Sabtu, 10 Ogos 2019 | 11:00am

UiTM utama kepemimpinan cemerlang

Sekarang ini, pelbagai transformasi pendidikan tinggi global berlaku dengan begitu pesat sekali. Arus ledakan globalisasi menjadi daya penggerak yang membentuk hala tuju baharu pengajian tinggi dunia. Hala tuju baharu ini juga melahirkan beberapa aliran baharu seperti globalisasi, mobiliti, kolaborasi, evolusi dalam pembelajaran dan pengajaran serta penggunaan teknologi yang maksimum.

Hari ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang cemerlang dengan memiliki lebih 500 program akademik di 35 kampus seluruh negara. Pada masa sama, UiTM juga sebuah universiti komprehensif yang menawarkan kepelbagaian program dengan mewujudkan sinergi gabungan antara bidang khususnya dalam penyelidikan.

Malahan, sistem pengajaran dan pembelajaran di UiTM diterapkan elemen yang menggalakkan aktiviti keusahawanan. Dalam konteks ini, kaedah pengajaran dan pembelajaran ditingkatkan selaras perkembangan teknologi terkini.

Hakikatnya, UiTM bukan sahaja berjaya menghasilkan graduan berketrampilan, serba boleh dan hands-on, tetapi mempunyai tahap dan kemampuan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, yang menjadi salah satu faktor menyumbang terhadap kebolehpasaran graduan.

Seiring anjakan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang memberikan revolusi baharu dalam sistem pendidikan tinggi, UiTM tidak ketinggalan menerima impak perkembangan ini. Justeru, kepakaran yang ada di universiti kini, perlu digunakan dan dikongsi bersama untuk manfaat masyarakat, ke arah meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup lebih baik.

Usaha ini akan membantu menjadikan UiTM sebagai universiti berteraskan penyelidikan, keusahawanan, inovasi dan penerbitan.

Walaupun UiTM mencipta sejarah dengan pelbagai kejayaan berimpak tinggi dan ada antaranya pencapaian pertama di Malaysia dan mengharumkan nama universiti pada peringkat global, UiTM akan terus meningkatkan penarafannya sebagai penanda aras kemajuan dan penjenamaan organisasi.

Dalam konteks ini, UiTM akan meneruskan dasar dan inisiatif yang baik oleh pemimpin UiTM sebelum ini. Selain itu, beberapa pendekatan kepemimpinan akan ditekankan yang antaranya mengkhusus ke arah melahirkan pemimpin dan staf berprestasi tinggi.

Menurut Profesor Shelda Debowski dalam bukunya, The New Academic, selain daripada kekuatan penyelidikan, kecemerlangan pengajaran dan kolaborasi antarabangsa, seorang ahli akademik yang unggul perlu memiliki daya kepemimpinan tinggi.

Justeru, kriteria baharu dalam pelantikan jawatan akademik dalam kalangan pentadbir akademik seperti rektor dan dekan akan diperkenalkan. Lantikan baharu (pentadbir akademik) akan memberi keutamaan kepada profesor yang mempunyai kesarjanaan dalam bidang masing-masing, yang secara langsung dapat memberikan contoh baik kepada ahli akademik lain.

Keupayaan mereka untuk memimpin transformasi juga akan diambil kira. Di samping itu, lantikan berkenaan hendaklah hanya dalam tempoh tidak lebih daripada dua penggal. Satu penggal adalah tempoh terlalu singkat untuk berbuat apa-apa, manakala tempoh tiga penggal adalah dikira terlalu lama memegang sesuatu jawatan.

Kriteria ini diperkenalkan sebagai usaha untuk membangun kepemimpinan akademik yang cemerlang dan mempunyai ciri kepemimpinan baik.

Seseorang itu mungkin terlalu berasa selesa dengan jawatan terbabit apabila terlalu lama memegangnya. Ini semua terjadi mungkin kerana jawatan itu mempunyai bidang kuasa besar, berprestij, mendapat sokongan pentadbiran dan adakala mempunyai ‘faedah’ tersendiri. Sifat sebegini yang kita tidak mahu ada dalam kepemimpinan sesebuah organisasi.

Jim Collins dalam bukunya Good To Great menyatakan bahawa seorang pemimpin hebat perlu mempunyai keperibadian yang rendah hati dan tekad keprofesionalan tinggi. Mereka seharusnya mempunyai sifat yang ingin sentiasa membangun organisasi secara holistik dan tidak hanya mengutamakan kepentingan peribadi semata-mata.

Pemimpin hebat ini, perlu lebih bersikap terbuka untuk menerima pandangan, bantuan dan sokongan daripada staf dalam mencapai kecemerlangan bersama untuk organisasi.

Pemimpin yang hebat juga mesti menyediakan pelan penggantian lebih teratur, bagi memastikan kelangsungan organisasi, supaya dapat merealisasikan kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan. Kepemimpinan adalah penentu kepada hala tuju organisasi dan pemimpin yang berperanan sebagai pembimbing dan penggerak kepada stafnya bagi mencapai matlamat organisasi.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)

1146 dibaca
Berita Harian X