Jumaat, 17 Mei 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Ramadan peluang terbaik cari takwa

Ramadan adalah satu tempoh masa sangat istimewa bagi seluruh umat Islam. Bulan ini adalah bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan keberkatan. Rasulullah SAW menyatakan ‘apabila datangnya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.’ (HR al-Bukhari dan Muslim).

Selain diterima makna hadis ini secara harfiah, ia juga boleh diertikan bahawa di dalam bulan ini, segala amalan yang membawa insan ke syurga dipermudahkan, yang mendorong kepada neraka disempitkan dan gangguan, tipu daya serta godaan syaitan dikekang.

Bagaimanapun, Ramadan segala amalan soleh yang ada di dalamnya, bukanlah maksud atau matlamat. Sebagai contoh, amalan puasa pada siang hari Ramadan matlamat akhirnya ialah untuk membentuk sifat takwa di dalam diri seseorang.

Ayat ke-183 surah al-Baqarah menyatakan dengan jelas mengenai perkara ini. Melihat dari sudut ini, dapat difahami bahawa Ramadan adalah satu proses yang dijalani melalui kesungguhan dan penghayatan kepada amalan dan peribadatan khusus yang ada di dalamnya.

Bersahur, berpuasa dengan menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa dan pahala puasa, tilawah dan tadarus al-Quran, melazimi zikrullah, selawat serta istighfar, bermunajat dan berdoa, beriftar dan menjamu orang berbuka puasa, menjaga solat fardu, tarawih dan witir, berada dalam majlis ilmu serta bertadabur, beriktikaf dan memburu Lailatulqadar serta bersedekah dan berzakat; semua ini adalah ramuan bagi membolehkan seseorang itu kembali kepada fitrah insan sebenar sebagai hamba Allah.

Ramadan ini menyediakan ruang kontemplasi serta wadah tafakur rohaniah secara dinamik kepada seseorang mukmin. Rasulullah SAW menyentuh mengenai Ramadan ini di dalam tiga hadis sahih yang semuanya diriwayatkan al-Bukhari, “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan ‘iman’ dan ‘ihtisab’; diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”

“Sesiapa yang berqiyam Ramadan dengan ‘iman’ dan ‘ihtisab’; diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” “Sesiapa yang berqiyam pada malam al-Qadar dengan ‘iman’ dan ‘ihtisab’; diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

2 syarat Ramadan berikan impak

Di sini, apa yang menarik perhatian ialah, apabila Rasulullah SAW berulang-ulang kali menekankan dua syarat wajib bagi menjadikan Ramadan ini memberikan impak kepada seseorang mukmin. Imam an-Nawawi menjelaskan makna ‘iman’ di sini ialah seseorang itu mentasdikkan bahawasanya puasa itu adalah benar-benar (satu perintah daripada Allah) dan dia benar-benar percaya dengan segala fadilat puasa itu.

‘Ihtisab’ bererti seseorang itu hanya menginginkan keredaan Allah Taala semata-mata, tidak bermaksud untuk ditunjuk-tunjukkan kepada orang ramai, dan apa sahaja yang berlawanan dengan makna ikhlas. Imam Ibnu Hajar pula menyatakan, ‘ihtisab’ itu ialah hanya dengan tujuan bagi menuntut pahala dan balasan daripada Allah Taala.

Apabila menyebut mengenai keimanan, maka sudah tentu semuanya akan merujuk kembali kepada Allah, Tuhan yang mewajib puasa dan zakat fitrah, serta menjadikan tarawih dan tilawah suatu sunah dan syiar bagi Ramadan. Maka siyam (puasa) dan qiyam itu mestilah diiringi dengan telekan hati seseorang itu kepada sifat Allah yang Maha Sempurna.

Pelaksanaan segala ibadah ini hendaklah dengan wujudnya istihdhar (rasa kehadiran) bahawa Allah adalah sebenar-benar Tuhan, iaitu pemilik sekalian alam, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Melihat serta Yang Maha Menghitung segala amalan hamba-Nya. Tidak ada yang tersembunyi buat Allah Taala. Setiap gerak geri hamba-Nya itu, sentiasa di dalam perhatian dan hitungan Allah, kerana Dia sangat pantas hitungan-Nya. Kesedaran ini, menyebabkan dia akan bersungguh-sungguh untuk memastikan bahawa apa sahaja dilakukannya, akan menyebabkan Allah suka dan reda kepadanya.

Asas kepada takwa

Melalui kehadiran rasa ini, seseorang mukmin itu akan membina satu ikatan rohaniah yang kukuh dengan Allah Taala. Ikatan ini akan sentiasa dijaga sepanjang masa dan sentiasa disegarkan semula dari satu Ramadan ke satu Ramadan lain. Rasa sebegini yang diserap menjadi jati diri seseorang, inilah asas kepada takwa.

Takwa inilah yang akan menyebabkan seseorang itu akan sentiasa berhati-hati dan berintegriti. Hal ini, tidak akan diperoleh, jika Ramadan itu hanya berkisar kepada hukum sah atau batal mahupun dalil dan kaifiat. Semua perkara itu perlu disorot dari sudut ‘iman dan ihtisab’ tadi. Dan takwa ini akan dibawa bukan sekadar di dalam Ramadan, tetapi di dalam setiap juzuk kehidupan sehingga tiba masanya kembali kepada Allah Taala.

Anekdot yang dilalui Saiyidina Umar ibn al-Khattab ini adalah satu contoh natijah yang sepatutnya lahir daripada puasa dan amalan ketaatan Ramadan yang lainnya. Abdullah bin Dinar menceritakan satu hari dia bermusafir dengan Saiyidina Umar ke Makkah. Setelah senja, mereka pun berhenti berehat di satu tempat. Tiba-tiba lalu seorang budak pengembala bersama ternakannya.

Umar pun berkata: “Juallah kepada ku seekor daripada biri-biri ini.” Jawab pemuda itu, “Aku hanya seorang hamba abdi.” Umar pun menduga pengembala itu, “(Jika tuanmu bertanya), beritahu yang serigala sudah memakan seekor dari biri-biri itu”.

Pemuda itu dengan tegas menjawab, “Kalau begitu, di mana Allah?” Mendengar jawapan pengembala itu Umar menangis keharuan. Keesokan paginya, Umar menemui tuan pengembala itu serta membayar tebusannya lalu memerdekakannya. (Ihya Ulumuddin).

Inilah takwa!

Penulis adalah Pengerusi Ikatan Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISLAMI) cawangan Putrajaya

186 dibaca
Berita Harian X