Sabtu, 13 April 2019 | 11:18am
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Datuk Osman Sapian di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, pagi ini. - Ihsan Royal Press Office

Lantikan MB Johor budi bicara Sultan

Istilah kuasa mutlak sering diperbahaskan apabila berlaku pertembungan antara raja dengan pemimpin rakyat. Sering kali istilah Raja Berperlembagaan digunakan untuk mengekang pengaruh Raja dalam urusan pemerintahan.

Walhal, Raja adalah pemimpin tertinggi dalam sistem politik dan semua pihak tertakluk pada undang-undang tempatan, tanpa terkecuali.

Dua istilah di atas iaitu kuasa mutlak dan Raja Berperlembagaan akan dibahaskan terlebih dahulu sebelum mengulas isu semasa, iaitu kuasa melantik seorang Menteri Besar selepas Datuk Osman Sapian di Johor.

Kuasa mutlak dalam bahasa Inggeris ialah absolute power, kamus Oxford (2007) mentakrifkannya sebagai ‘memiliki kuasa yang tidak terbatas’. Raja mutlak pula secara umumnya ditakrifkan sebagai pemerintahan di bawah kekuasaan seorang; Raja atau ratu yang tindak-tanduknya tidak dibataskan oleh undang-undang atau adat.

Sekiranya ditelusuri maksud kuasa dan raja mutlak yang dimaksudkan, prinsip itu tidak diamalkan di Tanah Melayu selewat-lewatnya setelah berlaku wa’adat Sang Sapurba dan apabila agama Islam menjadi anutan Raja-Raja Melayu.

Perlembagaan bertulis awal di Tanah Melayu seperti Hukum Kanun Melaka (1424), Hukum Kanun Pahang (1592), Undang-Undang Kedah (1650), Undang-Undang 99 Perak (1577), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (1895) dan Itqanul Muluk Terengganu (1911) menunjukkan Raja-Raja Melayu berposisi sebagai pemegang amanah kedaulatan milik Allah SWT.

Raja-Raja di Tanah Melayu dikehendaki memerintah berdasarkan hukum Syarak dan adat Melayu. Keadaan itu menggambarkan kerajaan-kerajaan Melayu memiliki sistem politik tradisional tersendiri lebih awal daripada prinsip Raja dalam Parlimen di England.

Prinsip Raja dalam Parlimen di England pada hari ini diasaskan daripada Coronation Oath Act 1688 dan Bill of Rights 1689.

Istilah Raja Berperlembagaan perlu difahami dalam konteks Raja di sisi Perlembagaannya. Perlembagaan itu adalah keterangan mengenai raja atau pemerintah dengan kerajaannya yang menyentuh kenegaraan dan prinsip ketatanegaraannya. Perlembagaan itu wujud sama ada dalam bentuk bertulis atau tidak, dan menjadi cerminan sebuah kerajaan berdaulat.

Raja-Raja Melayu seperti amalan Kesultanan Melayu Melaka berposisi sebagai pemegang amanah berkonsepkan khalifah; amalan syura dan prinsip keadilan adalah teras pemerintahan kerajaan. Raja tidak mempunyai kuasa mutlak tetapi tertakluk pada pegangan ajaran Islam, sumber perundangan Islam dan adat Melayu.

Namun begitu keputusan akhir dalam sistem politik tradisional Melayu dimuktamadkan oleh baginda raja yang memerintah berdasarkan prinsip-prinsip di atas.

Dalam sistem tradisional Melayu, kuasa prerogatif dan budi bicara seorang raja lebih luas. Kuasa prerogatif dan budi bicara raja kemudiannya dihadkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan baginda. Undang-Undang Tubuh Kerajaan itu diinstitusikan oleh raja dan ahli syura baginda.

Dari sudut Perlembagaan Persekutuan, kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong dan institusi-institusi di bawah baginda seperti Parlimen, Badan Eksekutif seperti Jumaah Menteri dan Kehakiman ialah apa yang diberikan oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Ringkasnya, kuasa dan bidang kuasa Persekutuan adalah kuasa dan bidang kuasa yang dimiliki oleh Yang di-Pertuan Agong, fungsi kuasanya dilaksanakan oleh pihak-pihak yang dibenarkan oleh undang-undang.

Berhubung dengan pelantikan seorang menteri besar di Johor, kaedahnya dinyatakan oleh Fasal 3 dan Fasal 4(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (Bahagian Kedua). Di bawah Fasal-fasal itu, Sultan Johor tidak boleh memilih sesiapa sahaja, sebaliknya baginda hendaklah melantik salah seorang Ahli DUN yang beragama Islam berketurunan orang Melayu pada timbangan baginda boleh mendapat sokongan majoriti ahlinya sebagai seorang Menteri Besar.

Di bawah prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, baginda Sultan melaksanakan pemerintahan negeri berpaksikan sumpah jawatan baginda seperti terkandung dalam Jadual 1 di bawah Fasal 8 Bahagian Ketiga.

Prinsip itu menetapkan bahawa Sultan Johor hendaklah memerintah dengan adil, saksama dan timbang rasa kepada semua rakyat dan penduduk negeri, memelihara dan menghormati agama Islam dan adat Melayu serta berpegang kuat dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan dan undang-undang negeri.

Dalam kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, fungsi kuasa Sultan boleh dilaksanakan oleh baginda sendiri atau diberikan kepada pihak lain menurut undang-undang. Sultan melaksanakan fungsi kuasa baginda menurut budi bicara baginda atau bertindak di atas nasihat.

Justeru dalam kes pemilihan atau pelantikan Menteri Besar, isu yang perlu diperbahaskan sebenarnya, bukanlah sama ada Sultan Johor itu berkuasa mutlak ataupun tidak, sebaliknya adakah baginda dikehendaki bertindak mengikut nasihat mana-mana pihak.

Isu itu dijawab oleh Fasal 7(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (Bahagian Kedua) bahawa kuasa untuk memilih seorang Menteri Besar adalah di bawah budi bicara baginda.

Budi bicara adalah prerogatif yang masih tersimpan pada Raja-Raja untuk bertindak tanpa terikat dengan nasihat. Sekiranya dirujuk pada Fasal 7(2) terdapat tujuh perkara yang jatuh di bawah budi bicara Sultan Johor, selain daripada Fasal 7(3) (Bahagian Kedua) dan Fasal 8 (Bahagian Ketiga).

Budi bicara yang perlu dilaksanakan begitu juga setiap nasihat, pastinya tertakluk pada keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan kedaulatan undang-undang berlandaskan prinsip-prinsip ajaran Islam untuk mencapai objektif syarat-syarat dalam sumpah jawatan baginda.

Selain peruntukan nyata Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, di sana terdapat konvensyen bahawa syor pemimpin parti yang memiliki suara majoriti dalam DUN perlu diberi pertimbangan sama. Dalam apa juga keadaan, budi bicara dan kebijaksanaan adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Yang pasti, kuasa itu bersifat budi bicara yang terletak pada Sultan Johor.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan Universiti Malaysia Perlis

3170 dibaca
Berita Harian X