Jumaat, 12 April 2019 | 11:00am
Bahagian Kedua, Fasal 3 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 menyebut Raja hendaklah melantik dengan bersurat tauliah yang ditandatangani olehnya dan dicop dengan mohor kerajaan akan seorang Menteri Besar yang ada berkelayakan. - Foto NSTP
GAMBAR fail, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor Bersama Kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan turut kelihatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian di Hotel Pulse Grande Putrajaya, Februari lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

MB bukan pilihan mutlak Sultan

Isu perlantikan Menteri Besar (MB) dan campur tangan Istana sekali lagi mendapat perhatian. Kali ini membabitkan negeri selatan tanah air susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, sehingga mencetus perdebatan mengenai pelantikan pengganti.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menegaskan pelantikan itu sepatutnya menjadi urusan parti politik yang menang pada pilihan raya dan pihak Istana tidak berhak untuk campur tangan.

Jika dilihat secara keseluruhan di bawah perlembagaan sama dalam negara demokrasi, semua pihak termasuk Raja-Raja tertakluk di bawah Perlembagaan. Tiada siapa mempunyai hak mutlak. Era kuasa mutlak sebenarnya sudah berakhir.

Sokongan majoriti ahli

Perkara 3(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (Bahagian Kedua) menyebut Menteri Besar perlu mempunyai beberapa kelayakan tertentu. Ini disebut secara jelas dalam Perkara 4(2) bahawa calon dipilih mestilah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada pertimbangan baginda boleh mendapat sokongan majoriti ahlinya.

Semua keperluan disebut menunjukkan budi bicara Sultan bukanlah mutlak.

Walaupun disebut perkataan ‘mengikut pertimbangan’, Sultan tidak mempunyai budi bicara mutlak disebabkan adanya keperluan untuk ‘mendapatkan sokongan majoriti ahli’.

Pertimbangan Sultan sebaliknya mesti dibuat dengan mengambil kira fakta politik. Dalam hal ini hanya parti atau pakatan yang mempunyai majoriti mutlak berhak memilih seorang pemimpin untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

Perkara ini pernah disebut Sultan Azlan Shah menerusi tulisannya The Role of Constitutional Rulers in Malaysia yang menyatakan:
“biarpun benar bahawa pelantikan seseorang Menteri Besar adalah prerogatif Sultan, baginda tidak bebas untuk melantik sesiapa yang disukai. Apabila parti yang memenangi majoriti kerusi memutuskan untuk mencalonkan seorang daripada ahlinya, Sultan terbabit tidak mempunyai pilihan kecuali melantiknya.”

Ini jelas menunjukkan kegagalan mematuhi konvensyen ini akan menyebabkan Sultan terbabit dalam politik partisan. Dewan Undangan Negeri (DUN) mungkin boleh meluluskan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar yang baru dilantik. Jika perkara itu berlaku, pasti boleh memalukan baginda dan seterusnya membawa kepada krisis Perlembagaan.

Pertimbangan ikut budi bicara

Bagaimanapun, sesetengah situasi mengizinkan baginda membuat pertimbangan mengikut budi bicara tersendiri. Antaranya jika kedudukan DUN ‘tergantung’ dan tiada mana-mana pihak memiliki majoriti, selain pihak majoriti berbelah bahagi dalam soal pemilihan ketua. Hal sama berlaku jika terdapat gabungan dan ia berbelah bahagi dalam pemilihan ketua.

Ketika berlaku pembubaran juga, Menteri Besar meninggal dunia atau meletak jawatan, maka Sultan mempunyai kuasa untuk memilih Menteri Besar sementara.

Artikel 4(2) dan 7(2) (a) mengenai pelantikan Menteri Besar oleh Sultan, mestilah dibaca dengan mengambil kira kandungan Perlembagaan yang mengandungi ciri-ciri demokrasi berikut (a) Menteri Besar bukan wizir/wazir peribadi kepada Sultan, tetapi dipilih DUN; (b) Menteri Besar dan EXCO perlu menjawab kepada DUN, bukan kepada Sultan: Artikel 4(5); (c) terdapat DUN yang dipilih: Artikel 15; (d) Menteri Besar boleh dipecat oleh DUN melalui undi tidak percaya: Artikel 4(6); dan (e) Sultan adalah Raja Berperlembagaan yang mesti bertindak atas nasihat yang dikawal situasi tertentu apabila budi bicara diperlukan.

Tiada kuasa bubarkan DUN

Timbul juga persoalan adakah Sultan memiliki kuasa untuk membubarkan DUN? Jawapannya tidak.

Perkara 23 menyebut baginda mempunyai kuasa untuk memulakan dan menangguhkan DUN, tetapi atas nasihat. Begitu juga dengan Perkara 23(2) yang menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan pada peringkat pertengahan, walaupun DUN belum berakhir, tetapi juga atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1).

Jika Sultan boleh membubarkan DUN atas kehendaknya, pilihan raya yang dilakukan adalah tidak bermakna walaupun wang berjuta ringgit dihabiskan. Semua suara rakyat tidak memberi sebarang kesan.

Secara perundangan, Perdana Menteri juga tidak mempunyai sebarang peranan terhadap pelantikan seseorang Menteri Besar kerana ia mesti dibuat oleh Sultan.

Tetapi jika Perdana Menteri terbabit adalah ketua parti atau pakatan yang sama menguasai dewan negeri, beliau boleh mempengaruhi pemilihan ketua DUN yang juga berhak untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

Penulis adaah Pakar Undang-undang Perlembagaan, Professor Undang-Undang Universiti Malaya

8902 dibaca
Berita Harian X