Rabu, 12 Jun 2019 | 11:00am

Hak asasi manusia perlu patuhi Perlembagaan negara

PUSAT Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menyesali polemik baru-baru ini berikutan satu tweet kontroversial di Twitter membabitkan personaliti yang bersuara bagi hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di media sosial iaitu Numan Afifi apabila beliau menegaskan tidak wujud hak bagi pasangan LGBT Muslim untuk mengamati Aidilfitri.

Oleh itu, kami mengambil peluang ini untuk menyatakan kembali kedudukan kami bagaimana dan dengan cara apa hak asasi manusia secara amnya harus dibentuk di landskap Malaysia, serta maklum balas kami terhadapnya.

CENTHRA adalah sebuah pertubuhan masyarakat sivil Malaysia yang ditubuhkan dan tertakluk kepada undang-undang Malaysia khususnya Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi tanah air.

Sejak itu, penubuhannya berusaha menegakkan naratif mengenai hak asasi manusia yang sepenuhnya bersesuaian dengan undang-undang tertinggi negara serta adat resam tempatan. Ini merangkumi penghormatan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan.

Walaupun kita menegakkan Deklarasi Universal mengenai Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), kita mengambil kedudukan bahawa hak yang terhasil daripadanya tidak boleh ditafsirkan dengan cara bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, sama ada mengenai kedudukan Islam seperti disebut terdahulu, Kebebasan Asasi yang terkandung dalam Bahagian II ataupun peruntukan yang menyentuh dasar kewarganegaraan berdasarkan kontrak sosial melalui Bahagian III.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi Perkara 152, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra sebagai penduduk peribumi serta kepentingan sah masyarakat lain mengikut Perkara 153 dan kedaulatan serta bidang kuasa Raja-Raja Melayu mengikut Perkara 181.

Tolak Malaysia negara sekular

Islam berserta ajarannya sudah ditanam secara kolektif di dalam hati nurani kita sebagai sebuah masyarakat dan kita menolak segala tanggapan menegaskan Malaysia sebagai negara sekular. Kami percaya naratif hak asasi manusia yang menggantikan Islam atau peruntukan perlembagaan dinyatakan di atas tidak mempunyai tempat di Malaysia.

CENTHRA juga mengambil kedudukan relativis budaya sementara UDHR boleh digunakan sebagai penanda aras untuk standard minimum berkenaan pengukuran hak asasi manusia, sebarang kemajuan yang sama di atas dan piawaian itu mesti dikembangkan dengan merujuk kepada instrumen hak asasi antarabangsa lebih-lebih lagi mengekalkan kedudukan kita sebagai negara majoriti Muslim dan menjadi sebahagian negara Asia Tenggara.

Walaupun wujud beberapa golongan tidak bersetuju, terutama mereka yang menganjurkan idea hak asasi universalis, CENTHRA tetap komited terhadap proses dialog yang matang dan tulus apabila membincangkan mengenai keserasian atau berkenaan Islam, nilai Asia dan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, kami akan berhati-hati menjadikan ini sebagai alasan menipu umum yang terikat dengan agama Islam dan nilai Asia khususnya, bahawa naratif mereka mengenai hak asasi manusia adalah satu-satunya yang harus ditakrifkan dan diterima oleh semua dalam menentang ajaran Islam dan nilai semacam itu.

Ini seperti yang berlaku baru-baru ini apabila aktivis LGBT Numan Afifi cuba menormalisasikan hubungan LGBT dengan menegaskan ‘hak’ bagi pasangan LGBT untuk meraikan Aidilfitri di media sosial dalam menentang pengajaran Islam yang jelas melarang amalan gaya hidup LGBT, walaupun terbit kegelisahan semua umat Islam Malaysia.

Walaupun kami mengesahkan kumpulan LGBT mempunyai hak kepada kebebasan asas yang turut diberikan kepada semua orang, kami ingin mengingatkan orang ramai dan semua pihak berkepentingan bahawa tiada siapa yang berhak mengganggu keharmonian masyarakat yang lebih luas, untuk menyinggung nilai budaya dan agama Persekutuan atau nilai agama lain yang diamalkan di Malaysia.

Hormati keamanan

Nilai Asia menekankan masyarakat dan tanggungjawab sebagai pengganti sifat individualisme dan setiap warganegara harus menghormati keamanan dan perpaduan masyarakat majoriti. Hak khusus yang berkaitan orientasi seksual tidak wujud dalam mana-mana instrumen hak asasi manusia antarabangsa yang diterima pakai oleh Malaysia, termasuk UDHR dan tidak boleh ditegaskan apabila mereka pada dasarnya tidak diiktiraf dalam konteks masyarakat tempatan kita.

Sebaliknya, apa yang dipanggil dan dicanang sebagai ‘hak asasi’ perlu dikenal pasti sebagai tidak bersesuaian, diimport dari Barat dan asing kepada budaya Malaysia secara kolektif.

Perlembagaan kami mengiktiraf keperluan mengimbangi hak dengan tanggungjawab dan perlindungan untuk memastikan ia tidak disalahgunakan, bahawa kelestarian bagi kebajikan masyarakat adalah lebih penting daripada pelaksanaan hak individu dan akhirnya bahawa apa-apa hak mesti dinilai mengikut norma tempatan.

Ini dianggap sebagai penyelesaian yang ideal atas sebab ia menyediakan untuk pelaksanaan hak yang maksimum oleh mana-mana individu tanpa membahayakan masyarakat atau memusnahkan institusi yang melambangkan negara kita.

Oleh itu, CENTHRA menyeru Numan Afifi meminta maaf kerana menegaskan hak yang tidak pernah wujud serta menggalakkan penyelewengan terhadap ajaran Islam, peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang domestik.

Kami juga memanggil beliau dan semua rakyat Malaysia untuk menyertai kami dalam menggalakkan budaya hak asasi manusia di Malaysia yang mematuhi dan mengambil Perlembagaan Persekutuan, UDHR, CDHRI dan AHRD sebagai inspirasi dan sumbernya.

Penulis adalah Peguam & Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

231 dibaca
Berita Harian X