Khamis, 11 Julai 2019 | 11:00am
PROJEK Pengerang Intergrated Complex siap dibina pada Mac 2019 dan dijangka mula beroperasi pada Oktober 2019. - Foto Ihsan Petronas

Pembangunan strategik menyejahterakan rakyat Johor

TANGGAL 11 Julai 2019 adalah hari yang sangat bermakna bagi negeri Johor. Ini disebabkan Johor negeri pertama dikunjungi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Beliau dalam rangka lawatannya ke seluruh negara untuk mendapatkan input bagi menggubal pelan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Dalam majlis pelancaran RMKe-12, beliau menekankan tiga dasar utama iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial serta amalan tadbir urus yang terbaik. ​Dalam pada itu, kerajaan negeri Johor sedang dalam peringkat akhir merangka Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030.

Sebenarnya pelan ini menggambarkan idea, pemikiran dan gagasan barisan kepemimpinan kerajaan negeri untuk meneruskan kelangsungan pembangunan strategik yang menyeluruh di Johor. Pelan pembangunan ini bertemakan ‘Negeri Johor Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari’.

​Menerusi pelan ini, kerajaan negeri berhasrat melonjakkan Johor menjadi sebuah kuasa ekonomi yang disegani di peringkat nasional dan global, selain memberi penekanan kepada pembangunan modal insan yang progresif, berinovasi dan bestari.

Untuk menjayakan hasrat itu, Johor terus berusaha menarik lebih ramai pelabur asing dari seluruh dunia. Sejak sekian lama, Johor menjadi destinasi utama pelaburan asing kerana kemesraan dasar kerajaan dan kesegaran pertumbuhan ekonominya.

​Natijahnya, negeri Johor menerima nilai kelulusan projek perkilangan (pembuatan) tertinggi dari 2013 hingga 2018 iaitu sebanyak RM145 bilion, berbanding keseluruhan jumlah kelulusan diterima negara sebanyak RM408 bilion.

Jumlah ini menunjukkan 35 peratus nilai pelaburan negara di sektor ini disumbangkan dari negeri Johor. Lebih menarik lagi, nilai kelulusan bagi projek perkilangan (pembuatan) negeri Johor pada 2018 menunjukkan sebanyak 78 peratus diterima dari pelaburan asing yang mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap senario ekonomi di negara ini khususnya di Johor.

​Pada 2018, Johor terus kekal sebagai antara negeri penyumbang di Malaysia dengan jumlah dagangan berdasarkan pintu keluar dan masuk sebanyak RM 395.7 bilion. ​Seterusnya, Johor terus kekal antara negeri yang menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018 sebanyak RM117 bilion bersamaan 9.5 peratus dari nilai KDNK di peringkat nasional.

Di sebalik senario ekonomi dunia yang tidak menentu, KDNK Johor diunjur mengalami pertumbuhan sebanyak 5.2 hingga 5.5 peratus pada 2019 dengan asas kepelbagaian sumber ekonomi negeri. Dalam pada itu, Johor juga menggalakkan rakyatnya terbabit dengan program ekonomi baharu termasuk keusahawanan digital dan ekonomi kreatif.

Tentunya ia membabitkan golongan muda yang mempunyai pemikiran kreatif dan inovatif. Dalam menuju pembangunan yang seimbang dan menyeluruh bertunjangkan kesejahteraan bangsa Johor, program keusahawanan digital diperkenalkan dan diperluaskan.

Pada 2017, Johor mencatat pendapatan daripada transaksi e-dagang sebanyak RM49.8 bilion, menjadikannya sebagai negeri ketiga selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

​Berdasarkan perspektif sejarah, Johor diletakkan dalam kalangan negeri-negeri maju di Malaysia. Jelasnya, barisan kepemimpinan terdahulu meletakkan Johor di hadapan dengan pelbagai dasar dan program pembangunan di seluruh negeri.

