Jumaat, 10 Mei 2019 | 11:00am

Demokrasi usah sampai ancam kedudukan Islam

WACANA Islam dan demokrasi sememangnya tidak pernah surut seiring dengan perkembangan semasa. Malaysia pernah digelar sebagai sebuah negara yang berjaya menghubungkan Islam dan demokrasi secara harmoni dengan melihat beberapa faktor seperti mengadakan proses demokrasi, iaitu pilihan raya secara konsisten.

Tidak dinafikan pada suatu masa dahulu, hubungan Islam dan demokrasi sering kali disorot dalam konteks pilihan raya. Maksudnya di sini, apabila sebuah negara Islam itu berjaya mengadakan pilihan raya dengan membenarkan persaingan terbuka, termasuk penyertaan kumpulan Islamis, maka ia dilihat sebagai satu hubungan Islam dan demokrasi yang harmoni.

Dalam konteks di Malaysia, kita melihat wujud perkongsian kuasa apabila parti kerajaan dan pembangkang masing-masing mendapat manfaat daripada penyertaan proses demokrasi melalui pilihan raya. Hal ini kita boleh merujuk kepada penguasaan mereka dalam kerajaan pada peringkat pusat dan negeri.

Kemuncak perkembangan ini adalah apabila berlaku perubahan Kerajaan Pusat selepas berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 lalu. Parti pembangkang tidak kehilangan semuanya apabila tetap dapat menguasai empat negeri.

Kini, hubungan Islam dan demokrasi tidak lagi dilihat melalui perspektif pilihan raya semata-mata kerana persoalan penyertaan proses demokrasi melalui pilihan raya dianggap sudah pun selesai. Sebaliknya, hubungan Islam dan demokrasi diamati melangkaui pilihan raya.

Demokrasi sebagai budaya politik

Demokrasi tidak lagi terhad dalam konteks pilihan raya, tetapi dikaitkan sebagai satu budaya politik yang mempromosi nilai universal, pluralisme dan toleransi. Profesor Mohamad Abu Bakar, dalam tulisannya berjudul Institusi Demokrasi dan Idea Kemajuan Barat dalam buku Demokrasi dan Dunia Islam: Perspektif Teori dan Praktik, suntingan saya sendiri.

Beliau menyatakan, sistem ciptaan Barat ini juga datang bersama idea kemajuan yang mencabar peranan agama. Ini termasuk melalui cara mengagungkan proses rasionalisasi, konsep kekayaan material, pembebasan daripada kongkongan adat, pemisahan politik daripada agama serta kemampuan sains dan teknologi yang berjaya membekalkan manusia dengan keupayaan untuk menguasai dirinya dan alam sekeliling.

Mana-mana negara yang menerima demokrasi, tetapi menolak idea kemajuan ini akan dianggap tidak membawa aspirasi asal Barat. Malah, ia boleh membawa kepada bermulanya konflik hubungan antara Islam dengan demokrasi.

Era Malaysia Baharu perlu mengamati persoalan Islam dan demokrasi secara berhemah dan bijaksana agar kedua-dua perkara ini dapat dipelihara dengan sebaik-baiknya, bagi mengelak “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”

Antara Islam dan demokrasi, sudah tentu Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dianggap lebih tinggi berbanding demokrasi, iaitu satu sistem politik ciptaan manusia yang terdedah dengan kelemahan. Oleh itu, demokrasi perlu disejajarkan agar matlamat Islam tercapai, bukan sebaliknya.

Dalam kata lain, demokrasi harus kekal sebagai wasilah atau pendekatan, manakala Islam itu adalah matlamat. Meletakkan demokrasi sebagai matlamat utama berbanding Islam dikhuatiri akan mengorbankan kepentingan Islam dan ummah. Ini boleh dilihat dalam perjuangan hak asasi manusia tanpa batas yang menyanggah fitrah kejadian manusia.

Kita tidak mempunyai masalah untuk menerima demokrasi, tetapi ia tidak boleh mengancam kedudukan dan ketinggian agama Islam. Usaha kerajaan memperkenalkan Gagasan Rahmatan Lil Alamin sebagai antara dasar baharu bernegara dalam membentuk masa depan Malaysia adalah dialu-alukan, bersesuaian dengan sifat Islam itu yang alamiyyah atau universal.

Santuni persoalan Islam, demokrasi

Namun, gagasan ini juga diharap dapat benar-benar menyantuni persoalan Islam dan demokrasi dengan sebaik mungkin. Usaha memaknakan demokrasi perlu diteruskan agar demokrasi yang kita perjuang dan pertahankan secocok serta tidak bercanggah dengan kepentingan agama.

Proses pemaknaan ini bukan satu perkara luar biasa, malah ia dianggap lumrah. Demokrasi tidak datang dengan satu acuan sahaja, iaitu acuan Barat. Seiring dengan pandangan sarjana tersohor Islam dan demokrasi, John L Esposito dalam bukunya, Islam and Democracy, demokrasi adalah tidak bersifat monolitik atau seragam.

Malaysia sememangnya mempunyai banyak pengalaman dalam mengharmonikan hubungan Islam dan demokrasi. Sempena setahun kerajaan baharu ini, kita perlu bijak menangani apa juga perubahan yang berlaku tanpa mengubah asas yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan rakyat dan negara sejak sekian lama.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

342 dibaca
Berita Harian X