Isnin, 13 Mei 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Pinda Perlembagaan perlu untuk jamin kebebasan bersuara

Ramai yang membincangkan pencapaian dan kegagalan kerajaan setahun jagung Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei lalu. Tidak kurang yang menghitung apa untung dibawa kerajaan PH kepada diri masing-masing.

Seolah-olah sesebuah kerajaan hanya ditubuhkan untuk menyelesaikan masalah mereka dengan kadar segera. Desakan seperti ini memang tidak masuk akal.

Seperti kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, pada temu bual dengan BH baru-baru ini, bagi kerajaan menunaikan permintaan, bukan semudah menggosok ‘lampu Aladdin’.

Apa yang dilupa mereka yang mendesak ini, selain menyelesaikan masalah, kerajaan harus juga menyusun strategi untuk membawa negara ke tahap pembangunan yang lebih tinggi.

Kadangkala penyelesaian segera masalah - seperti penghapusan tol - akan membantutkan pembangunan negara.

Seperti dijelaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, negara memerlukan dana berpuluh bilion ringgit untuk menghapuskan tol dan selepas itu memerlukan dana yang banyak juga untuk menyelenggara lebuh raya itu.

Bukankah rugi jika dana begitu banyak hanya ditumpukan kepada menunaikan janji untuk menghapuskan tol sahaja? Apakah tidak dana berkenaan lebih strategik disalurkan kepada peningkatan mutu pendidikan, lebih banyak dana kepada sekolah dan institut pengajian tinggi.

Tuntutan terhadap PH agar dikotakan semua janjinya seperti penghapusan tol hanya pekikan politik yang dibuat segelintir rakyat sahaja.

Cari untung politik

Samalah macam laungan PAS dan UMNO, baru sekarang mahu membela apa yang mereka gelar 3R - Melayu, Agama dan Raja - semata-mata untuk mencari untung politik.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) antara 2009 hingga 2018 pun tidak pernah menunaikan semua janjinya yang dibuat sebelum pilihan raya.

Bagi saya - dan saya percaya ramai rakan wartawan lain akan bersetuju - tuntutan paling penting terhadap kerajaan pembaharuan PH ini, sudah pun hampir dipenuhi, iaitu kebebasan bersuara, lantas kebebasan akhbar.

Saya dan rakan seperjuangan sudah merasai perbezaan, antara dulu dan suasana kerja dalam Malaysia Baharu.

Memang benar banyak undang-undang dan peraturan berkaitan kebebasan bersuara masih perlu dimansuh atau dipinda. Namun, dari segi sikap dan amalan, kerajaan pembaharuan PH sudah banyak bergerak ke arah menegakkan kebebasan bersuara.

Tidak kurang daripada Dr Mahathir sendiri yang sudah membuktikan sikap pembaharuan ini, apabila tempoh hari, beliau menegur pihak berkuasa menahan seorang individu semata-mata kerana ciapannya dalam laman Twitter mengkritik pemimpin.

Sikap ini tidak kelihatan pada zaman Datuk Seri Najib Razak memerintah. Saya masih ingat ketika bertugas sebagai Ketua Pengarang Berita di Business Times hampir lima tahun lalu, seseorang wartawan akan mengundang pelbagai masalah hanya kerana menyoal rekod perniagaan seorang ‘tauke’ yang juga rakan golf kepada Najib.

Banyak lagi kisah yang boleh diceritakan mengenai sikap kerajaan Najib terhadap kebebasan bersuara, namun biarlah nanti seorang wartawan akan menulis buku mengenainya yang akan menjadi pengajaran dan sempadan bagi generasi akan datang.

Apa sekali pun, kebebasan bersuara bukan mudah dipertahankan oleh sikap dan amalan sahaja. Malah, pemansuhan dan pindaan undang-undang serta peraturan juga tidak memadai.

Tidak kurang daripada pindaan Perlembagaan diperlukan untuk mengubah sikap kerajaan dan mahkamah, untuk sentiasa menegakkan kebebasan bersuara.

Hanya hak saki-baki

Memang benar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kebebasan bersuara kepada rakyat negara ini. Namun, boleh dihujah seperti termaktub dalam bentuknya sekarang, hak itu hanya sebagai hak saki-baki atau residual.

Jika ada undang-undang mahupun peraturan yang digubal untuk mengekang hak bersuara ini, mahkamah - seperti ditunjukkan dalam banyak kes sebelum ini - akan memihak kepada undang-undang atau peraturan itu dan bukan untuk menegakkan kebebasan bersuara.

Sudah tiba masanya sikap ini diubah dengan meminda Perkara 10(1)(a) agar mahkamah dipaksa memberi pratanggapan atau presumption untuk menegakkan hak kebebasan bersuara.

Dalam lain perkataan, undang-undang dan peraturan hanya sah digubal untuk mengekang kebebasan bersuara, jika sekatan itu seimbang atau proportionate dengan mudarat spesifik yang hendak dielakkan.

Penulis adalah Pengarang Kumpulan Berita Harian

888 dibaca
Berita Harian X