Rabu, 8 Mei 2019 | 11:00am
Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu membawa kepada peralihan tampuk kuasa secara aman. - Foto hiasan

Peralihan rejim memperkukuh sistem demokrasi

Tarikh 9 Mei 2018 adalah perubahan secara aman melalui peti undi. Ia adalah satu peralihan rejim. Pemimpin negara yang lama dan baharu, institusi diraja, penjawat awam, angkatan tentera, polis dan institusi yang lain, perlu diberi penghargaan atas kesederhanaan yang ditunjukkan dengan pantas, berserta beberapa kenangan drama tanpa sebarang keganasan.

Peralihan kuasa secara aman adalah asas demokrasi baharu yang digalakkan dan perlu kita pertahankan. Bagi memastikan kestabilan politik, berikut adalah cabaran dan langkah yang telah diambil kerajaan, dan perlu diusahakan lagi.

Pertama, reformasi institusi yang demokratik adalah perubahan utama Pakatan Harapan (PH), dengan mengehadkan skop dan kuasa Perdana Menteri, reformasi Parlimen, kebebasan media, institusi kehakiman yang bebas, penjawat awam berkecuali dan beberapa perubahan dalam bidang ini akan menjadi peraturan asas untuk struktur kerajaan yang stabil.

Mereka yang berkuasa sedang melakukan yang terbaik, bukan sahaja untuk membuktikan kemampuan kerajaan, tetapi memastikan sifar rasuah. Perubahan pada peringkat awal amat selalunya berlaku perlahan, tetapi keuntungan demokratik ini akan mengukuhkan kestabilan yang menyeluruh dalam jangka masa panjang.

Kedua, pertumbuhan yang dipacu oleh pekerjaan adalah hala tuju kerajaan Pakatan Harapan berada dalam keutamaan ekonomi, kerana ada had dalam mengatasi kos sara hidup, dengan harga barang yang tidak berubah, dan punca sebenarnya ialah kitaran tidak adil (vicious cycle) dengan gaji, kemahiran dan produktiviti yang rendah.

Ketiga, pihak pembangkang memilih aspek agama dan perkauman berbanding berdepan dan bersaing dengan dasar kerajaan. Pemimpin Pusat harus melakukan apa sahaja untuk memastikan negara bersatu. Kita perlukan wawasan nasional, seperti Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada 1991, untuk memberi jaminan kepada semua etnik, termasuk Sabah dan Sarawak bahawa mereka tidak akan hidup dalam ketakutan antara satu dan yang lain.

Keselamatan negara

Keempat, keselamatan negara dan posisi antarabangsa. Kerajaan baharu komited dalam menguruskan sektor keselamatan yang lebih baik, seperti merangka Kertas Putih Pertahanan buat kali pertama. Kementerian Luar mempunyai kerangka baharu.

Kemampuan mengurus projek China di Malaysia membuktikan negara kita mempunyai kemampuan intelektual dalam mencari kestabilan geopolitik yang betul, tetapi dalam beberapa perkara, berdasarkan syarat yang kita tetapkan. Ia memperlihatkan kestabilan di Malaysia dan rantau ini.

Kelima, memandangkan kerajaan dibina berdasarkan perdamaian ‘Mahathir-Anwar’, peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjalan dengan aman sekiranya semua pihak bersetuju dan mengiktiraf bahawa ini adalah ‘kerajaan Anwar-Mahathir’.

Untuk mengukuhkan demokrasi Malaysia, Pakatan Harapan perlu menunjukkan komitmen kepada orang ramai sekarang bahawa gabungan besar mempunyai kepemimpinan dan kesediaan untuk memenangi PRU-15 dan PRU-16.

Bagi PRU-15, penyatuan pemimpin utama - Mahathir, Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu – akan memberikan kestabilan. Amat penting untuk menonjolkan kohort menteri muda dari sekarang untuk memiliki kepemimpinan yang kuat menjelang PRU-16. Buat masa ini, langkah-langkah ini dapat memastikan kestabilan politik.

Penulis adalah Timbalan Menteri Pertahanan

501 dibaca
Berita Harian X