Khamis, 14 March 2019 | 11:47am
Anggota bomba dan penyelamat mengambil simpel air dan kesan bahan kimia berbahaya yang dibunag secara haram pada awal pagi khamis lalu di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein

Alam bukan tong sampah cuci dosa

Selepas isu bauksit di FELDA Bukit Goh di Kuantan menggemparkan negara, berita pencemaran sisa toksik di Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang pula hangat diperbualkan. Ia turut mengundang kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang turut menggesa supaya pelaku ditangkap dan dihukum segera.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menyelaras dan memantau isu berkenaan. Semua ini membuktikan betapa ia mendapat perhatian mendalam masyarakat.

Mengapa semua ini berlaku lagi dan siapa patut dipersalahkan? Adakah undang-undang dan pemantauan sedia ada tidak berkesan? Apakah hukuman setimpal terhadap penjenayah alam sekitar ini?

Tidak cukupkah masyarakat mendapat natijah dan menanggung akibat daripada tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan mengapa pelaku tergamak mencemari alam sekitar semata-mata mengejar keuntungan? Tidak adakah sekelumit sifat keinsanan dalam diri pelaku sama ada terhadap masyarakat atau alam sekitar?

Semua persoalan ini berkisar kepada satu sahaja, iaitu aspek etika. Ke mana hilangnya etika kita ketika berinteraksi dengan ahli masyarakat atau alam sekitar?

Prinsip etika dalam berinteraksi. Etika bermaksud prinsip moral, akhlak atau nilai yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan masyarakat. Ia bermaksud perkara perlu diamalkan seseorang atau sekumpulan masyarakat ketika berinteraksi, atau berhubung dengan pihak lain, sama ada manusia atau bukan manusia.

Manusia normal dan sihat jiwanya akan sentiasa mempertimbangkan semua persoalan ini sebelum melakukan sesuatu perkara, kerana setiap tindakan ada kesan baik atau buruk.

Elemen perikemanusiaan semakin hilang

Merujuk isu di pencemaran toksik di Sungai Kim-Kim, tidak adakah perasaan belas kasihan atau ihsan terhadap mereka yang menerima kesan akibat tindakan tidak bertanggungjawab ini.

Ke mana hilangnya perikemanusiaan apabila pelajar di sekitar kawasan tercemar bukan sahaja menerima kesan dari segi kesihatan, malah dinafikan hak untuk meneruskan pendidikan apabila sekolah diarahkan tutup atas faktor keselamatan. Kesannya turut dirasai ibu bapa dan guru.

Bolehkah jiwa si pelaku memikirkan semua ini. Bagi pelaku dalam kes ini, alam sekitar hanya layak dijadikan ‘tong sampah’ untuk mencuci dosa akibat perbuatan tidak bermoral dengan membuang segala hasil kerja kotor mereka di situ.

Lantaklah apa berlaku selanjutnya kerana ia bukan masalah mereka. Yang pasti bukan ahli keluarga dan sanak saudara mereka menerima akibatnya. Etika memberi penekanan kepada nilai, sifat dan sikap baik serta positif yang berakar umbi dan menjadi pegangan budaya kalangan nenek moyang.

Ia meliputi prinsip keadilan, sifat tidak merosakkan alam sekitar, budaya menghormati manusia lain dan alam serta keutamaan membangun tanggungjawab moral. Semua ini hakikatnya sudah lama lenyap bersama arus kemodenan dikecapi.

Yang berlaku sudah pun berlaku. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan terimalah akibatnya.

Sejujurnya, tidakkah si pelaku mahu tampil mengakui kesalahan mereka, memohon maaf kepada ahli masyarakat atau cuba memperbaiki kerosakan dilakukan dan seterusnya menerima hukuman selayaknya di atas segala tindakan mereka.

Nilai, etika dalam diri

Ayuh, berfikir dan bertindaklah secara waras. Janganlah selamanya terbelenggu sifat materialistik berteraskan keuntungan jangka pendek, kerana semua makhluk ciptaan Allah mempunyai hak tersendiri dan ia wajib dihormati.

Setiap ahli masyarakat perlu sentiasa sedar tujuan mereka diciptakan untuk memberi manfaat kepada umat manusia serta alam sekitar, bukan sebaliknya.

Akhirnya, manusia perlu sentiasa meletakkan akal di hadapan berbanding nafsu dalam segala tindak tanduk supaya isu yang berlaku di Sungai Kim-Kim tidak kembali berulang.

Kesedaran dan tanggungjawab akan muncul dengan sendirinya apabila nilai dan etika wujud dalam diri.

Justeru, elemen agama dan pendidikan formal mahupun tidak formal adalah platform paling berkesan membentuk serta memperkukuh etika diri. Penerapannya dalam segenap aspek kehidupan ahli masyarakat penting bagi memastikan kesejahteraan manusia dan alam sekitar kekal terpelihara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan Faulti Perubatan dan Sains, Kesihatan, UPM

729 dibaca
Berita Harian X