Ahad, 4 Ogos 2019 | 11:00am
GAMBAR fail, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Buku Harapan di Majlis Pelancaran Menifesto Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam pada 8 Mac 2018. - Foto Roslin Mat Tahir

'Jangan biarkan api dalam sekam'

Perkembangan mutakhir baik dalam apa saja, bukan hanya politik agak merimaskan. Yang satu agama berbalah atas pendirian politik yang dianutinya, yang berlainan agama pula ada kalanya dilihat tidak sensitif sehingga ke tahap melangkaui garisan yang tidak boleh dimasuki.

Batu api ada di mana-mana. Dalam parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) banyak pemimpin ‘musang berbulu ayam’ yang menanti peluang dan ruang untuk membuat kemunculan semula atas tiket pertubuhan yang baharu bagi meneruskan perjuangan ‘bos’ lama yang kerap dilihat memperagakan motosikal Y15ZR atau Ysuku.

Semakin ramai orang sebegini menggunakan media sosial bagi memastikan dirinya tidak hanyut dengan menimbulkan pelbagai isu atau tawaran, kononnya mahu mencari kebenaran. WhatsApp atau Facebook (FB) kini penuh dengan posting politik memualkan, apatah lagi kebenarannya diragui dalam menjulang pemimpin masing-masing.

Perjuangan membentuk Malaysia Baharu yang diuar-uarkan ketika ini seperti dipesongkan oleh pemimpin politik oportunis yang dilihat lebih banyak memperjuangkan kepentingan kaumnya, sehingga ke tahap mencampuri dasar dan persefahaman yang dipersetujui sebelum ini oleh pemimpin di antara tiga kaum terbesar di negara kita. Isu agama semakin membarah apabila ada pihak yang berkepentingan didakwa mendahului sistem perundangan, perbuatan menghina Rasulullah SAW semakin menjadi-jadi, selain tulisan khat atau Jawi pun dianggap mahu mengajar anak mereka masuk Islam sehingga timbul wakil rakyat berpakat membantah.

Penulis yang memasuki sekolah rendah ketika zaman peralihan pada 1970 daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia (Melayu) amat merindui zaman tenteram ketika bersama-sama rakan berbangsa India dan Cina duduk semeja makan bersama ketika waktu rehat, sambut Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali bersama-sama tanpa ada rasa khuatir soal makanan, halal atau haram atau dipengaruhi bertukar agama.

Sayang sekali, anak atau sesiapa saja sezaman penulis tidak lagi dapat menikmati suasana sebegini atau melihat Ahmad, Ah Seng dan Muthu berjalan seiring ke sekolah atau makan bersama akibat fobia masuk Melayu atau Islam yang dijaja pemimpin politik kepartian dan pandangan ekstrem segelintir ‘ahli agama’ yang suka menjatuhkan hukuman kafir dan haram.

Kesannya sudah dapat dilihat sekarang. Masyarakat di Malaysia sudah menjadi terlalu sensitif, perkauman yang menakutkan, curiga-mencurigai dan suka test market dengan permintaan dan desakan untuk kepentingan kaumnya sehingga ke tahap melanggari batas susila.

Belum pernah lagi arahan cuti umum untuk pekerja dikeluarkan kerajaan dipertikaikan oleh syarikat. Satu kes terpencil yang tular yang masih dalam siasatan sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seharusnya membuka mata semua pihak bahawa ia bukan perkara mainan.

Jika terbukti benar dan sahih arahan yang ditularkan itu, kerajaan harus mengambil tindakan sekeras-kerasnya bagi menjadikannya sebagai pengajaran serius kepada mana-mana pihak. Permohonan maaf bukan alasan untuk melepaskan diri.

Apatah lagi meminta maaf kini sudah menjadi budaya atau melepaskan diri daripada tindakan dalam masyarakat politik di Malaysia, selain syarikat yang didakwa ‘memperbodohkan’ satu bangsa di Pulau Pinang, tidak lama dahulu.

Isu dilarang bersolat ke atas pekerja Islam oleh majikan bukan Islam dan pekerja wanita dilarang berhijab oleh sektor perhotelan memperlihatkan masih ramai majikan di Malaysia naif atau tidak peduli dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada, baik dari segi agama dan pekerjaan.

Tindakan ‘menyapu sampah di bawah permaidani’ bukanlah pendekatan baik dan tuntas dalam mendepani isu sebegini. Penafian oleh mana-mana pihak dalam kes larangan bersolat seharusnya diteliti dan disiasat seteliti mungkin.

Pihak berkuasa agama, polis dan kementerian berkaitan perlu turun padang dan mengambil tindakan wajar dan keras jika sahih ia berlaku. Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru. Sebagai sebuah negara yang pelbagai kaum, sikap bertoleransi perlu ada pada setiap diri rakyat. Isu yang mahu dibangkitkan perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat.

Mana-mana pemimpin, khususnya dalam kerajaan perlu mengelak daripada dilihat menjuarai kepentingan sesuatu kaum. Keputusan yang dibuat Perdana Menteri, mahupun diputuskan Kabinet seharusnya tidak dipertikaikan dan tidak dibincangkan secara terbuka dengan mana-mana pemimpin parti diwakilinya.

Isu membabitkan pendakwah dari India yang kini mendapat status penduduk tetap negara ini tidak seharusnya menjadi duri dalam daging. Tidak dinafikan wujud langkah bersepadu dibuat oleh pihak tertentu untuk menyingkirkan penceramah itu dari negara ini.

Biarlah kerajaan mendepaninya, bukan mendesak sehingga ke tahap keterlaluan sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang Islam. Tindakan individu tertentu, termasuk peguam mengapi-apikan isu penceramah berkenaan bukanlah langkah yang bijak kerana ia akan mewujudkan tindak balas.

Jangan disimbah minyak ketika api masih kecil, sebaliknya dipadamkan segera bagi mengelakkan ia membahang. Penulis berpendapat tidak perlu pun mana-mana pihak untuk memanaskan keadaan dengan menunjukkan solidariti melalui perhimpunan besar-besaran seperti yang mahu dilakukan PAS pada Jumaat depan, selain pemimpin politik, terutama bukan Islam belajar tutup mulut daripada mengulas isu ini yang kesannya amat besar jika tidak dibendung dari awal lagi.

Cukup-cukuplah berpolitik, rakyat sudah letih dan mahukan sebuah kerajaan terbaik. Rakyat sudah memilih PH.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Pengeluaran Berita Harian

653 dibaca
Berita Harian X