Rabu, 27 March 2019 | 11:00am
Anggota masyarakat Islam tempatan memasuki Masjid Al Noor selepas dibuka semula di Christchurch pada 23 Mac, 2019. - Foto AFP

Dakwah tangani gejala Islamofobia

Tragedi berdarah di New Zealand baru-baru ini, apabila lelaki bersenjata membunuh 50 umat Islam di dua masjid dan mencederakan puluhan lagi yang lain, adalah satu perbuatan yang mesti dikeji semua pihak. Jenayah itu adalah perbuatan keganasan yang bertentangan dengan nilai luhur keagamaan dan kemanusiaan sejagat.

Peristiwa itu memberi pengajaran iaitu permasalahan ‘Islamofia’ masih lagi menjadi cabaran besar terhadap umat Islam di seluruh dunia. Sikap benci dan dendam terhadap agama dan masyarakat Islam kelihatan masih berleluasa di kalangan masyarakat bukan Islam. Ia bertambah buruk lagi apabila sesetengah individu dan kumpulan mengambil kesempatan Islamofobia bagi tujuan menanam doktrin kemuliaan kelompok berasaskan keturunan dan warna kulit.

Dalam tragedi di New Zealand itu, jenayah berkenaan didapati didorong oleh doktrin kemuliaan bangsa kulit putih. Doktrin ini berbahaya kerana ia mengandungi pemikiran taasub dan ekstrem terhadap kelompok sendiri dan melihat orang lain yang berbeza sebagai ancaman kepada survival mereka.

Umat Islam di seluruh dunia hendaklah mengambil sikap berhikmah menghadapi cabaran Islamofia yang masih berleluasa. Pendekatan dakwah boleh membantu dalam menangani Islamofobia. Dalam banyak analisa terhadap punca wujud Islamofia, golongan sarjana mendapati, di samping disumbangkan oleh doktrin radikal individu dan kelompok, faktor terbesar lain ialah kejahilan terhadap agama dan masyarakat Islam itu sendiri oleh masyarakat bukan Islam.

Kejahilan memberi ruang yang mudah kepada eksploitasi dan prejudis terhadap agama dan umat Islam terutama menerusi propaganda media yang tidak bertanggungjawab. Pendekatan dakwah menangani Islamofobia boleh dilaksanakan menerusi peningkatan kegiatan penerangan dan sosialisasi antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Penerangan agresif

Penerangan yang agresif mesti digerakkan oleh pertubuhan dakwah seluruh negara bagi memberi kefahaman dan penjelasan terhadap ajaran serta nilai luhur agama Islam sebenar. Masyarakat bukan Islam hendaklah diterangkan hakikat ajaran Islam yang menekankan prinsip keseimbangan, keterbukaan dan kepelbagaian sejagat.

Mereka juga mesti difahamkan iaitu perlakuan yang bertentangan dengan prinsip agama oleh penganut agama Islam tidak boleh dijadikan sandaran dalam memahami hakikat ajaran Islam sebenar. Pada masa kini, revolusi teknologi maklumat hendaklah dimanfaatkan bagi memastikan dakwah dan penerangan mengenai hakikat sebenar agama Islam disebarkan merentasi masyarakat bukan Islam.

Penggunaan bahasa dakwah pelbagai yang sesuai dengan kefahaman masyarakat Islam hendaklah diperluaskan. Sudah sampai masanya pusat penerangan Islam diwujudkan di tempat-tempat awam terpilih bagi memudahkan proses penyampaian dakwah kepada masyarakat bukan Islam. Menerusi pusat penerangan ini, bahan-bahan penerangan dakwah boleh disebarkan secara lebih meluas.

Langkah dakwah lain yang boleh dilaksanakan ialah meningkatkan proses sosialisasi iaitu memperbanyakkan ruang interaksi dan perhubungan sosial antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam. Proses sosialisasi boleh dilaksanakan dalam banyak ruang kehidupan terutama di bidang sosial dan budaya.

Misalnya, umat Islam hendaklah memastikan penyertaan masyarakat bukan Islam dalam acara sosial dan kebudayaan yang dianjurkan di pelbagai peringkat. Malah, kegiatan ziarah wajar dianjurkan secara berkala oleh persatuan penduduk setempat bagi merapatkan hubungan antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam.

Proses sosialisasi masyarakat

Peranan institusi masjid dalam merancakkan proses sosialisasi masyarakat amat penting. Program hari terbuka masjid misalnya boleh dianjurkan dengan menjemput masyarakat bukan Islam mendekati institusi masjid.

Menerusi sosialisasi ini, interaksi sesama masyarakat akan lebih akrab dan penjelasan terhadap kekeliruan serta sensitiviti agama dapat diatasi. Proses sosialisasi adalah sebahagian penterjemahan konsep dialog antara agama yang kini menjadi satu budaya dakwah yang digalakkan di kalangan umat Islam.

Pada waktu ini, umat Islam hendaklah lebih proaktif menangani cabaran Islamofobia. Cabaran ini boleh diatasi dengan lebih berkesan menerusi interaksi dan dialog langsung di antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam. Umat Islam dinasihatkan untuk istiqamah dengan pendekatan dakwah yang hikmah dalam menangani Islamofobia.

Mereka ditegah sama sekali untuk terbabit dengan kegiatan berunsur radikal dan ekstrem bagi mengatasi cabaran Islamofia yang sedang dihadapi umat Islam. Umat Islam hendaklah sentiasa berhati-hati daripada terjebak dengan kegiatan dan tindakan bercorak keganasan kerana ia bertentangan dengan prinsip ajaran Islam yang menekankan nilai mulia dan rahmah untuk seluruh umat manusia.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

203 dibaca
Berita Harian X