Selasa, 11 Jun 2019 | 10:00am
NAHAS meragut nyawa di Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada 2 Jun lalu. - Foto ihsan pembaca

Pengalaman selamat mangsa 'microsleep'

SEBELUM ini penulis hanya membaca dan mendengar mengenai pemandu terlelap seketika atau microsleep, tetapi tidak pernah berdepan dengan situasi itu. Namun, dalam perjalanan pulang ke kampung halaman isteri untuk menyambut Aidilfitri di Chepor, Perak, saya melihat sendiri bagaimana seorang pemandu mengalami masalah itu.

Menyusur keluar dari Lebuhraya Utara Selatan arah Jelapang, saya menghentikan kereta selepas lampu isyarat bertukar merah di persimpangan Lebuh Meru Raya. Cuaca petang terakhir Ramadan ketika itu cerah dan ketika lampu isyarat bertukar hijau, saya hairan kenapa laluan masih berhenti sedangkan laluan di sebelah kiri bergerak lancar.

Beberapa kereta di hadapan mula membunyikan hon panjang sebelum masing-masing bergerak dan memotong di sebelah kiri.

“Kalau tak kereta rosak, accidentlah,” itu yang bermain di fikiran, tetapi sebaik memotong kereta PERODUA Axia yang disangka rosak, nyata saya silap.

“Ehh! Kenapa dengan lelaki (pemandu), matikah,” kata saya kepada isteri selepas melihat pemandu kereta itu bersandar dengan mukanya menghadap ke atas.

Saya berhenti di bahu jalan dan melihat keadaan, dua kali lampu isyarat merah bertukar hijau, namun tiada seorang pengguna jalan raya berhenti melihat keadaan pemandu itu. Saya bergegas ke kereta berkenaan dan pada masa sama, seorang lagi pengguna jalan raya turut menuju ke kereta itu.

Tak sangka tertidur

Selepas ketuk berulang kali, dia tersedar... tertidur! Lelaki itu sendiri terkejut kerana dia tidak sangka boleh tertidur. “Terima kasih,” katanya ringkas sebelum bergerak dan berhenti di bahu jalan.

Saya pergi sekali lagi ke arahnya untuk bertanya keadaannya dan lelaki yang memandu berseorangan itu hanya menunjukkan isyarat bagus sambil membasuh muka.

Bayangkan jika kenderaan lain sedang laju atau dia yang sedang memandu tertidur, mungkin berlaku lagi kejadian menyayat hati menjelang Aidilfitri.

Kejadian meragut nyawa di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Gurun, Kedah pada 2 Jun lalu jam 2.43 petang jelas menunjukkan betapa besarnya impak mircosleep. Berdasarkan kenyataan polis, Toyota Wish dipandu seorang pelajar lelaki dipercayai mengantuk menyebabkan keretanya terbabas hingga mengakibatkan bapanya maut.

Kejadian itu serta kemalangan yang meragut nyawa pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 39, pagi 18 Mei lalu menunjukkan microsleep sebenarnya boleh berlaku pada siang hari.

Pemandu, iaitu suami Faziani, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, mengakui mengantuk ketika memandu dan terlelap seketika.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Hospital Pakar Putra Melaka, Datuk Dr S Ravih, sebelum ini menyatakan microsleep terjadi tanpa amaran dan antara penyebab sering berlaku kemalangan di jalan raya kerana apabila badan keletihan, otak akan ‘tertidur’ selama beberapa saat, walaupun mata terbuka dan tangan memegang stereng.

Katanya, potensi menjadi mangsa microsleep apabila memandu jarak jauh, ditambah faktor lain seperti waktu pemanduan, keadaan kesihatan dan kecergasan pemandu, bentuk dan permukaan jalan raya serta keadaan cuaca boleh menyebabkan mengantuk kerana ketika itu segala input daripada deria penglihatan dan pendengaran sudah tidak dapat diproses otak.

Waktu puncak mengantuk

“Biasanya individu yang menjadi mangsa microsleep itu berasakan dia masih memandu sedangkan dia sudah shut down dan ini boleh berlaku ketika mata masih terbuka,” katanya.

Beliau menyarankan elak memandu waktu puncak mengantuk antara jam 3 hingga 5 pagi dan di antara jam 2 hingga 4 petang.

Cadangan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mahu membina kap-sul tidur harus dipuji bagi memastikan pengguna lebuh raya dapat berehat dan melepaskan penat. Masih pada peringkat kajian dan projek perintisnya dijangka pada tahun depan, PLUS masih belum menyatakan sama ada perkhidmatan berkenaan akan dikenakan caj atau tidak.

Jika dikenakan caj, diharap harga pada kadar mampu milik kerana jika terlalu mahal, sudah pasti pengguna memilih untuk tidur dalam kenderaan sahaja.

853 dibaca
Berita Harian X