Selasa, 28 Mei 2019 | 10:00am

Lihat isu pendidikan secara matang

Isu pendidikan sentiasa mendapat perhatian utama pelbagai lapisan masyarakat di negara ini, apatah lagi jika ia membabitkan kepentingan kaum masing-masing.

Umpamanya isu terkini berkaitan kuota kemasukan ke universiti awam (UA) melalui program matrikulasi. Bagi kaum Bumiputera, isu itu tidak perlu diperbesarkan kerana ia adalah hak mereka, manakala bukan Bumiputera mempertikaikannya kerana berpendapat kemasukan ke UA seharusnya berdasarkan merit.

Begitu juga yang berlaku sebelum ini, apabila ada cadangan pihak tertentu untuk membuka kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada semua kaum dan tidak terhad kepada Melayu dan Bumiputera sahaja.

Bagi kaum Bumiputera, mereka perlu mempertahankan hak dalam dunia pendidikan seperti terkandung di dalam kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beberapa isu pendidikan lain turut dibangkitkan yang masih berkisar kepada kaum, iaitu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Isu ini bukan baharu, tetapi sudah lama menjadi perdebatan dalam arena pendidikan negara kerana dikeluarkan sekolah persendirian Cina, yang sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dan tidak selari dengan silibus dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke UA akan menjadikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tiada nilai, sekali gus tidak adil kepada pelajar yang selama ini setia mengikuti persekolahan menggunakan sistem peperiksaan menyeluruh yang sedia ada.

Ada pihak berpendapat, jika mereka ini yang belajar pada peringkat awal di sekolah rendah dan menengah dengan mengikut sistem lain dan tidak mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan, kenapa pula apabila mahu menyambung pengajian pada peringkat tinggi mereka boleh pula menerima dasar sedia ada yang mereka nafikan keupayaannya sebelum ini.

Berbalik kepada isu matrikulasi, rata-rata naib canselor universiti tempatan menyokong penuh tindakan kerajaan mengekalkan kuota 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera di matrikulasi KPM, seperti yang dipersetujui Kabinet, baru-baru ini.

Langkah kerajaan mengekalkan kuota dan meningkatkan jumlah pengambilan pelajar adalah selaras dengan matlamat asal program matrikulasi, iaitu menggalakkan pelajar dalam kalangan Bumiputera melanjutkan pengajian dalam bidang sains dan teknologi, selain membuka peluang lebih luas kepada mereka menyambung pelajaran di UA.

Jika sebahagian besar naib canselor UA yang pakar dalam bidang pendidikan sudah bersuara dan menyatakan sokongan mereka terhadap program matrikulasi sedia ada, sudah pasti ia pendekatan yang terbaik dan bukan kerana untuk kaum tertentu sahaja.

Bantu golongan B40

Kita percaya setiap dasar atau program pendidikan yang dirancang oleh kerajaan terdahulu dan ketika ini, bukan untuk kepentingan kaum majoriti, iaitu orang Melayu sahaja, tetapi mengambil kira kepentingan semua kaum agar tidak ada yang ketinggalan.

Mengambil kira situasi semasa, walaupun orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, dalam banyak aspek mereka jauh ketinggalan dalam dunia pendidikan, apatah lagi pendidikan tinggi jika tidak terus dibantu disebabkan ketidakseimbangan ekonomi untuk menyambung pengajian pada peringkat tinggi.

Langkah membantu golongan ini dalam pendidikan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa golongan berpendapat rendah (B40). Pada masa sama, tidak menafikan hak kaum lain tanpa mengira kedudukan geografi dan sosioekonomi.

Sememangnya pendidikan menjadi isu utama di negara ini kerana pendidikan menjadi teras penting dalam pembangunan negara yang membabitkan setiap individu. Tanpa pendidikan sempurna, sudah pasti sesuatu kaum akan ketinggalan berbanding kaum lain.

Setiap isu pendidikan - sama ada ia dikaitkan dengan politik, perkauman, darjat, miskin atau kaya dan sebagainya - akan terus mendapat perhatian besar dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Setiap kaum berasakan adalah hak mereka untuk mempersoal, mengemuka pandangan dan menyuarakan apa yang sepatutnya mereka dapat berbanding kaum lain dalam dunia pendidikan pada semua peringkat bagi memastikan tidak ketinggalan.

Apa pun, setiap isu pendidikan yang dibangkitkan perlu dilihat secara matang dan bukan berdasarkan kepentingan kaum semata-mata. Kita percaya setiap kaum ada tempat di negara ini untuk mereka belajar, membina kerjaya masing-masing dan kembali menyumbang kepada negara.

Penulis adalah Pengarang Kandungan Bahasa Melayu, Vertikal Pendidikan NSTP.

Berita Harian X