Jumaat, 2 Ogos 2019 | 11:00am
UMAT Islam dituntut melakukan ibadat menyembelih binatang ternakan sempena pengorbanan agung dilakukan Nabi Ibrahim AS terhadap anaknya, Nabi Ismail AS. - Foto hiasan

Serlahkan syiar Islam melalui ibadat korban

MENJELANG Aidiladha, umat Islam dituntut melakukan ibadat menyembelih binatang ternakan sempena pengorbanan agung dilakukan Nabi Ibrahim AS terhadap anaknya, Nabi Ismail AS.

Aktiviti ini biasanya bermula selepas solat sunat Aidiladha dan berlanjutan selama tiga hari tasyrik berikutnya. Umat Islam berkemampuan digalak melakukan ibadat korban dengan menyembelih unta, lembu, kambing atau mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli satu per tujuh daripada bahagian unta atau kambing.

Persoalannya, sanggupkah kita berkorban untuk mengeluarkan perbelanjaan demi menunaikan ibadat itu tahun ini?

Perkara ini sepatutnya bermain di benak pemikiran setiap individu Muslim berkerjaya dan mempunyai lebihan pendapatan. Tak kiralah bekerja sendiri atau makan gaji, sama ada di sektor kerajaan atau swasta.

Ia sepatutnya sudah termasuk dalam bajet tahunan untuk beribadat, yang disiapkan sejak awal lagi.

Walaupun hukum melakukan ibadat korban sunat muakkad menurut kebanyakan ulama, selayaknya ia tidak dijadikan alasan untuk mengelak daripada menyembelih binatang korban sekali seumur hidup berdasarkan pendapat Imam al-Syafie.

Adakah selepas hampir setahun kita menikmati segala rezeki kurniaan Ilahi, apabila disuruh berkorban ada yang seolah-olah tidak tahu ataupun mencipta bermacam-macam alasan.

Disebutkan dalam riwayat betapa orang yang melakukan ibadat ini akan diampunkan dosa lalu sebanyak bulu binatang dikorbankan.

Nabi Muhammad SAW turut bersabda yang bermaksud; “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korban kamu. Sesungguhnya ia mengampunkan kamu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang kamu lakukan. Katakanlah, Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal (berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya). Lalu seorang sahabat bernama Imran berkata, Ya Rasulullah, adakah amalan ini khusus untuk kamu dan ahli keluargamu atau untuk umat Islam seluruhnya? Baginda menjawab, bahkan ia untuk seluruh umat Islam” (Hadis riwayat al-Tabrani).

Ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri. Ia sebahagian daripada syiar Islam yang sepatutnya dibudayakan dalam kehidupan setiap Muslim.

Ini menunjukkan nilai ketinggian dan kemuliaan Islam sebagai satu-satunya agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT.

Selayaknya setiap kariah dan penduduk setempat mengagungkan syiar agama ini demi memartabatkan Islam dan memelihara kesuciannya.

Melalui ibadat korban juga hubungan ukhuwah sesama Muslim dapat diperkukuhkan sepanjang masa. Kebiasaannya seluruh penduduk akan bekerjasama, bergotong-royong membantu urusan penyembelihan, melapah dan akhirnya mengagihkan daging korban.

Kemeriahan pagi 10 Zulhijjah turut dirasai golongan fakir dan miskin yang mendapat daging korban, sekali gus mewujudkan nilai saling bantu-membantu yang sangat dituntut dalam agama.

Ibadat korban juga menunjukkan bagaimana kaum Muslimin dapat menzahirkan tanda kesyukuran atas pelbagai nikmat kurniaan Ilahi.

Ini termasuk mengeluarkan sebahagian daripada gaji atau pendapatan diperoleh bagi tujuan infak semula ke jalan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud; “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Justeru seluruh kaum Muslimin yang berkemampuan diajak melaksanakan ibadat korban sempena Aidiladha tahun ini. Peluang melakukannya terbuka luas di depan mata.

Bagi yang ingin berkorban dengan bajet minimum bolehlah memilih berkorban di negara minoriti umat Islam melalui agensi dipercayai. Selain dapat membantu meringankan kesusahan mereka, kos berkorban di negara berkenaan juga jauh lebih murah berbanding di tanah air.

Dengan anggaran harga antara RM200 hingga RM500 untuk satu bahagian lembu, tentulah ia peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan.

Namun, diingatkan berhati-hati memilih pihak yang menguruskan ibadat korban di luar negara. Boleh jadi hendakkan yang murah, tetapi ditipu oleh pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan lumayan atas sifat dermawan masyarakat Islam di Malaysia.

Bagi yang sememangnya tidak mampu, lapangkan masa membantu pengurusan daging korban sehingga selesai. Semoga dengan usaha mengorbankan masa, tenaga dengan niat ikhlas dikira sebagai amalan kebajikan yang ada ganjaran dan kebaikan di akhirat kelak.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor

Berita Harian X