Selasa, 2 April 2019 | 10:00am
PENCEMARAN sisa kimia di Sungai Kim Kim baru-baru ini mencatat detik hitam dalam lembaran pengurusan alam sekitar di negara. - Foto Hasan Ismail

Isu Sungai Kim Kim tuntut tindakan berkesan

BENCANA pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini mencatat detik hitam dalam lembaran pengurusan alam sekitar di negara.

Ini bukanlah insiden kali pertama seumpamanya berlaku sejak Malaysia mengubah sektor asas ekonominya dari negara berasaskan pertanian kepada negara berasakan perindustrian pada 1984.

Negara amat pesat membangun dengan pelbagai inisiatif ditawarkan oleh kerajaan kepada pemain industri dan berjaya menarik berbilion ringgit pelaburan ke dalam negara. Negara sudah mengaut keuntungan besar hasil pelaburan ini, namun kelestarian alam sekitar merosot hasil pencemaran industri

Bertindak secara serius

Bencana Sungai Kim Kim menjadi wake-up call kepada semua pihak yang terbabit untuk mula bertindak secara serius dan efektif supaya insiden sama tidak berulang.

Sejak insiden ini berlaku, kerajaan bertindak proaktif dengan mewujudkan pusat gerakan bencana untuk menyelaraskan kerja pengurusan bencana.

Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia Malaysia dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dikerah dalam mengenalpasti bahan pencemar dan membuat pemantauan kualiti udara di sekitar Pasir Gudang.

Tidak ketinggalan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga turut menggerakkan dua kumpulan iaitu Kumpulan Tinjau Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear (CBRN) dan Kumpulan Nyah Cemar bagi membantu usaha pembersihan kawasan yang tercemar.

Namun, laporan perubatan didedahkan Dr Azlina Roszy, Pakar Psikologi Klinikal Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) mendapati 90 peratus pesakit pencemaran toksik dikenal pasti menghidap hyperventilation syndrome akibat keresahan melampau dan mereka pulang tanpa perubatan.

Ini berpunca daripada berita palsu yang tersebar di media sosial serta overreported oleh pihak media, menambahkan lagi kegelisahan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk. Hal ini memberikan satu isyarat jelas bagi kita untuk menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan bencana.

Teliti dedah maklumat

Aspek penting lain yang perlu diambil kira ialah dari segi mengkoordinasi sumber berita yang dilaporkan oleh pihak berkuasa. Kita telah melihat pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh agensi-agensi yang terbabit dan kadang-kala wujud percanggahan.

Pengumuman mengenai bahan pencemar yang dikesan perlulah dilakukan dengan teliti. Ketika bencana, penggunaan alat pengesan gas beracun boleh digunakan di lapangan dan perlu juga disahkan melalui keputusan analisis makmal supaya laporan yang ingin diumumkan kepada rakyat diyakini kredibilitinya.

Hakikatnya, negara kita masih belum ada SOP yang lengkap dalam menghadapi pencemaran kimia, biologi dan radiologi.

Maka, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) harus bangkit dan mula menggubal SOP bagi menghadapi bencana pencemaran kimia seperti ini. NADMA perlu menubuhkan majlis penasihat bagi menasihati kerajaan mengenai pengurusan kesan kimia, biologi dan radiologi.

Dengan mengambil konsep serupa seperti diamalkan di Amerika Syarikat, majlis ini akan menyediakan pelan tindakan pengurusan bencana yang komprehensif meliputi aspek pengenalpastian bahan pencemar, persampelan dan ujian makmal serta pemantauan kualiti alam sekitar berterusan.

Juga perlu ialah pengawasan perubatan kepada mangsa yang terdedah kepada pencemaran melalui pengawasan biologikal, penyahcemaran, pembersihan serta pengurusan sisa bahan pencemar.

Buat masa ini, kita lebih tertumpu kepada pengurusan bencana seperti banjir dan jerebu.

Anggaplah bencana Sungai Kim Kim ini sebagai percubaan dalam menyelaraskan latih amal pengurusan bencana akibat pencemaran kimia. Saya juga kagum dengan pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang berusaha keras dalam menangani bencana ini.

Lindungi alam sekitar

Pengumuman tegas oleh menteri untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 disambut baik oleh semua. Sumbangsaran oleh pemegang taruh dan pakar akademik amat ditagih dalam menggubal akta baharu ini supaya ia menjadi senjata dan perisai yang kuat untuk kita membela nasib alam sekitar kita.

Harus diingat, undang-undang sahaja tidak mampu untuk mencegah daripada insiden ini berulang. Jabatan Alam Sekitar harus mensiap-siagakan pegawainya untuk membuat pemantauan yang kerap serta bertindak terhadap laporan pencemaran serta melakukan pemeriksaan susulan.

Semoga bencana ini menjadi iktibar untuk kita semua.

Penulis adalah Ahli Kimia Kesihatan Persekitaran dan Alam Sekitar di ALS Technichem (M) Sdn Bhd

Berita Harian X