Ahad, 30 Jun 2019 | 10:08pm
Cecair hijau di permukaan air dekat hulu Sungai Kim Kim di Jalan Keluli 7, Pasir Gudang. - NSTP/Mohd Fahmi Yusof

Kita harus serius jaga alam sekitar

PENGUATKUASAAN nampaknya menjadi isu besar dalam negara. Hampir setiap hari ada sahaja kes dibicara dalam mahkamah membabitkan anggota penguat kuasa. Malah, dalam media sosial pun ada anggota penguat kuasa ditunjukkan sedang ‘memperdagangkan’ integritinya.

Insiden air tercemar di Selangor dan kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, umpamanya boleh dielakkan jika tindakan keras penguatkuasaan diambil. Kawasan industri atau kilang yang wujud di sepanjang sungai bukan baharu dibina, malah ada yang sudah bertahun dan pastinya pengwujudannya diketahui oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

‘Kehadiran’ pusat pelupusan sampah haram yang semakin bercambah, kilang haram, pengimportan sisa pepejal, mahupun pusat pengumpulan besi buruk sudah pasti diketahui penguat kuasa PBT melalui rondaan harian yang dilakukan di kawasan pentadbiran mereka.

Hakikatnya, amanah untuk memantau dan mengambil tindakan melalui kuasa yang diberikan majikan tidak dilaksanakan dengan jujur, sekali gus tiada tindakan diambil ke atas pemilik premis yang mencemarkan alam walaupun mereka dapat mengesan kerosakan yang bakal berlaku sejak awal. Pengulangan kejadian sungai tercemar di Selangor atau mungkin di negeri lain akan terus berlaku selagi tindakan penguatkuasaan ibarat penukul dengan paku, apatah lagi jika wujud campur tangan politik atau mendapat perlindungan pihak yang berkepentingan.

Sekurang-kurangnya, PBT atau agensi penguatkuasaan di Johor sudah dikejutkan ‘dari tidur’ apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang buat kali keduanya menyatakan murka dan kesal ke atas pihak yang terbabit dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga membawa musibah kepada murid dan orang awam. Tindakan mahkamah juga sudah dimulakan dalam kes Sungai Kim Kim dan pastinya pencinta alam sekitar mahu penguatkuasaan tegas juga dilakukan di Selangor atau di tempat lain.

Sebaga rakyat biasa, penulis berasakan undang-undang alam sekitar perlu diperbaiki dan diperkukuhkan dengan menaikkan kadar denda atau hukuman sebagai ‘deterrent’ (tidak melakukan lagi), terutama dengan memasukkan peruntukan penjara mandatori. Ada negara di Barat menjatuhkan hukuman kepada pelakunya dengan melaksanakan tugas jangka panjang memulihkan keadaan sungai yang dimusnahkan itu sehingga ia kembali kepada keadaaan asalnya. Dalam kes di Pasir Gudang, semua kos pembersihan, tenaga kerja dan mesin ditanggung oleh kerajaan. Sewajarnya kos yang dibelanjakan itu dibayar semula oleh mereka yang didapati bersalah.

Dengan persepsi yang ada, kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang ketika ini melihat kerajaan melalui PBT masing-masing lebih mesra pihak industri daripada memelihara aset alam sekitar seperti sungai, parit atau tasik yang menjadi sumber bekalan air negara yang amat diperlukan pengguna. Dengan kata lain, undang-undang alam sekitar kita lemah, penguatkuasaan pula tidak konsisten.

Ketika ini, hukuman yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 22(3) Akta Alam Sekitar 1974 (Akta 127) iaitu kesalahan melakukan pencemaran atmosfera ialah denda RM150,00, penjara lima tahun atau kedua-duanya serta denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan. Bagi kesalahan mengikut Seksyen 25(3), iaitu kesalahan melakukan pencemaran kepada sungai, hukumannya juga sama.

Kita juga mengharapkan kerajaan untuk meningkatkan lagi integriti anggota penguat kuasa, baik yang berkhidmat dengan agensi Persekutuan atau negeri bagi mengelakkan gejala meminta wang atau menerima rasuah daripada mana-mana pihak. Biarlah setiap agensi penguatkuasaan dilihat bersih dari atas ke bawah.

Tidak dinafikan kajian semula gaji bagi kakitangan rendah, antara cara yang boleh dilakukan, namun banyak pendekatan lain yang boleh dilakukan, antaranya memantau mereka yang hidup di luar kemampuan. Setiap pemeriksaan premis kilang perlu direkod, selain memastikan pembabitan agensi penguatkuasaan lain, terutama kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Pengeluaran BH

Berita Harian X