Selasa, 6 Ogos 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Mata wang kripto global pasca bitcoin

SEJAK kegagalan bitcoin untuk bertahan sebagai pilihan kepada sistem pertukaran mata wang, minat kepada mata wang kripto seperti menurun apatah lagi dalam kalangan ahli perbankan Islam, berikutan fatwa yang melarang penggunaannya.

Masalah menimpa bitcoin dikatakan berpunca daripada ‘volatiliti’ (kemeruapan) yang tinggi. Akibatnya ramai pelabur atau pengguna mata wang berkenaan mengalami kerugian. Begitu juga kos tinggi untuk melombong mata wang berkenaan kerana jumlah ‘galiannya’ berkurangan.

Ini ditambah keengganan banyak regulator untuk memberi pengiktirafan kepada statusnya dan seterusnya menyebabkan kurangnya kerjasama daripada institusi kewangan tradisi untuk membabitkan bitcoin di dalam urus niaga mereka.

Namun, kemelesetan bitcoin tidak menjadikan inovasi mata wang kripto terutama penggunaan teknologi blockchain sesuatu yang ditolak pelabur. Malah ia dilihat peluang perniagaan menguntungkan pada masa hadapan.

Ruang ditinggalkan bitcoin pada masa kini dipenuhi perniagaan e-wallet atau e-dompet. Perkhidmatan ditawarkan berkonsep hampir sama, iaitu kos murah dan mudah, serta bertindak sebagai pengantara antara penjual dengan pembeli melalui penggunaan teknologi atas talian terutama telefon pintar.

Beza antara e-wallet daripada bitcoin ialah mata wang digunakan masih wang fiat dengan kerjasama institusi perbankan atau kewangan yang akan menyalurkan wang pengguna ke dalam akaun pengendali e-wallet (sungguhpun kini terdapat perkhidmatan e-wallet dibuat tanpa pembabitan sistem perbankan).

Terdapat beberapa kritikan terhadap kesahihan atau keharusan e-wallet ini daripada perspektif hukum Syariah.

Sungguhpun diakui beberapa perkara boleh dipertikaikan terutama bagaimana wang disalurkan akan digunakan pengendali e-wallet, namun ini bukanlah masalah besar.

Mengikut polisi perbankan Islam sedia ada di Malaysia, wang berkenaan boleh disifatkan sebagai qard atau hutang yang mana boleh dituntut pemberi pinjaman pada bila-bila masa.

Cuma bezanya tuntutan dibuat itu bagi tujuan pembayaran bagi pihaknya. Asas kritikan pandangan berkenaan ialah memahami wang dipegang oleh pengendali e-wallet dianggap sebagai simpanan atau mungkin satu bentuk pelaburan. Oleh itu penggunaannya tertakluk kelulusan pemilik wang berkenaan.

Dalam akad qard tiada sebarang keizinan diperlukan. Tinggal lagi masalah kemudahan ditawarkan pengendali e-wallet apakah itu dianggap faedah yang dilarang?

Bagi penulis itu adalah satu bentuk qardul hasan yang dibenarkan. Jika pun hujah ini tidak diterima, perkara ini perlu dilihat kepada kemaslahatan lebih besar iaitu memberi kemudahan kepada masyarakat dan tiada sebarang penipuan, penindasan dan kezaliman berlaku.

Ini semua dasar dan asas utama Syariah Islam pada sesuatu perkara yang tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram melalui nas al-Quran dan as-Sunah.

Perkembangan teknologi atas talian dan kepesatan perniagaan antarabangsa menyebabkan idea cuba dibawa bitcoin iaitu menawarkan sistem mata wang di luar sistem perbankan, tidak dapat diabaikan pelabur.

Dengan mempelajari kegagalan bitcoin dan kejayaan atau populariti e-wallet terutama jenama seperti Alibaba dan WeChat menyebabkan terdapatnya usaha untuk mengembalikan idea bitcoin ini dalam bentuk baharu.

Pada Jun lalu pengendali laman sosial Facebook mengumumkan akan melancarkan mata wang global kripto bernama Libra.

Bagi Facebook sudah sampai masanya mata wang global diwujudkan bagi tujuan perniagaan antarabangsa yang tidak dikawal institusi perbankan.

Sudah tentu Facebook mempunyai kedudukan strategik dan kelebihan untuk melancarkan mata wang ini kerana mempunyai jumlah pemilik akaun dan pelawat yang ramai di seluruh dunia.

Bagi mengelak masalah dihadapi bitcoin, mata wang baharu ini akan ditetapkan atau ditambat nilainya dengan mata wang antarabangsa sama ada dolar Amerika Syarikat (AS$) atau euro, serta bon kerajaan bagi mengelak kemeruapan.

Seterusnya, bagi tujuan ketelusan tadbir urus, mata wang baharu Libra akan membabitkan banyak pihak sebagai pengasas bersama seperti syarikat kad kredit, syarikat perniagaan atas talian, syarikat telekomunikasi atau badan yang terbabit dengan perniagaan atau urusan wang dalam talian.

Langganan mata wang ini terbuka kepada semua yang mempunyai kemudahan dalam talian dan peranti telekomunikasi pintar atau komputer.

Bagi menjadikan mata wang ini menarik, ia akan menawarkan kos atau fi lebih rendah daripada sistem perbankan serta dijamin keselamatannya melalui penggunaan teknologi blockchain.

Mata wang kripto Libra dirancang pelancarannya pada pertengahan 2020. Adalah menarik untuk melihat reaksi dan respon ahli perbankan Islam terhadap mata wang baru ini kerana ia berbentuk disentralisasi dan tidak terikat mana-mana bank pusat.

Ini antara sebab fatwa melarang penggunaan bitcoin. Adalah diharapkan fatwa atau resolusi yang akan dikeluarkan nanti bersifat positif dan membina.

Penulis adalah Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademik Pengajian Islam Univerisiti Malaya (UM)

Berita Harian X