Sabtu, 20 Julai 2019 | 11:00am
Neil Armstrong ketika menjejak kaki di atas permukaan bulan. - Foto AFP

Armstrong turut pacak bendera Malaysia di bulan

PADA hari ini, 20 Julai, genap 50 tahun pertama kali manusia menjejak kakinya di atas permukaan bulan. Kata-kata manusia pertama itu, Neil Armstrong yang berbunyi; ‘Langkah kecil bagi seorang manusia, tetapi lonjakan besar bagi kemanusiaan’ (a small step for man, a giant leap for mankind) menjadi ikonik pencapaian spesies Homo Sapiens abad ke-20.

Kapal angkasa Apollo 11 membawa beliau dan dua rakannya, Buzz Aldrin dan Michael Collins dilancarkan pada 16 Julai dari Cape Kennedy, Florida, Amerika Syarikat (AS). Peristiwa pelancaran itu disiarkan langsung melalui televisyen dan radio yang dipancarkan dari pusat kawalan Agensi Aeronautikal dan Aeroangkasa Nasional (NASA) di Houston, Texas, AS.

Ia turut disiarkan secara langsung Radio Malaysia, dari Angkasapuri, Kuala Lumpur. Bangunan Angkasapuri baru siap dibina setahun sebelum itu. Nama Angkasapuri juga bermakna Istana Angkasa.

Ketika itu, penulis berusia 10 tahun dan bersekolah sesi petang di Darjah Empat, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Jalan Padang Tembak Satu, Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Pada pagi itu, penulis sedang bersiap-siap untuk ke sekolah.

Oleh kerana hendak mendengar radio, penulis duduk makan di sebelahnya. Sudah berhari-hari sebelum itu, Radio Malaysia menghebahkan bahawa siaran langsung pelancaran Apollo 11 akan dibuat pagi itu.

Penulis menanti-nanti siaran langsung itu. Kira-kira 10 pagi, juruhebah mengumumkan dengan kata-kata lebih kurang begini: “Dengan ini kami membawa para pendengar ke pusat kawalan NASA di Houston, Texas untuk mendengar siaran langsung pelancaran Apollo 11 di Cape Kennedy, Florida”.

Kemudian siaran radio itu agak tidak beberapa jelas dan tersangkut-sangkut. Setelah beberapa kata-kata dari jurukawal, maka kiraan pelancaran, countdown, ‘ten, nine, eight, seven, six…’ Setelah menyebut ‘zero’ , kedengaran ledakan booster roket yang melonjakkan Apollo 11.

Siaran radio semakin tidak jelas tetapi masih boleh kedengaran. Kemudian terdengar suara Armstrong menyatakan semua berjalan lancar dan keadaan kru adalah baik. Kemudian siaran langsung itu berakhir dan juruhebah Radio Malaysia memberi sedikit maklumat mengenai pendaratan bulan yang dijangka berlangsung pada 20 Julai.

Waktu untuk ke sekolah sampai dan penulis bergegas mencapai beg. Di sekolah petang itu, pelancaran Apollo 11 menjadi perbualan dalam kalangan murid. Kami bercakap mengenainya ketika beratur untuk menuju ke kelas, waktu rehat dan waktu pulang. Misi ke bulan menarik imaginasi satu generasi.

Keesokannya, penulis membaca akhbar menyiarkan peristiwa pelancaran itu di muka depan. Kapal angkasa Apollo 11 ini terdiri daripada dua komponen, iaitu Saturn V dan Eagle. Apollo dan Saturn adalah nama dewa Rom. Maknanya sudah ada 11 program angkasa Apollo dan lima roket Saturn.

Eagle adalah pengangkut angkasawan yang akan mendarat di permukaan bulan, dan selanjutnya dilancarkan kembali ke bumi. Di dalam Eagle, ada kapsul yang akan membawa pulang angkasawan untuk dijatuhkan ke permukaan Lautan Atlantik.

Misi ke bulan hasil persaingan geopolitik antara AS dan Soviet Union. Ketika itu Perang Dingin sedang hangat. Program angkasa adalah sebahagian perang propaganda yang mahu memperagakan kekuatan ideologi melalui sains dan teknologi.

Ia bermula dengan kejayaan Soviet menghantar kapal pertama ke angkasa Sputnik 1 pada 1957, diikuti dengan manusia pertama, Yuri Gagarin pada 1961. AS di bawah kepemimpinan Presiden John Kennedy melancarkan program sains dan teknologi merangkumi perubahan pada sistem pendidikan mereka dengan sasaran untuk mendarat di bulan pada 1969.

Setelah pendaratan ke bulan itu, semua akhbar dunia menyiarkan berita dan gambarnya di muka depan. Siaran langsung dibuat melalui televisyen tetapi ketika itu, keluarga penulis hanya memiliki radio.

Tetapi melalui akhbar, penulis dapat melihat gambar Eagle mendarat, Armstrong turun dari tangganya dan berjalan di permukaan bulan. Armstrong bukan saja memacak bendera AS, tetapi membawa banyak bendera kecil negara sahabatnya, termasuk Malaysia. Bendera-bendera itu disertakan dengan papan yang mengandungi kata-kata kemanusiaan.

Walaupun papan itu turut diletakkan di permukaan bulan, ia tidak ditinggalkan seperti bendera AS itu. Ia dibawa kembali ke bumi. Beberapa bulan kemudian, kerajaan AS mengedarkan sebahagian ketulan kecil batu bulan ke negara sahabatnya di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Ia juga mengembalikan bendera kecil yang turut dibawa ke bulan.

Di Malaysia, batu kecil bulan dan bendera bersejarah itu ditempatkan di Muzium Negara. Penulis bersama keluarga turut mengunjungi Muzium Negara untuk melihat ketulan batu bulan dan bendera itu sebaik ia dibuka untuk tontonan ramai.

Pada hari Ahad itu, penulis menyaksikan rakyat Malaysia berduyun-duyun menuju Muzium Negara. Batu kecil dan bendera itu diletakkan di tingkat dua galeri menempatkan juga bahan berkaitan alam dan haiwan. Orang ramai bersesak dalam ruang yang kecil. Minat rakyat Malaysia pada angkasa tinggi. Lagipun negara juga mempunyai lambang bulan dan bintang. Bendera AS hanya ada bintang.

Penulis adalah Bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia

6353 dibaca
Berita Harian X