Jumaat, 23 Ogos 2019 | 11:00am
Zakir ilmuwan Islam wajar dihormati. - NSTP/Saddam Yusoff

Hormat ilmuwan walaupun tak bersetuju

Dr Zakir Naik ialah seorang ilmuwan Islam. Oleh itu, umat Islam wajar menghormati beliau. Agama Islam menganjurkan umatnya menghormati orang berilmu. Banyak firman Allah SWT dalam al-Quran yang menekankan perkara ini.

Antaranya, al-Quran meminta orang ramai membandingkan perbezaan kedudukan dan keperibadian orang berilmu dan orang yang tidak mempunyai ilmu atau jahil. Malah, Nabi Muhammad SAW menyatakan golongan ulama ialah pewaris nabi.

Penerimaan umat Islam di Malaysia terhadap Zakir ialah kerana ilmu dimilikinya. Asal usul kelahiran dan keturunannya bukan faktor penerimaan terhadap beliau. Zakir diterima dan dihormati di dunia Islam, termasuk di Malaysia kerana beliau dianugerahkan Allah SWT ilmu yang luas mengenai agama Islam dan hakikat agama lain.

Penguasaan ilmu mengenai agama ini menjadikan beliau unik dan dihormati kerana tidak ramai dalam kalangan umat Islam mempunyai kelebihan sama. Bersandarkan neraca keutamaan ilmu dalam Islam, kedudukan Zakir mesti dihormati kerana beliau diakui tergolong dalam kalangan orang berilmu.

Umat Islam mendapat banyak manfaat daripada ilmu dimiliki beliau, terutama dalam memahami agama Islam itu sendiri. Bagi umat Islam yang memahami neraca kedudukan ilmu dalam Islam, mereka pasti menghormati Zakir dan berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang tidak menunjukkan sikap penghormatan kepada ilmuwan Islam.

Seorang Muslim yang memahami aturan dan beramal dengan akhlak terhadap ulama, pasti tidak akan sesekali mengeluarkan kata-kata secara terbuka yang boleh merendahkan kedudukan ahli ilmu, apatah lagi menganjurkan beliau ‘dihalau’ dari negara ini.

Seorang ulama dalam neraca ajaran Islam adalah insan biasa yang boleh terdedah kepada kelemahan, sama ada perbuatan, sikap dan tutur kata. Ulama bukan seorang yang sempurna serta bebas daripada kesalahan dan dosa.

Oleh itu, ajaran Islam mendidik akhlak dalam menegur sesuatu kesalahan yang barangkali dilakukan seseorang ulama. Teguran umat Islam terhadap seseorang ahli ilmu perlu beradab dan tidak mengaibkan.

Ajaran akhlak terhadap golongan ulama amat halus dan lemah lembut. Seorang ulama sebenar akan menerima teguran dan bersedia membetulkan kesalahan. Sikap sesesetengah umat Islam yang menegur Zakir dengan kata-kata kesat tidak melambangkan akhlak dan keperibadian Islam yang sebenar dan amat mendukacitakan.

Umat Islam dinasihat supaya tidak terpengaruh dengan cara berfikir masyarakat sekular yang tidak berpegang kepada agama dalam menilai dan memberikan sikap kepada golongan ulama.

Bagi umat Islam yang terlanjur perkataan mereka dalam memberi reaksi terhadap isu Zakir dinasihatkan tidak mengulangi perbuatan sedemikian apatah lagi sekiranya seseorang itu pemimpin masyarakat.

Dalam hubungan ini, masyarakat bukan Islam di negara ini juga dinasihatkan menghormati perasan umat Islam. Mereka boleh tidak bersetuju dengan Zakir, namun hendaklah dilakukan dengan cara terhormat.

Penulis adalah Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

4858 dibaca
Berita Harian X