Jumaat, 26 Julai 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Pupuk kesedaran, berganding bahu tangani buli

MUTAKHIR ini, kita banyak mendengar dan melihat kes berkaitan buli yang nampaknya semakin merebak dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi membabitkan belia dan remaja.

Jika dilihat terutama video yang tular melalui aplikasi Facebook dan WhatsApp, pembuli pastinya melebihi seorang dalam sesuatu masa.

Sikap ingin membuli ini kadangkala berlaku apabila seseorang itu melihat rakan melakukannya dan turut ingin mengulanginya. Ada juga didorong atau didesak rakan lain, sedangkan rakannya itu pun tidak membuli. Ini antara situasi dapat dilihat dan sering berlaku dalam kalangan pembuli.

Oleh itu, setiap ibu bapa harus memainkan peranan penting memastikan anak tidak terbabit gejala ini.

Jika ibu bapa memantau sebaiknya tingkah laku serta perangai anak, sudah pasti ia akan memudahkan tugas pihak lain seperti guru dan jiran untuk turut memantau dalam usaha menangani kes ini sedikit demi sedikit.

Sudah tentu jika semua pihak bekerjasama, ia akan memberi kesan yang positif.

Bagi pembuli yang ditangkap atau didakwa baik secara individu atau berkumpulan, mereka seharusnya diberi kaunseling sebagai peringatan. Harapannya agar mereka sedar sebelum dikenakan hukuman setimpal.

Masyarakat tidak seharusnya terus-menerus menganggap mereka sebagai pembuli. Sebaliknya mendoakan agar mereka sedar dan insaf atas kesalahan dilakukan, walaupun kadangkala perbuatan itu tidak boleh diterima akal dengan sifat yang dianggap tidak berperikemanusiaan.

Semua agama di negara ini termasuk Islam tidak mengajar atau menggalakkan penganutnya menjadi pembuli. Sebaliknya sifat kasih sayang, hormat-menghormati dan bantu-membantu perlu ada dalam jati diri setiap orang dan ia perlulah dipupuk sejak kecil.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah satu kaum mengejek kaum yang lain, kerana boleh jadi yang diejek itu lebih baik daripada yang mengejek dan tidak pula wanita-wanita mengejek wanita lain, kerana boleh jadi wanita-wanita yang diejek itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mengejek.”

Ayat ini jelas melarang kita tidak menghormati antara satu sama lain kerana kita tidak akan mendapat apa-apa manfaat daripada perbuatan itu.

Jika diteliti, pengaruh beberapa faktor mendorong mereka ini menjadi pembuli. Salah satu ialah pengaruh filem atau drama yang terkandung di dalamnya babak berkaitan buli, terutama dari Barat.

Mungkin sesetengah mereka pada awalnya membuli sekadar suka-suka, tetapi tanpa disedari boleh menjadi sesuatu yang serius jika melampaui batas dalam adab pergaulan sesama manusia.

Ini yang merisaukan kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada generasi akan datang.

Marilah kita bersama-sama muhasabah dan berfikir, apakah nasib yang akan terjadi kepada golongan pembuli ini sekiranya perbuatan mereka tidak dibendung bersama? Adakah sikap sebegini yang kita perlukan dalam melahirkan pemimpin akan datang?

Oleh sebab itu, sebagai ibu bapa, kita harus memantau pergaulan dan tingkah laku anak-anak. Pastikan dengan siapa anak-anak kita berkawan agar tidak dipengaruhi perkara buruk dan melalaikan, termasuk terjebak dalam kumpulan pembuli ini.

Seharusnya kita bersama-sama berganding bahu membendung gejala ini daripada berleluasa. Perbanyak kempen dan aktiviti berkaitan untuk membentuk kesedaran dalam kalangan mereka yang terjebak dengan gejala penyakit buli ini.

Semua pihak harus bekerjasama dan tidak sesekali menuding jari terhadap orang lain. Pihak media juga perlu memastikan rancangan ditayangkan di kaca televisyen sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Sekiranya ada adegan atau aksi yang mendorong ke arah perlakuan buli, pastikan ia ditapis terlebih dahulu sebelum dipertontonkan kepada semua.

Semoga kes buli yang berlaku di negara kita dapat dibendung sebaiknya. Mudah-mudahan kes yang berlaku sebelum ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada kita semua dalam melahirkan generasi yang mampu berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Penulis adalah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam Universiti Teknologi Mara (Uitm) Johor

90 dibaca
Berita Harian X