Selasa, 7 Mei 2019 | 11:00am
MASJID An-Nur di Christchurch, New Zealand.

Pelampau kanan fasis musuh kemanusiaan

SELEPAS tragedi 9/11, dunia kelihatan lebih memberi tumpuan terhadap keganasan berkait agama. Lantas, keganasan pelampau kanan fasis adakalanya terkeluar daripada radar.

Namun, peristiwa berdarah di Masjid An-Nur di Christchurch, New Zealand baru-baru ini, jelas menunjukkan ancaman besar keganasan fasis. Serangan terrorisme dilancarkan pengganas dipercayai pelampau fasisme yang menjunjung ‘keulungan bangsa kulit putih’ atau white supremacy.

Bagi masyarakat Malaysia, pembahagian politik kanan dan kiri jarang diguna secara meluas. Pengkelasan sebegini berakar umbi daripada politik Eropah sedari Revolusi Perancis. Dalam tulisan ini, saya merujuk khusus aliran pelampau kanan kepada fasisme.

Tiga unsur utama fasisme masa kini. Pertama rasa kebimbangan mendalam dan kepercayaan bahawa kelompoknya diancam dan menjadi mangsa kelompok lain. Individu terpengaruh dakyah ini percaya kaumnya hidup dalam kehinaan.

Perkara ini dapat dilihat dalam ‘manifesto’ yang dikatakan ditulis pengganas di serangan Masjid An-Nur. Dalam mindanya, masyarakat kulit putih diancam ‘orang asing’ yang berbeza agama dan etnik.

Fasisme juga membuatkan seseorang itu terasa kelompoknya semakin mundur, maka sejarah kegemilangan diangkat dan peristiwa kejatuhan tamadun diambil sebagai pembakar semangat.

Unsur kedua fasisme berkait gesaan bersatu berasaskan ‘ketulenan’ bangsa. Bagi seorang fasis, bangsanya dianggap lebih mulia dan istimewa berbanding yang lain.

Hujah agama

Keyakinan ini disalut hujah agama melalui penafsiran teks suci secara tidak jujur. Kita dapat lihat seruan fasisme merentasi sempadan negara dan geografi, bukan berdasarkan konsep kenegaraan. Seruan kelompok pelampau kanan ini lazimnya hampir sama di benua Eropah, Amerika atau Australia.

Ini menjadikan fasisme berbeza dengan semangat nasionalisme yang lebih bersandarkan negara bangsa.

Namun, dalam keadaan tertentu, golongan fasis tidak kisah bersama golongan nasionalis dan bangsawan, sekiranya langkah itu menguntungkan ideologi kebangsaan sempit diperjuangkan.

Terbaru kita lihat bagaimana kumpulan pelampau kanan Yahudi dipimpin Meir Kahane, bergabung dengan Parti Likud bagi memastikan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu kekal berkuasa di Israel selepas pilihan raya April nanti.

Bagi kumpulan fasis yang mengangkat ‘keunggulan atau ketuanan bangsa kulit putih’, slogan antipendatang, anti-Semitik atau Islamofobia sentiasa dimainkan. Golongan pendatang dilihat ancaman dan pencemar budaya serta ketertiban sosial tempatan.

Hal ini bukan sahaja berlaku di Eropah, tetapi juga negara lain yang menerima kedatangan imigran kerana pelbagai faktor seperti ekonomi dan politik. Dalam hal ini fasisme berkait rapat xenofobia, yakni sikap benci dan prejudis terhadap orang asing.

Sentimen xenofobia lebih marak apabila dipergunakan politikus untuk kepentingan mereka. Misalnya kenyataan Senator Fraser Anning yang menggambarkan kejadian berdarah di Masjid An-Nur berpunca kebanjiran pendatang asing di Australia dan New Zealand.

Di United Kingdom (UK), fasisme juga dikaitkan Islamofobia. Antara sebab utamanya, golongan fasis memandang Islam sebagai agama orang asing dan tidak wajar dibiar diamalkan di negara itu.

Pada November 2018, satu jawatankuasa rentas parti ditubuhkan Parlimen UK mendefinisikan Islamofobia sebagai: sesuatu yang berkait dengan perkauman atau rasisme yang menyasarkan sebarang bentuk penyataan berkaitan Muslim atau dianggap berkaitan dengan Muslim.

Tolak nilai demokrasi

Unsur ketiga fasisme berkait amalan demokrasi. Golongan fasis menolak nilai demokrasi dengan kekerasan tanpa menghormati batas etika atau undang-undang. Semua itu dilakukan demi mencapai matlamat agung mereka untuk ‘menyucikan’ tanah air dan memperluaskan ‘penguasaan’ di luar negara.

Tidak hairan kita lihat bagaimana kumpulan pelampau kanan fasis turut menyerang individu dan kumpulan yang memperjuangkan hak rakyat melalui wadah demokrasi. Contohnya, seorang pelampau haluan kanan fasis membunuh kejam Ahli Parlimen British dari Parti Labour, Jo Cox pada 2016.

Pada 2011, pelampau haluan kanan melancarkan tindakan keganasan di Norway yang mengorbankan 77 mangsa, 69 daripadanya adalah pemuda sosialis dari Liga Pemuda Labour (AUF).

Perbezaan utama terorisme dengan jenayah biasa adalah kewujudan unsur politik. Seorang perompak bank yang meletupkan mesin juruwang automatik (ATM) hanya untuk mendapatkan wang, bukanlah pengganas tetapi penjenayah. Namun, jika dia melakukannya untuk menimbulkan ketakutan dan menyampai mesej politiknya, maka dia pengganas. Begitu juga jika bertindak demikian untuk mendapatkan wang bagi melancarkan tindakan keganasan lain. Unsur penting dalam tindakan terorisme adalah elemen politik.

Hakikatnya, ideologi pelampau haluan bersifat politikal menjadi teras tindakan keganasan. Sasaran mereka bukan tertakluk sesuatu kumpulan agama atau bangsa, tetapi sesiapa sahaja selain kelompoknya.

Penulis adalah Penyelidik Undang-Undang Jenayah dan Keganasan di Pusat Pengajian Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM)

198 dibaca
Berita Harian X