Sabtu, 4 Mei 2019 | 10:00am
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Sairien Nafis

Perkasa TVET bukan sekadar tukar jenama

PENDIDIKAN Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukanlah istilah baharu, malah kerap diperdebatkan masyarakat. Baru-baru ini, sekali lagi isu sama dibangkitkan dan kali ini menerusi kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Persepsi umum dan stigma masyarakat yang masih menganggap TVET bidang pilihan kedua serta seolah-olah hanya untuk mereka yang tidak berjaya, masih menebal dalam masyarakat kita. Lantaran itu, persepsi ini harus dipulih dan salah satu idea adalah menukar nama atau istilah TVET itu sendiri.

Saya melihat perkara ini boleh disokong kerana dari aspek kebolehpasaran atau istilah penjenamaan, mungkin boleh memancing golongan ini untuk kembali terpaut. Namun, sedar atau tidak, menukar nama sebenarnya hanya mungkin memberi kesan kecil untuk jangka masa pendek.

Bidang TVET di Malaysia sebenarnya sudah lama bertapak serta diiktiraf syarikat swasta dan ini tidak dinafikan. Ini membuktikan, kita mampu melahirkan pakar TVET atau teknologis melalui institusi sedia ada negara.

Secara dasarnya, di Malaysia sijil lulusan TVET dikeluarkan dua badan pengiktirafan, iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

MQA mengakreditasi program vokasional serta teknikal ditawarkan institusi seperti politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan dan latihan bawah MARA, manakala JPK pula bagi program latihan kemahiran yang ditawarkan institusi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Jika berbalik persoalan pokok, mengapa TVET tidak menjadi pilihan masyarakat, terutama generasi baharu sedangkan kita selalu dimomokkan dengan Revolusi Industri yang yang semakin cepat meninggalkan kita?

Di sini saya memberikan pandangan melalui beberapa perkara yang mungkin boleh diselesaikan dengan lebih berfokus.

Perkara pertama, elemen penguatkuasaan, pelaksanaan dan jaminan kualiti program TVET itu sendiri. Mana boleh syarikat dan organisasi di luar mampu menerima graduan teknologis ini, jika kerajaan sendiri tidak menunjukkan teladan baik kepada mereka?

Contoh mudah, adakah graduan aliran ini setaraf aliran teknikal tulen seperti kejuruteraan, walaupun mereka mempunyai taraf sijil yang sama? Langkah kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional yang diumumkan, baru-baru ini, sepatutnya dapat merungkai banyak isu dihadapi TVET masa kini.

Termaktubnya penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) juga boleh menjadi titik tolak kepada menaikkan tahap pengiktirafan golongan graduan TVET. Seperti juga Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), MBOT mempunyai akta mereka sendiri khusus untuk golongan TVET, sekali gus mengiktiraf bidang ini ke satu tahap lebih tinggi.

Permudahkan golongan teknologis ini untuk memasuki realiti sebenar pekerjaan dengan laluan pendidikan tinggi yang lebih seimbang.

Kedua, elemen kurikulum dalam aliran TVET perlu dimurnikan dengan elemen kemahiran insaniah (KI) atau ‘softskills’. Mereka seharusnya tidak boleh semata-mata fokus untuk mendapatkan ilmu kemahiran terbaik, tetapi perlu mempersiapkan diri dengan ilmu tambahan lain.

Dengan dunia pekerjaan semakin mencabar, mereka tidak boleh lari untuk turut sama menerima ilmu kemahiran dalam kepemimpinan dan membentuk sahsiah terbaik.

Kemahiran insaniah secara amnya merangkumi aspek kemahiran generik yang membabitkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran, bukan akademik seperti nilai positif dalam kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.

Elemen kemahiran insaniah terbukti dan dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang bersifat global seiring Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Antara elemen kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi, pemikiran kreatif dan kritis, kemahiran berkerja dalam satu pasukan, pembelajaran secara berterusan di samping pengurusan maklumat yang baik. Tidak ketinggalan, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional dan kemahiran dalam kepemimpinan.

Melahirkan graduan berkualiti dalam TVET dan dalam masa sama menghilangkan persepsi masyarakat yang menjadikan aliran ini pilihan
terakhir, boleh dicapai sekiranya semua perancangan dan idea yang selama ini dirancang dapat dilaksanakan secara tegas dan konsisten.

Kerjasama dari sektor kerajaan dan swasta perlu dirapatkan supaya apa yang berjalan mahupun dirancang tidak sia-sia, sekali gus meletakkan TVET dan golongan teknologis setanding mana-mana bidang profesional lain.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains dan Kejuruteraan Kolej Univeristi Yayasan Pahang.

Berita Harian X