Rabu, 17 April 2019 | 11:00am
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyampaikan Anugerah Penghargaan Akademik Bahasa Melayu kepada Prof Madya Dr S Vijayaletchumy (dua dari kanan) pada Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan 2018 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Oktober tahun lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Wujudkan Bulan Kesusasteraan Kebangsaan

SETIAP Oktober kita menyambut sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan diisi dengan pelbagai program di seluruh negara. Sebelum dinamakan sebagai sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada 2009, nama sambutan bertukar beberapa kali selepas diperkenalkan sekitar 1960-an yang bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan.

Pada 1999, program kempen ini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN), tetapi 10 tahun kemudian bertukar pula kepada Bulan Bahasa Kebangsaan. Namun, pada tahun lalu, apabila bertukar kerajaan, nama sambutan bertukar pula kepada Sambutan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan.

Matlamatnya tetap sama iaitu bagi menyemarakkan semangat cintakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Penjenamaan semula ini pasti bertujuan mengukuhkan lagi perjalanan dan hasil program terhadap sasarannya.

Oleh kerana berlaku pemisahan antara bahasa dengan sastera dalam konteks skop sambutan, maka terasa kehilangan pula roh kesusasteraannya pada sambutan berkenaan. Justeru, ibarat patah tumbuh hilang berganti, maka alangkah baik jika diwujudkan pula Sambutan Bulan Kesusasteraan Kebangsaan.

Seluruh agensi kerajaan, universiti, sekolah dan komuniti boleh memikirkan aktiviti sesuai dengan sambutan. Sesungguhnya, kesusasteraan berupaya membangunkan modal insan dan mendidik anak secara tidak langsung.

Perlu difikir dan direnungkan bahawa dunia kesusasteraan tanah air juga meniti sejarah yang panjang dan berliku daripada tradisi lisan hingga tulisan yang bermula dengan hikayat dan cerita rakyat. Nama seperti Abdullah Munsyi, Syed Sheikh al-Hadi, Ahmad Rasyid Talu, Pungguk (Muhammad Yassin Maamur), Harun Aminurrashid (Harun Muhammad Amin), Shahnon Ahmad, Usman Awang, Muhammad Salleh, Kemala (sekadar menyebut beberapa nama) sehingga deretan panjang pengarang tumbuh berkesinambungan merentasi generasi penulis hari ini.

Malah, Pejabat Karang-Mengarang yang wujud ketika zaman Sultan Idris Training College (SITC) pernah menjadi tempat Pendeta Za’ba mencurahkan bakti. Dalam era terkemudian, sejarah tidak boleh menafikan pentingnya sumbangan dan peranan perjuangan DBP dan mutakhir ini dilihat Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang mendukungi usaha menggerakkan penerbitan buku kesusasteraan selain buku am dan terjemahan.

Seterusnya dengan bersemangat pelbagai pandangan dilontarkan aktivis dan sarjana kesusasteraan mengenai masa depan kesusasteraan demi kebimbangan lunturnya sanjungan dunia kesusasteraan.

Perjuangkan bahasa, kesusasteraan Melayu

Pertubuhan penulis bukan kerajaan seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) diwujudkan untuk bukan sahaja memperjuangkan bahasa Melayu, malah kesusasteraan Melayu. Langkah menubuhkan kerabat GAPENA di seluruh negara bagi merangka pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk kalangan penulis antara mekanisme kepemimpinan terdahulu agar gerakan memperkasakan kesusasteraan bertebaran di seluruh pelosok negara.

Begitu juga antara objektif penubuhan DBP (Akta DBP, Semakan 1978, pindaan dan peluasan 1995) untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan selain mencetak atau menerbitkan atau membantu percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung saban tahun juga mencerminkan inisiatif menggerakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia serta merangsang pertumbuhan industri perbukuan yang diasak cabaran dunia digital yang serba pantas.

Anugerah Sastera Negara, Hadiah Sastera Perdana Malaysia serta hadiah kesusasteraan di peringkat negeri memperlihatkan betapa penghargaan diberikan terhadap dunia kesusasteraan.

Peruntukan dana

Peruntukan dana yang disokong oleh kerajaan negeri sangat bermakna dan diharapkan berkesinambungan. Bagi negeri yang belum memulakannya, pihak kerajaan negeri perlu proaktif bersama persatuan penulis di negeri masing-masing berbincang merealisasikannya.

Justeru, saya berpendapat sudah sampai masanya diwujudkan sambutan Bulan Kesusasteraan Kebangsaan yang mengkhusus kepada kesusasteraan merentas pelbagai kaum. Betapa unik suasana kemajmukan bangsa dan budaya di negara ini juga adalah keunikan wajah kesusasteraan kita.

Dalam konteks lebih luas, bukan sahaja kesusasteraan Melayu, kita juga perlu meraikan kesusasteraan Cina, Tamil serta etnik pelbagai suku kaum di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Hal ini bertepatan semangat hidup bersatu padu berbilang bangsa dan menghormati di antara bangsa satu sama lain. Pengarang bukan Melayu yang kekal aktif menulis karya kreatif bahasa Melayu, malah sangat menyanjungi bahasa kebangsaan, antaranya Dr Lim Swee Tin, Dr Raja Rajeswary Seetha Raman serta Chai Loon Guan.

Hakikatnya, setiap bangsa dan etnik menyumbang terhadap pertumbuhan dunia kesusasteraan. Menerusi Sambutan Bulan Kesusasteraan Kebangsaan yang merentas pelbagai kaum, memberi peluang untuk kita bersatu mengukuhkan dunia kesusasteraan Melayu dan pelbagai kaum di negara ini.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

134 dibaca
Berita Harian X