Misalnya, sebelum 2018, ada dua pelan pembangunan dinamakan gagasan Johor Berkemajuan dan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor bagi memperkasa pembangunan inklusif Johor. ​Justeru, pelaksanaan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 amat signifikan kerana ia mempunyai kaitan dengan kadar pertumbuhan ekonomi negeri, kemasukan pelaburan asing, penawaran peluang pekerjaan, kestabilan politik, keharmonian sosial dan pembangunan yang progresif.

Apa yang lebih penting, penggubalan pelan jangka sederhana panjang ini akan memandu seluruh barisan kepemimpinan kerajaan negeri dan jentera pentadbiran kerajaan negeri untuk merealisasikan strategi pembangunan di seluruh Johor.​

Menerusi teras pemerkasaan ekonomi, kerajaan Johor berhasrat untuk menjalankan program pembangunan wilayah yang lebih strategik. Agensi persekutuan seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dipertanggungjawabkan menjalankan pelbagai inisiatif berimpak tinggi di beberapa daerah di Johor.

Sektor ekonomi yang lebih spesifik juga dirangka untuk pembangunan luar bandar. Selain itu, kerajaan negeri turut merangka perancangan bagi meningkatkan penyediaan infrastruktur mega, menyediakan pengangkutan awam moden dan berkualiti, memperkasa beberapa sektor berpotensi dalam perkhidmatan seperti pelancongan, logistik, industri halal dan pertanian, membangunkan ‘smart city’ dan menangani isu perumahan secara holistik.

Kesemua ini membuktikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Johor sebuah negeri maju, progresif, moden dan dinamik.​ Melalui teras kelestarian alam sekitar, kerajaan Johor berusaha memastikan pembangunan lestari dan mengawal kerosakan alam sekitar demi kesejahteraan rakyatnya. Ia memfokuskan kelangsungan sumber alam agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Pengurusan sisa pepejal menerusi kaedah waste to energy dan waste to wealth, pengurusan tenaga boleh diperbaharui, adalah antara agenda yang memerlukan daya saing dalam pembangunan teknologi di dalam negeri, selari dengan agenda penjimatan penggunaan tenaga.

Antara usaha terbaharu ialah penubuhan Majlis Rendah Karbon Negeri Johor yang mempunyai matlamat untuk mempelopori inisiatif rendah karbon dan teknologi hijau dalam perancangan kawasan persekitaran ke arah pembangunan mampan.

Kerajaan Johor juga komited menyediakan rangkaian prasarana pelaburan yang lengkap dalam menarik pelaburan berimpak tinggi yang akan menjadi ‘catalyst’ perpindahan teknologi dan meningkatkan daya saing serta pembangunan bakat di Johor.

Secara langsung, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi terutamanya dalam sektor ekonomi kreatif dan digital. Inisiatif ini juga boleh mengekang migrasi anak-anak Johor ke negara lain dengan memberi tumpuan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan keusahawanan.

​Pembelaan masyarakat yang memerlukan seperti golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya dan warga emas adalah agenda yang sentiasa diberi penekanan dalam pelan pembangunan ini. Ia memperlihatkan keseriusan kerajaan negeri dalam mendukung keutuhan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan dalam arus pemodenan negeri.

Kerajaan juga berhasrat untuk membangunkan pusat idea, memperkasa keusahawanan sosial, membabitkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO), pihak korporat dan rakyat secara keseluruhannya dalam menjadikan pembangunan Johor sebagai negeri berprestasi tinggi.

​Selain itu, kerajaan Johor berhasrat memberi penumpuan kepada pemerkasaan dan pemodenan sistem pendidikan termasuk pendidikan Islam. Di samping itu, kerajaan Johor berusaha memastikan warisan budaya dan tapak sejarah Johor dikekalkan untuk mengukuhkan jati diri Bangsa Johor.

Teras ini juga bertujuan untuk memperkasa modal insan dan pembangunan bakat terpimpin anak Johor. ​Dalam agenda tadbir urus cekap, berintegriti dan demokratik, kerajaan Johor komited untuk meningkatkan tahap keupayaan dan kemahiran penjawat awam agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Agenda ini diteruskan dengan penggalakan penggunaan aplikasi digital dalam urusan kerajaan agar perkhidmatan yang diberikan lebih efisien dan sistematik. ​Kerajaan Johor juga memahami kepentingan dan sumbangan golongan srikandi dalam pembangunan negeri. Justeru, pelan pembangunan ini akan memberi fokus kepada pembelaan hak dan isu srikandi.

