Selasa, 14 Mei 2019 | 11:00am
Penjawat awam bukan sekadar pemberi input kepada kerajaan, tetapi juga penyedia perkhidmatan kepada rakyat. - Foto hiasan

Pengkaedahan penyelidikan perkasa penjawat awam

MENARIK sekali sesi ucapan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong dalam Penggal Kedua Sidang Parlimen Ke-14 baru-baru ini.

Istilah seperti kajian, konsep, variable (pemboleh ubah), model regression (regresi) antara meniti di bibir Ahli Parlimen, menunjukkan perlunya elemen pengkaedahan penyelidikan dalam pembuatan sesuatu keputusan oleh kerajaan.

Sungguhpun secara touch n go, ia memberi petunjuk bermakna untuk disusuli secara serius.

Adakah ia membawa maksud proses pembuatan keputusan oleh kerajaan memerlukan penambahbaikan? Siapa yang membantu kerajaan dalam pembuatan keputusan? Adakah kemahiran khusus diperlukan untuk membuat keputusan?

What gets measured, gets managed - Ungkapan ringkas tetapi padat oleh Peter Drucker ini memberi konotasi pentingnya kita mempunyai maklumat cukup untuk membuat keputusan tepat dan terbaik demi kepentingan rakyat.

Pengkaedahan penyelidikan meletakkan dua prinsip utama sebagai kayu ukur iaitu kesahihan (validity) dan kebolehpercayaan (reliability), untuk menghasilkan dapatan menggambarkan isu yang dikaji itu benar dan tepat.

Dengan pengetahuan, pengalaman luas dan mendalam terhadap isu serta skop kerja masing-masing, penjawat awam bukan sekadar pemberi input kepada kerajaan, tetapi juga penyedia perkhidmatan kepada rakyat.

Jadi mereka harus mempunyai nilai tambah dengan membangunkan kemahiran pengkaedahan penyelidikan agar kajian dijalankan menatijahkan suatu bentuk dapatan yang boleh dilaksanakan, tidak dipertikaikan dan memenuhi acuan tempatan.

Persoalannya, adakah penjawat awam masih goyah dalam konteks ilmu dan kemahiran pengkaedahan penyelidikan ini?

Belum beri impak besar

Sungguhpun kerajaan membelanjakan peruntukan besar setiap tahun menghantar penjawat awam melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran di bawah Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) - setiap tahun juga penjawat awam menamatkan pengajian dan kembali berkhidmat di kementerian dan jabatan - kewujudan kepakaran pengkaedahan penyelidikan masih belum memberi impak besar dan dirasai.

Benar pihak kementerian dan jabatan masih boleh terus berfungsi seperti biasa, namun pembangunan kapasiti dalaman daripada sumber kepakaran tersedia memberikan penjimatan kepada kerajaan.

Melaluinya pergantungan terhadap perkhidmatan perunding luar untuk menjalankan kajian bagi pihak kerajaan yang menjurus ke arah pembuatan keputusan dan penggubalan dasar negara dapat dikurangkan.

Benar dapatan kajian dibentangkan perunding luar tidak ditelan bulat-bulat dan perlu melalui beberapa siri perbincangan pada peringkat jawatankuasa teknikal, sebelum dibawa ke jawatankuasa pemandu untuk dipertimbangkan.

Namun, tidakkah kita terpanggil untuk membangunkan kapasiti dalaman sendiri untuk menjalankan kajian?

Persediaan berhadapan cabaran baharu pada era Revolusi Perindustrian 4.0 menyentuh isu yang dekat di hati rakyat seperti penyampaian perkhidmatan, pendidikan, pertanian, ekonomi dan banyak lagi.

Ia menuntut kepada perkhidmatan awam yang berpandangan jauh, berkebolehan, cekap, berilmu, teliti dan berkepakaran dalam bidangnya.

Dasar dan peraturan digubal perlu diperjelas, diterjemah dan dilaksanakan agar boleh mencapai matlamat dikehendaki kerajaan. Ia perlu sentiasa dikaji untuk memastikan relevan, nikmat keberhasilannya dirasai rakyat dan matlamat serta cita-cita negara terlaksana.

Nasihat terbaik perlu disampaikan kepada kerajaan untuk membuat pilihan. Lantas, kapasiti penjawat awam dalam pengkaedahan penyelidikan perlu diperkasa agar dapat membantu kerajaan dalam penggubalan dasar, pembuatan keputusan, perancangan strategik dan penjanaan idea baharu.

Agenda pemerkasaan pengkaedahan penyelidikan dalam sektor awam harus diletakkan sebagai salah satu keutamaan. Kelebihan tersedia wajar diposisikan semula untuk manfaat terutama bagi kementerian dan jabatan yang mempunyai kepentingan untuk menjalankan kajian, sama ada berskala kecil mahupun besar, berimpak rendah ataupun tinggi.

Sesuai tema sambutan 60 tahun (1959-2019) iaitu ‘Menerajui Kecemerlangan Pembangunan Insan’, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) bersedia membantu kementerian dan jabatan melalui sesi konsultasi dan klinik membangunkan kemahiran ini.

Sasarannya agar penjawat awam dapat melaksanakan kajian sistematik dan saintifik, dengan menghasilkan dapatan kajian berwibawa berpaksikan prinsip kesahan dan kebolehpercayaan.

Sudah pasti dapatan kajian berwibawa membantu kerajaan. Paling penting menepati keperluan dan kehendak rakyat serta pihak berkepentingan dengan tidak meletakkan kedudukan kerajaan dalam dilema apabila berdepan dengan isu tertentu.

Jadi adakah idea pembangunan kapasiti dalaman ini alternatif penyelesaian kepada persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen kita?

Penulis adalah Timbalan Ketua Kluster Pembangunan Kepakaran INTAN

556 dibaca
Berita Harian X