Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Universiti patut manfaatkan masyarakat

PENDIDIKAN adalah instrumen terpenting bagi semua negara untuk mencerdikkan rakyat dan membangunkan bangsa. Dalam konteks pendidikan tinggi, pelaburan besar dibuat kerajaan bagi memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranannya dengan berkesan dan memberi impak sebagaimana disasarkan.

Tidak menghairankan isu impak pengajian tinggi menjadi bahan perbincangan umum dan media.

Dalam menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), universiti tetap berpegang kepada idealisme memberi sumbangan bermakna dan berimpak tinggi kepada negara dan bangsa, meskipun tetap perlu memenuhi beberapa tuntutan global seperti penanda aras kualiti akademik atau penarafan global.

Di Malaysia, universiti awam menjadi tunjang kecemerlangan pendidikan tinggi. Berbeza dengan universiti ternama di Amerika Syarikat, rata-ratanya universiti swasta seperti Harvard dan Yale. Jika disorot sejarah, universiti awam Malaysia banyak mencorakkan negara, terutama dalam menyediakan tenaga kerja profesional dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Namun, persoalan selalu diputarkan dalam media, apakah universiti tidak memainkan peranannya kepada masyarakat? Persoalan ini penting dibincang kerana kerap juga kedengaran universiti seakan-akan terpisah daripada masyarakat dan tidak memberikan sumbangan kepada pelbagai pemegang taruh.

Dalam konteks ini, kita disegarkan semula dengan komitmen kerajaan menerusi kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang mahukan universiti di Malaysia memimpin masyarakat ke arah pembentukan minda rakyat berkelas dunia, khususnya dalam mereformasi pendidikan tinggi lebih dinamik dan terbuka dengan kepelbagaian idea dan percambahan pemikiran.


MASZLEE Malik

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) memberi komitmen untuk menjayakan Teras 6 dalam Dokumen 1 Tahun Pencapaian Kementerian Pendidikan bagi mengangkat kewibawaan IPT.

Peluang terbabit proses demokrasi

Sehubungan itu, Teras 6 menjadi fokus untuk meminda Seksyen 15(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Pada masa kini, Parlimen Mahasiswa diwujudkan di kebanyakan universiti untuk menjadi wahana dalam kalangan mahasiswa mengutarakan pelbagai isu dan pandangan.

Keberhasilan utama pindaan ini seharusnya membuka peluang kepada mahasiswa membabitkan diri secara langsung dalam proses demokrasi.

Sebenarnya, demokrasi tidak semata-mata dikaitkan dengan pilihan raya umum atau kampus, sebaliknya keupayaan seluruh warga universiti untuk bersama-sama membina kapasiti membangun negara yang inklusif.

Warga universiti sarat dengan idea pemikiran matang dan bernas, serta bertindak secara produktif dan kolektif. Semua pihak perlu menghayati falsafah demokrasi sebenar. Jelasnya, pembabitan dalam sistem demokrasi menekankan penyertaan warga dalam pembuatan keputusan bersama demi kepentingan bersama.

Dari perspektif lain, kebebasan diberi Kementerian Pendidikan kepada mahasiswa seharusnya diguna sebaiknya untuk membangunkan diri menjadi insan seimbang dan cemerlang, seperti dijelaskan dalam Falsafah Pendidikan Nasional.

Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) misalnya, pembangunan mahasiswa insan kamil dibentuk menerusi pelaksanaan program Total Campus Experience. Salah satu program yang wujud ialah 5 Excellent Tracks Program (5ETP).

Keberhasilan membanggakan seluruh warga universiti apabila seorang mahasiswa UTM, Muhammad Syafik Rahmat, dipilih Tokoh Siswa Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan.

Ini membuktikan keupayaan UTM dan universiti awam secara umum dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berdaya maju dan cemerlang menerajui negara dan masyarakat. Hakikatnya, inilah sumbangan utama universiti sejak sekian lama.

Universiti komited bantu negara

Satu lagi sumbangan penting ialah penyelesaian masalah sebenar dihadapi rakyat. Tragedi pencemaran sisa buangan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor meninggalkan kenangan pahit buat semua.

Dalam kes ini, kepakaran UTM diiktiraf apabila dilantik untuk mengetuai Jawatankuasa Saintifik yang bertindak menasihati kerajaan dalam menyelesaikan pencemaran. Ia suatu fakta benar, membuktikan warga universiti sentiasa mahu berbakti kepada masyarakat di sepanjang zaman.

Justeru, tidaklah benar pelbagai dakwaan menyatakan universiti tidak membantu masyarakat. Kemungkinan pemikiran itu wujud kerana ada jurang komunikasi antara universiti dan masyarakat, menyebabkan umum seakan tidak jelas mengenai peranan sebenar universiti.

Dalam konteks UTM misalnya, kerjasama erat dengan kerajaan Johor dilakar secara agresif menerusi platform, Johor Innovation Valley (dahulunya dikenali Institut Inovasi Strategik Johor). Justeru, pelbagai medium komunikasi pantas perlu digemblengkan seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, dan media cetak.

Hakikatnya, universiti komited membantu memakmurkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat secara inklusif.

307 dibaca
Berita Harian X