Rabu, 15 Mei 2019 | 11:00am
Apabila perpaduan dicapai, maka semua urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. - Arkib NSTP

Bersama bersatu hati membina Malaysia Baharu

HUBUNGAN harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum adalah kunci atau senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran supaya negara kita dapat mencapai matlamat yang ditetapkan. Secara umumnya, perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing.

Persoalannya, bagaimana kita menangani isu ini secara berhemah agar kita dapat meluahkan perasaan hati tanpa menjejaskan keamanan dan keharmonian negara. Di kebanyakan negara, persengketaan antara kaum lebih-lebih lagi berkaitan isu agama, membawa peperangan yang berlarutan, sekali gus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara berkenaan.

Tidak dapat dinafikan, perpaduan kaum adalah elemen penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara. Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara.

Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Peristiwa 13 Mei 1969, banyak mengubah kehidupan rakyat negara ini. Walaupun sesetengah pihak menganggap ia satu titik hitam dalam sejarah, tetapi bagi penulis, peristiwa itu satu pengajaran yang amat besar kepada negara, jika kita berjaya mengambil iktibar daripadanya.

Bayangkan, jika tidak berlaku peristiwa berdarah itu, kemungkinan besar ramai daripada kita tidak mengetahui akan situasi ‘bom jangka’ yang sentiasa ada dalam hati sanubari rakyat berbilang bangsa ini. Hakikatnya, ketika ini, kita masih dalam proses pembentukan sebuah negara bangsa yang padu dan jitu. Satu bangsa yang bersatu padu di bawah panji negara moden dengan acuan kita sendiri.

Daripada latar belakang kepelbagaian yang kita miliki, kita akan bina sebuah kesatuan. Matlamat ini pastinya tidak mungkin akan tercapai di bawah pemerintahan yang longgar, apatah lagi jika kebebasan yang melampau diberikan kepada rakyat untuk bertindak. Mahu atau tidak, setiap rakyat Malaysia perlu mematuhi semua perkara yang termaktub dalam Rukun Negara supaya usaha membentuk sebuah negara dengan kepelbagaian bangsa dapat dijayakan.

Keharmonian jadi cabaran utama

Apatah lagi jika kita melihat sebahagian rakyat Malaysia gagal memahami maksud Keluhuran Perlembagaan yang ada dalam Rukun Negara apabila masih wujud mereka yang mempersoalkan perkara berkaitan agama, kebebasan bersuara dan penghakiman mahkamah yang disifatkan boleh membawa negara kepada kehancuran. Justeru, ia membuktikan bahawa isu keharmonian antara kaum masih menjadi cabaran utama walaupun pelbagai usaha sudah diambil.

Politik sepatutnya menyatukan bukan merobohkan. Penulis berasakan sebagai negara berbilang bangsa dan agama, kita mesti hidup dalam kerukunan. Tidak dinafikan, perbezaan nilai antara etnik juga mengakibatkan hubungan antara kaum bertambah rumit. Oleh itu, orang politik dan pemimpin tidak kira agama dan bangsa, perlu menginsafi dan menyedari bahawa tanggungjawab memupuk kebersamaan ialah hak bersama, bukan melaga-laga serta mendorongkan perbezaan yang memecahkan.

Kalau tidak, ketahanan negara pasti tidak dapat dibina, sebaliknya akan membawa kepada kehancuran ekonomi yang merugikan negara secara mutlak. Sebarang salah laku yang membawa kepada kemusnahan negara perlu dihukum. Harus diingat, penguatkuasaan undang-undang bukan untuk menghukum, tetapi memastikan kerukunan sesuatu perkara dapat berlangsung dengan sempurna bagi kebaikan semua.

Perkukuh perpaduan

Pastinya, Malaysia akan hanya tinggal nama tanpa isi pada masa akan datang sekiranya konsep kenegaraan terbiar maka tinggallah kulit bersepah tanpa isi. Apakah kerana kepentingan politik atau perbalahan perkauman yang keterlaluan di Malaysia akhir-akhir ini, menyebabkan prinsip Keluhuran Perlembagaan sebagai ideologi negara semacam tidak lagi perlu dipertahankan?

Wahai rakyat Malaysia, jika tanggungjawab Perlembagaan ini gagal dihayati dan dilaksanakan, bagaimanakah matlamat utama perpaduan negara bangsa ini dapat dicapai? Perpaduan hanya akan bertambah kukuh dengan wujudnya kestabilan politik di antara kaum dan etnik, merentasi agama. Walaupun sudah 62 tahun kita memekik kemerdekaan, tetapi merdeka kah kita sebenarnya?

Mungkin benar kita sudah merdeka daripada penjajahan, sebaliknya kita dijajah pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang ciptaan prasangka dusta dan ego dalam kesempitan. Mari bebaskan diri kita dengan menghayati erti sebenar perit mencapai kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya.

Hiduplah dalam peraturan yang sudah kita setujui. Tuntasnya untuk mencapai kemajuan bagi negara yang seperti ini, sikap penerimaan antara kaum membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan dicapai, maka semua urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Yang penting, citra Malaysia mesti jelas bahawa negara berdaulat ini memiliki kepelbagaian yang perlu diraikan berdasarkan Rukun Negara yang dipersetujui bersama. Malaysia Baharu sepatutnya membina teladan mengukuhkan aspirasi perlembagaan kita, bukan mengadaptasi liberalisasi mahu ekstremis untuk kepentingan sesetengah pihak.

Penulis adalah Timbalan Menteri Luar Negeri, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

193 dibaca
Berita Harian X