Selasa, 9 Julai 2019 | 11:00am
Presiden China Xi Jinping (kanan) dan Presiden AS Donald Trump menghadiri mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak G20 di Osaka pada 29 Jun lalu. - Foto AFP

G20 titik noktah perang dagang China-AS?

Ketika saya menghadiri satu majlis hari raya, seorang wartawan bertanya: “Adakah Sidang Kemuncak G20 akan menjadi game point atau match point dalam peperangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS)? Saya tersenyum dan jawab “Mari kita tunggu dan lihat”.

Minggu lalu, Presiden China Xi Jinping bertemu Presiden AS, Donald Trump, ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Osaka. Kedua-dua bersetuju sebulat suara menggalakkan hubungan China-AS berasaskan penyelarasan, kerjasama dan kestabilan, di samping memulakan semula rundingan ekonomi dan perdagangan atas dasar kesamaan dan saling penghormatan.

Presiden Trump mengatakan, AS tidak akan menambah tarif baharu kepada barang eksport China, sudi mengukuhkan kerjasama dengan China, menyelesaikan isu pengimbangan perdagangan antara kedua-dua negara melalui perundingan, serta menawarkan layanan adil untuk perusahaan kedua-dua negara.

Berita ini mungkin mendatangkan harapan kepada orang ramai yang mengambil berat pergeseran perdagangan China-AS.

Pada 22 Mac tahun lalu, AS melepaskan ‘tembakan’ pertama dalam pergeseran perdagangan China-AS, apabila Trump menandatangani Memorandum Presiden yang mengatakan bahawa menurut ‘Siasatan 301’, AS akan mengenakan tarif berskala besar ke atas barangan import dari China, menyekat pelaburan dan penggabungan syarikat-syarikat China kepada AS.

Pada September, ketika masyarakat China menyambut Perayaan Kuih Bulan, AS mengumumkan akan mengenakan tarif 10 peratus terhadap barangan China bernilai AS$200 bilion (RM827 bilion) eksport ke AS. China bertindak balas pantas untuk mengenakan tarif 10 atau lima peratus terhadap barangan AS bernilai AS$60 bilion (RM248 bilion).

Sejak itu, oleh sebab pihak AS terus meninggikan harga diminta, kedua-dua pihak berselisihan dan berunding, seluruh dunia menyaksikan pihak AS menarik balik janji dibuatnya seperti changing face.

Bak kata Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, pergeseran perdagangan China-AS ibarat ‘gajah sama gajah lawan, rumput mati di tengah-tengah’.

Dalam konteks globalisasi ekonomi China dan AS sebagai kedua-dua blok ekonomi terbesar, kerjasama saling memanfaatkan, konfrontasi saling merugikan serta mempengaruhi keadaan ekonomi dunia.

Oleh kerana masa depan pergeseran perdagangan China-AS tidak jelas, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menurunkan unjuran kadar pertumbuhan perdagangan global pada 2019 daripada 3.7 peratus kepada 2.6 peratus.

Hampir dua tahun dunia diselimuti ‘awan gelap’ pergeseran perdagangan yang belum pernah terjadi sebelum ini. Banyak negara bimbang ekonomi global diheret dalam perangkap kemelesetan.

Bagi China, pergeseran perdagangan ini benar-benar memaksa untuk ‘berperang’. Perang dalam konteks melawan buli ekonomi, bukan sahaja untuk mengekalkan kepentingan teras dan hak pembangunan sendiri, tetapi juga untuk mempertahankan susunan ekonomi antarabangsa serta sistem perdagangan bebas.

Bulan lalu, Pejabat Maklumat Majlis Negeri (SCIO) China menerbitkan Kertas Putih bertajuk ‘Kedudukan China Mengenai Perundingan Ekonomi dan Perdagangan China-AS’ yang menjelaskan kedudukan China mengenai isu perdagangan perang.

Tidak perlu dihurai, cukup untuk saya menunjukkan empat fakta asas:

Pertama, AS menimbulkan pergeseran perdagangan dengan China padahal bertujuan menggerakkan ‘buli ekonomi’ dengan nama perdagangan adil, dengan cara menggoncang ‘batang’ tarif, melaksana Unilateralism dan Protectionism.

Tujuannya berkhidmat untuk agenda ‘Amerika Diutamakan’, memaksa China menyerahkan kepentingan dan hak pembangunan sendiri.

