Selasa, 5 March 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Integrasi ilmu bangkit kegemilangan peradaban Islam

Kementerian Pendidikan giat memperkasa integrasi ilmu menerusi inisiatif mewujudkan sebuah konsortium universiti dalam negara, yang mempraktikkan pendekatan integrasi ilmu dalam amalan kurikulumnya.

Ia membabitkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pemerkasaan integrasi ilmu dalam institusi pendidikan tinggi sama ada dalam aspek pengajaran, penyelidikan, inovasi dan khidmat masyarakat, menjadi strategi memacu pembangunan negara secara holistik. Ia juga langkah proaktif menghadapi permasalahan masyarakat dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Dari sudut sejarah, gerakan transformasi universiti Islam berlaku pada akhir kurun ke-19. Satu gerakan aktif dinamakan ‘islah’ mendapat liputan meluas dunia Islam muncul ketika itu.

Islah sendiri satu gagasan bertujuan mengubah keadaan masyarakat yang rosak akhlak serta akidah, menerusi usaha integrasi ilmu bagi membanteras kejahilan, kemunduran, merungkai belenggu taklid buta dan memperkasa akidah ummah.

Gerakan muncul di Asia Barat kesan penjajahan berterusan ke atas umat Islam, menyebabkan mereka hidup dalam pelbagai dilema. Justeru, beberapa tokoh ulama bangkit menyedarkan umat Islam bagi meneruskan kegemilangan tamadun yang pernah menjadi peneraju kemajuan dunia.

Gerakan bawa kesedaran dunia Islam

Gagasan islah diperkenal dua tokoh utama iaitu Jamaluddin al-Afghani (1839-1907) dan muridnya, Sheikh Muhammad Abduh. Kedua-duanya reformis terkenal dalam gerakan reformasi ummah. Gerakan berjaya membawa kesedaran ke seluruh dunia Islam termasuk Malaysia, mengenai integrasi ilmu dan kepentingannya dalam membawa kemajuan serta peradaban negara secara holistik.

Dalam era 1980-an, perbincangan sarjana terhadap konsep integrasi ilmu kembali hangat. Malaysia adalah paling komited terhadap resolusi Persidangan Pendidikan Islam diadakan di Makkah pada 1977, menyarankan pendidikan mesti berpaksikan tauhid. Dualisme atau sekularisme dalam sistem pendidikan dunia Islam pula perlu diatasi dengan integrasi ilmu berdasarkan tasawwur Islam.

Hasilnya, pada 1987, Falsafah Pendidikan Negara yang kemudian dikenali Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) digubal.

Sudah tiba masanya perancangan kemas dan holistik digerakkan. Kerjasama pintar dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dijalin secara terancang dan sarjana serta mahasiswa perlu diperkasa sebagai pemangkin perubahan, berdaya tahan dan tidak mudah dipengaruhi subjek lingkungannya.

Mereka perlu dilengkapkan kemampuan memahami realiti dan permasalahan masyarakat hari ini, selain mahir mengemukakan penyelesaian terhadap permasalahan yang timbul.


Dua tokoh utama iaitu Jamaluddin al-Afghani (1839-1907;kiri) dan muridnya, Sheikh Muhammad Abduh.- Foto asyhadu.com

Perkasa integrasi ilmu dalam program akademik

Universiti perlu memperkasa integrasi ilmu dalam program akademiknya dengan memberi penekanan bersepadu antara ilmu naqli dan aqli, fardu ain dan fardu kifayah, tradisional dan kontemporari serta agama dan dunia.

Ramai tokoh ilmuwan Islam pada zaman kegemilangan tamadun Islam dapat dicontohi. Tradisi dunia Islam dahulu mendedahkan generasi pelajar mengenai ilmu yang menjadi fardu ain seperti akidah, fiqh, akhlak dan tajwid.

Ia disusuli ilmu fardu kifayah seperti perubatan, pertukangan, kejuruteraan, sains dan sebagainya. Akhirnya, dunia Islam menjadi maju dan berkuasa dalam segala aspek.

Inisiatif mewujudkan Konsortium Universiti-Universiti Integrasi Antarabangsa Malaysia diharap dapat menyuburkan aspek penyelidikan di universiti terbabit. Manuskrip warisan negara perlu dilakukan penerokaan, pendigitalan dan mudah dicapai masyarakat untuk dimanfaatkan dan disambut komitmen tinggi.

Kerjasama negara Asia dan Barat akan meningkatkan capaian manuskrip asal yang berada di luar negara.

Bagi aspek penterjemahan bahan akademik, UniSZA, UIAM dan USIM akan menggiatkan penterjemahan ke bahasa Arab, Mandarin, Jepun, dan Jerman untuk mengembangkan karya akademik negara.

Dalam menghadapi cabaran era IR4.0, pendekatan bersepadu perlu dilaksanakan sebaiknya dalam sistem pendidikan negara.

Integrasi ilmu perlu dimantapkan ke arah mencipta golongan sarjana, cendekiawan, pemikir dan pemimpin. Kombinasi antara ilmu fardu ain dan fardu kifayah, tradisional dan kontemporari, serta ilmu naqli dan aqli, boleh melahirkan insan terdidik yang bijak memanfaatkan ilmu dan teknologi ke arah menjayakan misi kehidupannya, selain memakmurkan masyarakat ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

Kefahaman dan penghayatan FPK perlu dimantapkan semula agar falsafah dan model pendidikan Malaysia dapat membawa perubahan holistik, seterusnya melonjak peradaban masyarakat Malaysia.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Berita Harian X