Jumaat, 15 March 2019 | 11:00am
Lokasi insiden bermulanya pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang. - Foto BERNAMA

Tiada toleransi penjenayah alam sekitar

Gempar kini kejadian pembuangan sisa kimia secara haram di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang menyebabkan ratusan pelajar serta guru dari beberapa sekolah, terpaksa menerima rawatan kerana terhidu gas toksik.

Kejadian ini tentu mencemaskan dan mengundang kegusaran serta kemarahan ramai pihak, apatah lagi membabitkan kesihatan awam, terutama kanak-kanak yang mungkin berdepan risiko jangka panjang yang serius.

Susulan kejadian ini, beberapa persoalan ditimbulkan, terutama berkaitan penguatkuasaan pelupusan sisa toksik dan tindakan yang boleh diambil ke atas pihak terbabit. Malaysia sebenarnya sudah lama mempunyai undang-undang itu.

Berbanding sisa pepejal atau cecair lain, sisa toksik yang dikenali di Malaysia sebagai buangan terjadual, memerlukan cara pelupusan khusus kerana ciri-cirinya yang berbahaya, berpotensi memberi kesan negatif kepada orang awam dan alam sekitar.

Pada masa ini, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 menyenarai 77 jenis buangan, sama ada dalam bentuk cecair, pepejal atau enap cemar yang mengandungi bahan kimia, logam berat, radiasi, patogen berbahaya atau toksik lain.

Peraturan ini mengguna pakai konsep ‘buaian ke kubur’ (iaitu daripada pengeluar hingga pelupusan akhir) untuk menjejaki sisa berkenaan dan menetapkan sisa toksik hanya boleh dilupuskan di premis dilesenkan dan perlu melalui proses terperinci.

Elak kos antara punca utama

Pada 2017, di Malaysia dianggarkan dua juta tan sisa toksik terhasil daripada perkembangan sektor industri, terutama industri kimia. Isunya mengapa sisa toksik dilupuskan secara haram? Beberapa faktor dikenal pasti dengan satu daripadanya ialah kos.

Demi mengelak membayar fi atau caj pelupusan, lesen atau levi sisa, ada pengeluar tergamak menghapuskan sisa toksik dengan membuangnya di tempat terbuka, tanpa mengambil kira kesan serius terhadap masyarakat dan persekitaran.

Dari segi perundangan, beberapa tindakan dapat ambil terhadap pihak terbabit. Melalui undang-undang alam sekitar, tindakan boleh dikenakan bukan sahaja terhadap pelaku, malah pengarah syarikat yang tidak mencegah pekerjanya daripada melakukan perbuatan itu.

Undang-undang menetapkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Selain itu, pihak berkuasa boleh menyita dan melucut hak kenderaan digunakan dalam pelupusan buangan serta menuntut kos perbelanjaan bagi menghapuskan pencemaran itu.

Bagi pihak mangsa pula, tuntutan ganti rugi sivil boleh dilakukan terhadap pihak berkenaan jika mangsa dapat membuktikan bahawa kesakitan dialami berpunca dari sisa toksik berkenaan.

Sebenarnya, kejadian di Johor ini jelas menunjukkan pembuangan sisa toksik menyebabkan pihak berwajib dan mangsa terpaksa menanggung kos tinggi dari segi kesihatan, baik pulih ekosistem serta perbelanjaan ekonomi berkaitan.

Patuhi protokol pelupusan

Apabila kemudaratan terjadi, ia susah untuk dibaik pulih. Kejadian ini juga menunjukkan bahawa undang-undang sedia ada belum mampu membendung pelupusan sisa toksik secara lebih efektif.

Ada juga kelemahan dalam mengenal pasti keseriusan ancaman pencemaran terhadap kesihatan dan nyawa orang awam. Oleh yang demikian, prosedur operasi standard (SOP) perlu dipertingkatkan bagi membantu memaksimumkan kecekapan operasi dan sebagai langkah pencegahan segera.

Dari sudut penguatkuasaan, penting bagi agensi berkaitan memastikan ia dijalankan secara tegas serta mematuhi protokol piawaian ditetapkan.

Penguat kuasa perlu menggunakan pendekatan toleransi sifar, termasuk rampasan keuntungan daripada aktiviti haram demi menghapuskan insentif kewangan yang berkaitan aktiviti sisa haram.

Selain itu, perisikan dan teknik penyiasatan lain seperti forensik alam sekitar wajar digunakan bagi mengenal pasti semua pihak terbabit dalam kegiatan sisa haram dan mempertanggungjawabkan pihak yang melakukan kesalahan sepanjang rantaian sisa, daripada pengeluar dan pengangkutan hinggalah kepada pelupus.

Mungkin kaedah paling berkesan adalah menghapuskan pengeluaran sisa toksik melalui pembangunan teknologi alternatif agar dapat mengurangkan kesannya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar secara jangka panjang.

Penulis adalah Pensyarah Undang-Undang Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

827 dibaca
Berita Harian X