Program sokongan dan bantuan kepada golongan srikandi dirancang untuk memperkasa sumbangan golongan srikandi kepada negeri Johor. Ini juga termasuk aktiviti keusahawanan suri rumah yang mampu meningkatkan sumber pendapatan keluarga.

​Dalam teras ekonomi baharu, kerajaan negeri akan memastikan wujudnya peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi yang akan digalas oleh anak muda. Program yang bersesuaian akan dirancang dan dilaksanakan dalam membangun kebolehan anak muda terutamanya di dalam sektor ekonomi kreatif, digital dan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).​

Sebenarnya, Johor mempunyai segala ramuan dan resipi tersedia yang menjadi pemangkin pembangunan dan pemodenan Johor. Antaranya termasuk Johor mempunyai kekayaan sumber alam, kedudukan yang strategik, prasarana terancang dan sistematik, pembangunan modal insan, sistem tadbir urus terbaik, kestabilan politik serta keharmonian sosial.

​Malah kestabilan politik Johor ditandai dengan keprihatinan dan wawasan Sultan Johor untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju, moden dan progresif. Pada masa sama, baginda mahu seluruh rakyat Bangsa Johor mengekal dan mempertahankan kestabilan politik dan sosial.

Hakikatnya, sejak sekian lama, Johor berjaya mengekalkan kestabilan ini berdasarkan slogan ‘Muafakat Itu Berkat’.

​Dalam memastikan Johor yang maju dan seimbang, pendidikan adalah instrumen yang sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan Johor. Kerajaan negeri berusaha membangunkan potensi generasi muda dalam bidang kemahiran menerusi pelbagai program latihan jangka pendek dan jangka panjang.

Johor meraikan pembangunan modal insan dalam kalangan generasi muda dan pembangunan wanita. Jelasnya dalam pelaksanaan program pembangunan keluarga, masyarakat dan negara, wanita adalah tulang belakang utama yang sentiasa dihargai oleh pihak kerajaan.

​Sebagai huraian, pelan ini bukanlah suatu khayalan atau retorik politik, malah kerajaan negeri akan memastikan segala perancangan menerusi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan dengan kaedah sistematik dan pendekatan berstruktur.

Seluruh jentera kerajaan negeri, termasuk kesemua pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan serta agensi persekutuan akan digerakkan bagi merealisasikan pelan ini. Dalam pada itu, pelan pembangunan ini akan terus mendapatkan maklum balas dari rakyat Johor secara berterusan menerusi pelbagai medium.

Kerajaan negeri sedar bahawa pelaksanaan pelan ini tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama yang erat daripada semua pihak, terutamanya di peringkat akar umbi. Justeru, kejayaan pelan pembangunan ini banyak disumbangkan oleh pelbagai ‘stake holders’ termasuklah sokongan daripada rakyat.

​Kesimpulannya, Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 adalah dokumen rujukan komprehensif untuk memacu pemerkasaan ekonomi yang dinamik dan memastikan kesejahteraan sosial.

Hakikatnya, bagi setiap kerajaan yang memerintah, pemimpinnya perlu mempunyai wawasan untuk menyejahterakan rakyat dan pembangunan negara. Johor maju dan makmur sudah tentu akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi rakyat.

Pelan ini juga dijangka mampu memperkukuhkan perancangan pelan pembangunan RMKe-12. Jelasnya, pelaksanaan program pembangunan ini memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan dengan belanjawan yang besar bagi memastikan hasrat Johor menjadi negeri berprestasi tinggi, sekali gus Bangsa Johor yang bestari tercapai.​

Johor yang maju, moden dan makmur akan memperkukuh kekayaan, kesejahteraan dan kestabilan negara.

Penulis adalah Menteri Besar Johor

205 dibaca
Berita Harian X