Kedua, AS tidak mencapai tujuannya, sebaliknya menerima padah - kos pengeluaran dalam negerinya dinaikkan, harga barang di AS ditinggikan, kadar pertumbuhan ekonomi dikurangkan, skala eksport AS ke China disekat.

Menurut statistik terbaru Forbes, dibandingkan dengan empat bulan pertama 2018, eksport petroleum AS menurun AS$2.49 bilion (RM10.29 bilion), peratusan eksport ke China jatuh daripada 11 peratus kepada 2.6 peratus; eksport gas petroleum ke China turun 87 peratus iaitu AS$640 juta (RM2.6 bilion); eksport kapas ke China turun 48.33 peratus iaitu AS$289 juta (RM1.195 bilion); eksport kacang soya ke China turun 27.49 peratus iaitu AS$710 juta (RM2.93 bilion).

Suara yang menentang perang perdagangan dalam negeri AS juga semakin meningkat.

Ketiga, AS meremehkan keupayaan China mempertahankan kepentingan teras dan mengatasi buli ekonomi.

Sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia, China mempunyai pasaran luas yang tidak boleh digantikan dan tiada negara lain sudi kehilangannya.

China juga mempunyai rantaian industri lengkap, infrastruktur yang sesuai serta persekitaran perniagaan baik.

Hakikat ini membuktikan ekonomi China tidak ‘runtuh’ seperti diramalkan AS, sebaliknya mengekalkan pertumbuhan mampan dan sihat.

Keempat, untuk seluruh dunia, sistem perdagangan pelbagai hala sepatutnya dipertahankan, ekonomi global yang terbuka sepatutnya dibina. Sebagai negara perdagangan, pergantungan ekonomi Malaysia kepada perdagangan asing mencapai 130 peratus pada 2018.

Mengekalkan sistem perdagangan pelbagai hala yang adil, terbuka dan telus adalah mustahak untuk mencapai pembangunan berterusan bagi semua negara termasuk Malaysia.

Dalam jangka pendek, industri tertentu di negara Asia mungkin menguntungkan kerana syarikat AS dan China yang mencari ganti import dan memindahkan pengeluaran.

Namun jangka panjang, semua ekonomi ialah secara menyeluruh dan menjadi komponen pada rantaian nilai global. Mana-mana rantaian tertutup akan merugikan keseluruhan sistem. Adalah tidak realistik untuk melihat perang perdagangan China-AS sebagai peluang atau menganggap sesuatu pihak mampu bertahan akibatnya, bahkan mendapat keuntungan daripadanya.

Presiden Xi Jinping berulang kali menegaskan, "Jika dunia menjadi baik, China pun menjadi baik. Jika China menjadi baik, dunia akan menjadi lebih baik."

Ini tujuan asal China mengemukakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan menegaskan multilateralisme. China yang bertamadun selama 5,000 tahun tidak pernah memandang pembangunan negara lain sebagai ancaman, tidak merugikan kepentingan negara lain untuk manfaat sendiri, tidak akan memaksa dengan tekanan melampau, mengundurkan diri daripada kumpulan dan penyahgandingan (decoupling).

Kami sanggup menegakkan keikhlasan dan muhibah, serta meneruskan dialog dengan AS atas dasar saling menghormati, kesamarataan dan integriti, untuk mendapat penyelesaian yang saling menguntungkan dan menang-menang, menyuntik tenaga dan keyakinan ke dalam pasaran global serta memberi sumbangan positif kepada ekonomi dunia dan pemerintahan global melalui kerjasama, bukannya pertentangan. Tujuannya supaya China dan AS masing-masing menjadi lebih cemerlang, untuk menjadikan dunia lebih baik.

Akhirnya, saya ingin memberitahu rakan media, pergeseran perdagangan China-AS bukan satu pertandingan adil dengan mempunyai peraturan dan pengadil, tetapi satu konflik perdagangan ditimbulkan AS secara unilateral dan China terpaksa melawannya.

Memang menggalakkan pertemuan pemimpin kedua-dua negara di Osaka mencapai konsensus positif, kami berharap AS akan mengambil tindakan konkrit, menuju ke arah yang sama dengan China, serta mencari penyelesaian yang boleh diterima kedua-dua pihak melalui dialog yang mesra.

Apa yang tidak boleh dinafikan adalah sama ada China dan AS ataupun dunia mengharapkan pergeseran perdagangan ini dapat diselesaikan dengan sesuai.

Penulis adalah Duta Besar China ke Malaysia

Berita Harian X