Khamis, 13 Jun 2019 | 11:00am
Sesungguhnya Aidilfitri adalah hari istimewa. - Foto hiasan

Memahami makna harapan Aidilfitri

SYAWAL 1440H memeriahkan sambutan Aidilfitri. Sambutan Aidilfitri meraikan kemenangan kita, tetapi kemenangan apa itu? Kita selalu dijelaskan kemenangan Aidilfitri adalah merayakan hari selepas sebulan penuh berpuasa. Hari raya yang disebut Aidilfitri atau lebaran.

Sesungguhnya Aidilfitri adalah hari istimewa. Apa tidaknya dalamnya terkandung pelbagai peristiwa yang amat bermakna iaitu spiritual, sosial, budaya, diri sendiri dan harapan.

Disebut spiritual kerana Aidilfitri adalah tradisi keagamaan. Tradisi ini berakar daripada keyakinan keagamaan yang bukan hasil imaginasi manusia, tetapi ajaran yang memang didasarkan pada perintah Tuhan (Allah).

Disebut sosial, Aidilfitri menjadi fenomena masyarakat atau umat Islam yang tidak sekadar dilakukan oleh satu dua orang sahaja, tetapi oleh semua yang memeluk keyakinan keagamaan Islam. Semua umat Islam di mana pun ia berada, pasti menyambut hari raya.

Disebut budaya, Aidilfitri adalah ekspresi budaya seperti kebiasaan balik kampung dan hidangan kuih tradisi sesuai dengan latar belakang budaya masing-masing. Di desa, ada yang memeriahkan lebaran dengan tradisi makan ketupat, tradisi menyalakan pelita atau tradisi ziarah dan tradisi lain.

Daripada spiritual, Aidilfitri boleh diertikan sebagai makna langit. Makna yang tidak harus diragukan kebenarannya dalam menyempurnakan rangkaian ibadah umat Islam di dunia. Agama seperti kita tahu adalah perintah langit (Tuhan) yang diturunkan demi kepentingan manusia dalam menjalani kehidupannya.

Manusia, walau sehebat mana inteleknya, akan tetap memerlukan panduan dan bimbingan Tuhan dalam menelusuri dan menjalani kehidupan di dunia ini. Jadi Aidilfitri atau lebaran adalah satu daripada cara bagaimana Tuhan berkomunikasi dengan manusia melalui rangkaian ajaranNya.

Taati perintah Allah

Sehingga tidak ada alasan untuk menyatakan bahawa Aidilfitri itu adalah hari kebebasan manusia sepenuhnya. Fahami dan taatlah pada perintah Allah SWT. Spiritual daripada Aidilfitri sebagai makna langit bererti bahawa Aidilfitri memiliki nilai dan makna yang berada di luar batas-batas intelek manusia.

Nilainya bukan hasil daripada kesepakatan umum manusia khususnya umat Islam. Ia adalah fenomena dengan muatan nilai dan makna yang dipakejkan langsung daripada Tuhan Maha Agong Allah SWT. Mengapa Tuhan memberikan pakej nilai dan makna daripada sebuah hari raya kepada manusia? Tentu sahaja ini isyarat bahawa Tuhan memberi ‘kasih sayang’ kepada manusia.

Tabiat yang menjadikan manusia sebagai makhluk yang menyenangi kemeriahan, kesenangan dan riang gembira. Selepas sebulan umat Islam menjalankan ibadah yang menguruskan kekuatan mental dan fizik, menjadi naluri jika manusia mengharapkan rasa sukacita dan keriangan.

Aidilfitri juga memiliki dimaknakan bumi sebagai fenomena sosial kemanusiaan. Makna bumi ini tidak boleh dan tidak boleh dilepaskan daripada makna langit.

Misalnya, ketika makna bumi ini dikaitkan dengan sesama manusia, maka Aidilfitri menjadi momentum bagi setiap orang untuk saling berinteraksi dengan cara-cara yang ideal. Interaksi yang didasari dengan kesamaan darjat antara satu manusia dengan manusia lainnya.

Tidak mengira apakah ia atasan atau bawahan, pemimpin atau rakyat, semuanya harus larut dalam hubungan sosial suasana Aidilfitri. Nilai ini kemudian diimplementasikan dalam tradisi saling mengunjungi antara sesama manusia. Saling bersalaman dan saling bermaafan menjadi pelengkap daripada nilai Aidilfitri sebagai nilai bumi dan semesta manusia.

Ya, minta maaf dalam pengertian menata sikap dan persepsinya terhadap alam semesta. Memperbaiki cara pandang dan perlakuannya terhadap benda di sekitar. Menyayangi kembali makhluk hidup lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Permulaan hari baharu

Makna terakhir Aidilfitri adalah makna diri sendiri. Meskipun terakhir, makna ini adalah makna paling penting dalam segala rangkaian makna di atas. Tiada ertinya seseorang yang merayakan Aidilfitri sesama manusia dan dengan sesama makhluk lain yang hidup di muka bumi ini jika ia tidak Aidilfitri dengan dirinya sendiri.

Justeru, Aidilfitri adalah permulaan hari baharu, di mana masyarakat mengalami perubahan atau transformasi dalam dirinya. Aidilfitri bukan hari dengan kenderaan baharu dan pakaian baharu, tetapi hari di mana individu dengan kesedaran baharu akan datang mengisi ruang-ruang kemasyarakatan.

Memang, bukan manusia sempurna yang tak pernah terwujud, tetapi manusia yang sedar akan keterbatasannya dan belajar daripada beberapa kekeliruan yang pernah dibuat. Harapannya, daripada tangan manusia baharu ini akan lahir Malaysia Baharu, Malaysia yang makmur dan diredhai Allah SWT.

Penulis adalah Timbalan Yang Dipertua Kelab Sahabat Ma'ruuf Terengganu

166 dibaca
Berita Harian X