Rabu, 7 Ogos 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Mengapa pertikai tulisan Jawi, seni khat?

KEPUTUSAN kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal. Tahniah. Ia usaha untuk memartabatkan kecemerlangan dan kegemilangan pendidikan mengikut acuan dan citra tersendiri.

Kita perlu menerima perubahan ini dengan minda terbuka selaras dengan Malaysia Baharu. Tidak perlu beremosi, apatah lagi berdemontrasi.

Baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat seluruh sistem pendidikan termasuk SJK Cina dan Tamil adalah kekal yang akan bermula tahun depan.

Pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta agar tidak mempolemikkan isu penggunaan tulisan Jawi dan khat dalam buku teks di semua sekolah dalam negara kerana keputusan ini dibuat meliputi semua aspek dan sudut pandangan.

Ini kerana mempelajari tulisan itu tidak akan menggugat pegangan agama seseorang. Ramai cerdik pandai yang menguasai pelbagai bahasa di dunia, tetapi tidak pula mengubah pendirian terhadap agama mereka.

Usaha yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan ini dilakukan dengan penuh kesedaran bahawa tulisan dan seni khat ini adalah khazanah Malaysia. Anak-anak kini, malah segelintir orang Melayu sendiri pun sudah melupai tulisan Jawi dan khat yang menjadi aspek seni.

Bukan berniat untuk mengislamkan sesiapa. Untuk rekod, tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui di Nusantara. Tulisan ini berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai, kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17.

Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat di Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M. Tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19.

Ini menunjukkan tulisan Jawi sudah bertapak ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi bagi Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu ketika penguasaan British.

Semua perjanjian ditulis dalam tulisan Jawi bukan sahaja di Nusantara, malah dengan Portugis, China, Belanda dan Inggeris. Kegemilangan tulisan Jawi sehingga negara lain akur dan memahami tulisan Jawi untuk berdagang dengan Melaka, Kerajaan Pasai atau Aceh. Malah, ufti dan dokumen berkaitan hubungan dengan Tanah Besar Cina ditulis dalam tulisan Jawi.

Jadi apa isu sebenarnya, sedangkan usaha ini adalah transformasi pendidikan yang dibentuk dalam misi kerajaan baharu untuk mengantarabangsakan lagi segala khazanah yang kita mula lupakan. Kalau di Ireland mewajibkan semua pelajar mempelajari bahasa Irish, dek menyedari keutamaan kepada negara, kenapa tidak di Malaysia.

Setelah dijajah oleh Inggeris, Ireland tidak lagi menggunakan bahasa Irish, kecuali yang tua-tua. Maka, sejak akhir-akhir ini Ireland dan Scotland serta beberapa negara Eropah memperkenalkan bahasa ibunda agar tidak ditelan zaman.

Begitu juga jiran kita di utara, mewajibkan bahawa bahasa Siam kepada semua pelajar, baik berdarah Siam atau Tionghua menjadikan negara mereka mempunyai identiti dan citra yang unik. Wujudnya keseragaman dan berkongsi nilai yang sama seperti yang berjaya dilakukan di Indonesia.

Di sinilah wujudnya kepelbagaian dalam kesaksamaan. Mungkin juga pada masa akan datang, tulisan dan kaligrafi Cina dan Tamil boleh diperkenalkan menjadikan pembelajaran suatu yang menarik. Akibat daripada kita ‘mengetepikan’ kepentingan tulisan Jawi dan khat, maka kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu kebanyakannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Oleh itu, belum lagi terlambat untuk kita bangun daripada lamunan. Bahawa perubahan yang akan dilakukan sudah tentu difikirkan semasak-masaknya oleh pihak berwajib. Suatu ketika dahulu pelajar sekolah rendah diminta untuk membawa sempoa, alat kira bagi kaum Cina di sekolah. Tiada bantahan pun ketika itu.

Malah, masyarakat Melayu menyambut baik perkongsian sebegini. Khat dan tulisan Jawi adalah seni yang tidak mempunyai kaitan dengan aspek keagamaan. Kerajaan tidak pernah menghalang kaum lain mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan negara ini istimewa dalam kepelbagaian.

Penulis adalah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA

531 dibaca
Berita Harian X