Jumaat, 24 Mei 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Matrikulasi bukti kesaksamaan dalam pendidikan

KENYATAAN dibuat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik baru-baru ini mengenai kuota pelajar matrikulasi mengundang reaksi banyak pihak. Matrikulasi adalah satu program persediaan prauniversiti bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di universiti atau kolej universiti.

Sebelum ini, program prauniversiti dikendalikan sendiri universiti awam (UA) sejak lebih 30 tahun lalu, dengan cara pelaksanaan mengikut keperluan organisasi masing-masing.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac 1999 mengambil keputusan menyatukan program matrikulasi ditawarkan di UA sebagai persediaan pelajar Bumiputera lulusan SPM, bagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di UA dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

Usaha ini penting bagi memastikan pertambahan graduan aliran Sains dalam kalangan pelajar UA, terutama Bumiputera.

Kementerian Pelajaran ketika itu mengambil inisiatif menyelaraskan program berkenaan secara berperingkat, dengan ambilan pertama program matrikulasi daripada murid lepasan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Selaras hasrat mewujudkan persaingan sihat dan memantapkan integrasi nasional serta perpaduan kaum, bermula 2003 sebanyak 10 peratus daripada keseluruhan pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera. Inilah dasar diamalkan sehingga ke hari ini.

Apakah keistimewaan program matrikulasi ini sehingga menjadi ‘rebutan’ pelbagai pihak? Pertama, program ini diiktiraf semua UA dan turut diiktiraf beberapa universiti terkemuka luar negara seperti di United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat.

Program pendidikan menyeluruh

Kedua, program ini menawarkan pendidikan menyeluruh merangkumi bidang akademik dan pembangunan kemahiran insaniah. Ketiga, kos pengajian dan penginapan ditanggung sepenuhnya kerajaan, manakala semua pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan hanya perlu membayar yuran pendaftaran.

Pada Jun 2018, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), Menteri Pendidikan mengumumkan untuk kemasukan matrikulasi tahun berkenaan, sebanyak 84,891 permohonan diterima termasuk 20,040 daripada bukan Bumiputera. Jumlah itu mewakili 23.6 peratus daripada keseluruhan permohonan.

Dalam kenyataan kepada media, beliau mengumumkan daripada jumlah pelajar bukan Bumiputera itu, sebanyak 4,068 atau hampir 20 peratus daripada pemohon diterima masuk. Peratus kemasukan berbanding permohonan untuk bukan Bumiputera amat besar sebenarnya, melebihi kuota 10 peratus yang ditetapkan kerajaan, iaitu sebanyak lebih 16 peratus.

Statistik pada 2018 menunjukkan hanya 25,000 kapasiti pengambilan keseluruhan program matrikulasi setiap tahun, yang mana dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar Bumiputera dan 2,500 untuk bukan Bumiputera.

Walaupun dasar semasa menetapkan penempatan untuk pelajar bukan Bumiputera adalah seramai 2,500, Kementerian Pendidikan menerima masuk 4,068 pelajar, atau 1,568 pelajar lebih daripada kuota ditetapkan.

Kementerian Pendidikan berpegang kepada dasar kesaksamaan dalam pendidikan, di mana intervensi berfokus diberikan kepada golongan yang memerlukan, tanpa mengira kedudukan geografi, sosioekonomi mahupun kaum.

Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang diperkenalkan pada 1971 masih belum sepenuhnya dapat mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan. Hakikatnya perlu diakui bahawa ada golongan yang perlu dibantu berbanding kelompok yang lain.

Usaha merealisasikan kesaksamaan dalam pendidikan dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa golongan berpendapatan rendah (B40), dasar pengambilan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan pada 2019 memperuntukkan 60 peratus tempat kepada pelajar daripada golongan B40 dan baki 40 peratus kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) serta berpendapatan tinggi (T20).

Justeru, kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program matrikulasi tidak perlu dipolemik, kerana data sedia ada menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan sudah memberi ruang dan peluang yang lebih kepada pelajar bukan Bumiputera untuk mendapat tempat dalam program matrikulasi.

Sebenarnya peluang begitu banyak untuk pelajar lepasan sekolah melanjutkan pelajaran dalam program persediaan, termasuk Tingkatan Enam yang juga mendapat bantuan penuh kerajaan.

Mereka juga boleh memohon untuk menyertai program persediaan di UA dalam Program Asasi, atau bagi mereka yang berkemampuan boleh meneruskan pelajaran dalam peringkat A Level. Peluang melanjutkan pelajaran ke Politeknik dan Kolej Komuniti juga terbuka luas, tanpa mengira kaum.

Maka amat tidak wajar sekali program matrikulasi menjadi ‘mangsa’ kepada mereka yang kononnya memperjuangkan hak kaum tertentu, sedangkan peluang terbuka luas untuk memilih laluan masing-masing.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X