Sabtu, 2 March 2019 | 11:00am

Pemulihan FELDA perlu dari lapangan

Kenyataan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar, mengenai RM5.5 Bilion hutang peneroka sudah dimuktamadkan, amat ditunggu-tunggu. Penyata berkenaan perlu disediakan mengikut prinsip akaun sebenar dan segera diedar supaya dapat diteliti peneroka atau pentadbir, sebelum bersetuju dengan nilai dicatatkan. Ini penting untuk memuktamadkan proses serta dipersetujui kedua-dua pihak.

Selama ini warga peneroka mempertikai nilai dan kos operasi tinggi, sedangkan hasil serta keadaan ladang diurus tidak memuaskan.

Justeru, ada yang terpaksa terus bergantung kepada pinjaman sara hidup, walaupun selepas lapan tahun tanam semula.

Perincian kos operasi tidak jelas serta potongan tabung tanam semula yang disenarai sebagai perbelanjaan dan dikira sebagai hutang, menjadikan nilai pinjaman terus bertambah.

Apa pun kejayaan memuktamadkan penyata ini memberi ruang kerajaan merealisasikan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu menghapuskan 50 peratus hutang tak wajar.

Walaupun nilai hutang sebenar belum dimuktamadkan FELDA, ia sudah mula dibayar peneroka melalui potongan Bayaran Kembali Sementara (BKS) setiap bulan daripada hasil ladang.

Bagi ladang sudah berhasil penuh pula, bayaran 60 peratus dibuat pada bulan semasa dan baki pada bulan berikutnya bagi urusan pemotongan hutang dan potongan tabung tanam semula.

Masalah aliran tunai, hutang

Dengan kutipan hutang RM20 juta sebulan atau RM250 juta setahun dan hasil ladang peneroka RM300 juta sebulan, sepatutnya FELDA tiada masalah aliran tunai bagi membiayai pengurusan ladang peneroka.

Melainkan FELDA bergantung kepada hasil ladang peneroka untuk menanggung pengurusan operasinya sendiri.

Masalah aliran tunai dan hutang FELDA bukan disebabkan proses tanam semula semata-mata kerana peneroka menabung bagi proses itu dan dipotong setiap bulan daripada hasil ladang sejak sekian lama.

Peneroka juga menerima wang SES dan pelbagai bantuan daripada agensi lain seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Punca hutang besar FELDA

Yang jelas FELDA hilang punca pendapatannya selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad atau kini dikenali FGV Holdings Berhad (FGV).

Melaluinya 360,000 hektar ladang milik FELDA di bawah FELDA Plantations Sdn Bhd yang memberi pendapatan lebih RM1 bilion setahun, dipajak kepada FGV untuk penyenaraian dengan hanya bayaran RM250 juta setahun. Keuntungan saham FGV tidak membantu apabila terus merudum dan pendapatan FELDA terjejas.

Laporan Tahunan FELDA 2016 mendedahkan sebelum penyenaraian agensi itu mempunyai pendapatan lebih RM5 bilion, tetapi mengalami kerugian tahun berikutnya, iaitu selepas penyenaraian.

Pendapatan FELDA juga disumbang perniagaan FELDA Holdings Berhad yang dibangunkan bersama Koperasi Permodalan FELDA (KPF).

Persoalan besar apabila FELDA membuat pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2011 untuk proses tanam semula ladang peneroka. Penyenaraian FGV juga untuk mendapat tunai bagi tujuan sama. Namun bagaimana RM6 bilion itu dimnafaatkan.

FELDA menjana RM11 bilion hasil penyenaraian FGV, tetapi selepas beberapa tahun aliran tunai kosong. FELDA turut meminjam bagi menyiapkan Perumahan Generasi Kedua FELDA (PGBF) yang kini terbengkalai dan masih berhutang dengan kontraktor.

RM2 bilion pula dipinjam FELDA pada 2016 untuk membeli pegangan saham Eagle High Plantations di Indonesia.

FELDA perlu mengambil alih 360,000 hektar ladang yang dipajakkan kepada FGV bagi memulihkan kewangannya. Kilang sawit selaku nadi perusahaan yang boleh menghasilkan pendapatan hiliran lain, patut dikembalikan.

Bagi pengurusan peneroka dan generasinya, ladang yang menjadi punca pendapatan mesti diurus dengan cekap bagi pengeluaran hasil optimum.

Mengoptimumkan penggunaan tanah di ladang dan kawasan FELDA juga boleh membantu peneroka bergantung kepada pinjaman sara hidup, dengan menjalankan tanaman integrasi kontan ke atas ladang yang sedang menjalani proses tanam semula. Pengerusi dan Pengarah Besar FELDA perlu selalu turun ke lapangan bagi mendengar pendapat segenap peringkat, agar solusi lebih tepat dapat dilaksanakan.

Kedua-dua mereka besar peranannya dalam membawa harapan warga FELDA bagi memulih dan mengembalikan kegemilangan, serta membongkar pelaku yang merosakkan agensi itu selama ini.

Penulis adalah Setiausaha Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK)

1388 dibaca
Berita Harian X