Isnin, 1 Julai 2019 | 11:00am

BH tawar diri sebagai wadah pembaharuan

HARI ini Berita Harian atau kini ringkas dikenali sebagai BH, genap berusia 62 tahun. Banyak sudah dilalui oleh akhbar bahasa Melayu pertama dalam rumi ini sejak hari keramat 1 Julai 1957 itu.

Bermula dengan hanya sebagai terjemahan akhbar bahasa Inggeris, The New Straits Times (NST), pengarang pertamanya, Tan Sri A Samad Ismail yang kami mesra memanggil Pak Samad, mula membina pasukan editorial daripada kelompok wartawan Melayu di akhbar The Malay Mail dan NST, ketika itu dua akhbar sekutu dalam kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Selepas era Allahyarham Pak Samad (1958-1972) yang masih diperkatakan dengan penuh kebanggaan sehingga hari ini, pengarang selanjutnya juga tergolong antara nama besar dalam dunia persuratkhabaran dan penulis dalam bahasa Melayu, malah ada yang juga menonjol sebagai pengarang dan penulis dalam Bahasa Inggeris.

Pak Samad disusuli Abdul Wahab Zain (1972-1976), Datuk Seri Abdul Samad Said (1976-1978), Salim Kajai (1978-1983), Adibah Amin (1983-84), Datuk Ahmad Sebi (1984-1986) (daripada ketika itu jawatan terbabit mula digelar Pengarang Kumpulan) dan Datuk A Kadir Jasin (1986-1988).

Kemudian diikuti Datuk Ahmad Nazri Abdullah (1988-1998) Datuk Ahmad Rejal Arbee (1998-2003), Datuk Hishamuddin Aun (2003-2006), Datuk Manja Ismail (2006-2009), Datuk Mior Kamarul Shahid (2009-2013), Datuk Mahfar Ali (2013-2017), kosong (2018) dan saya sendiri bermula 2 Januari tahun ini.

Akhbar BH sudah banyak berubah sejak awal penubuhannya, baik dari segi wajah, mahupun kandungan. Dari saiz broadsheet ia kini bersaiz kompak.

Kandungannya pula ditambah baik dari tahun ke tahun mengikut pemikiran pengarangnya.

Namun tercalar juga kewibawaan akhbar ini beberapa tahun lalu apabila BH bersama-sama akhbar lain gagal memainkan peranannya sebagai watch dog atau pemantau dan penegur kepada kerajaan sebelum ini.

Sebaliknya BH dan akhbar tempatan lain - kecuali satu akhbar kewangan - memilih untuk tidak mendedahkan kes rasuah mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kita tidak berminat untuk berbincang dalam komentar ini siapakah yang harus dipertanggungjawabkan terhadap kegagalan itu, tetapi jelas budaya di bilik berita sebelum ini tidak menyokong kepada penyuburan kewartawanan yang bertanggungjawab.

Persekitaran sekarang sudah banyak berubah. Berikutan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional, akhbar kini diberi kebebasan yang lebih luas.

Bagi BH ia adalah peluang keemasan untuk memulihkan kewibawaan akhbar ini. Kami tidak perlu pergi jauh untuk mencari-cari bentuk apa akhbar ini perlu dicorakkan. Sebenarnya sejak edisi pertama akhbar ini lagi, BH dipesan berhubung tanggungjawabnya.

Raja-Raja Melayu dalam perutusan sempena edisi pertama Berita Harian pada 1 Julai 1957, menasihatkan akhbar ini:

“Suratkhabar2 yang bebas lagi tiada berpehak dan mengeluarkan perkhabaran yang benar serta memberi teguran yang adil dan membina walau di-dalam apa bahasa jua pun tetap akan memberi fa’edah yang besar kepada negeri.

“Suratkhabar bahasa Melayu yang sedemikian itu tersangat-lah dikehendakki di-negeri ini.”

Jika akhbar di negara ini mematuhi pesanan awal Raja-Raja Melayu ini, kemungkinan pemimpin yang rakus tidak berleluasa sebelum ini dan kes 1MDB tidak mungkin dibenarkan berlaku.

Kini nasi sudah jadi bubur, dan kita harus belajar daripada kesilapan.

Berikutan itu, BH sudah bertekad untuk berlaku berimbang, adil dan tepat dalam melaksanakan tugasnya.

Selaras dengan pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan, BH menawarkan diri untuk menjadi wadah kepada segala usaha yang menyokong kepada pembinaan negara yang lebih maju.

Penulis adalah Pengarang Kumpulan BH

Berita Harian X