikatakan untuk mencungkil potensi mereka dalam beberapa bidang seperti kesenian, kesukanan, kemahiran atau akademik dan kerohanian.

PPSR yang digunakan sejak 2017 ialah usaha KPM untuk melakukan transformasi pendidikan bagi memastikan kemenjadian murid, berbanding mementingkan keputusan akademik dan berteraskan penilaian peperiksaan sahaja.

Sehubungan itu, tidak hairanlah awal bulan ini, sebulan sebelum bermulanya peperiksaan UPSR 2019, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengingatkan kerajaan dengan mengeluarkan satu kenyataan media untuk memohon memansuhkan UPSR.

Gesaan NUTP itu dikatakan bagi mengelak murid menanggung beban untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, selain mengubah persepsi masyarakat yang menganggap penilaian A sebagai kayu pengukur kualiti seseorang.

Sebenarnya, cadangan memansuhkan UPSR sudah lama dibangkitkan, termasuk oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kini Menteri Dalam Negeri), yang ketika itu turut menjawat jawatan Menteri Pelajaran pada 2010.

Cadangan sama sekali lagi ditimbulkan pada 2016 dengan Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mengakui perbincangan untuk berbuat demikian sudah dilakukan pada peringkat kementerian.

Usaha memansuhkan UPSR sebenarnya menerima maklum balas pro dan kontra daripada masyarakat dengan kebanyakannya menolak cadangan berkenaan.

Alasannya ia masih diperlukan untuk menilai tahap pengukuhan akademik setiap murid.

Penulis secara peribadi bersetuju UPSR dikekalkan supaya murid bersedia dengan pengetahuan akademik yang mantap dan memiliki kemahiran diperlukan sebelum mereka melangkah ke alam sekolah menengah, selain UPSR hanyalah satu daripada empat komponen PPSR.

Bagaimanapun, kajian terperinci perlu dilakukan KPM kini diterajui Dr Maszlee Malik kerana permohonan NUTP itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja memandangkan mereka juga terbabit secara langsung dalam dunia pendidikan.

Sebagai persatuan yang menaungi kira-kira 230,000 ahli terdiri daripada pendidik, pastinya mereka lebih mengetahui natijah daripada permohonan berkenaan seperti kata peribahasa, jauhari juga yang mengenal manikam.

Mungkinkah UPSR kali ini adalah yang terakhir? Setakat ini, KPM masih belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan untuk memansuhkan peperiksaan berkenaan. Nasib UPSR masih dalam teka-teki sehingga kini.

Penulis adalah Penolong
Pengarang Pendidikan,
Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP

Berita Harian X