Isnin, 25 Februari 2019 | 11:00am

Gelisah masa depan punca kelakuan terlanjur aktif

TIDAK mungkin akan ada tindakan kerajaan disambut baik pembangkang. Pakar putar belit atau spin doctor pembangkang akan sentiasa mempersendakan langkah kerajaan dengan harapan sokongan rakyat akan luntur.

Terbaru ialah cadangan menggantikan mekanisme tol dengan caj kegunaan waktu puncak.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendahului putar belit pembangkang dengan menyatakan kerajaan mahu memaksa rakyat bangun seawal jam 4 pagi untuk pergi kerja bagi mengelak dikenakan tol.

Apa yang tidak diceritakannya bahawa dalam dunia pekerjaan dan perniagaan sekarang, ramai daripada kita tidak lagi mengikut waktu kerja jam 9 pagi hingga 5 petang. Malah, hampir setiap hari kita terpaksa bekerja lebih masa dan pulang lewat. Selain itu, bagi yang berniaga, bukanlah luar biasa mereka keluar seawal jam 3 atau 4 pagi. Berikutan itu, langkah kerajaan menawarkan potongan 30 peratus terhadap tol pada waktu bukan puncak dan tiada caj antara jam 11 malam hingga 5 pagi, amat dialu-alukan pengguna yang nampak mereka akan mendapat manfaat daripada perubahan itu.

Jadi kenapa Najib sepantas kilat celupar menghukum langkah kerajaan ini.

Ada seorang rakan wartawan berkongsi teorinya. Katanya, semasa kecil di kampung dulu, apabila pulang dari solat Isyak di surau dan terpaksa melalui kubur, kita akan berjalan pantas dan cakap melalut tanpa henti untuk melenyapkan rasa ketakutan. Agaknya begitulah kelakuan seseorang yang berdepan dengan tuduhan di mahkamah, yang ingin melupakan keresahannya. Apabila gelisah, seseorang itu menjadi terlanjur aktif. Wallahu A’lam.

Salahkan dasar

Apa sekali pun, kita dimaklum Najib juga aktif dalam facebook minggu lalu. Kali ini dia cuba menyalahkan dasar Perdana Menteri Ke-4 di atas segala masalah dihadapi FELDA.

Pendek kata, Najib menjustifikasi keputusannya menyenaraikan FGV bagi menampung kos penanaman semula pokok sawit di ladang FELDA secara besar-besaran berikutan, katanya 50 peratus pokok sawit di ladang FELDA ketika itu adalah pokok tua.

Najib mendakwa jika tidak buat begitu, FELDA mungkin tidak wujud lagi pada masa depan.

Hakikatnya, hujah Najib ini meleset sama sekali.

Kita difahamkan, sebelum FELDA menyerahkan ladangnya seluas 360,000 hektar (melalui Perjanjian Sewa Tanah-LLA) kepada FGV, purata hasil daripada ladang berkenaan ialah 22 tan sehektar.

Selepas lima tahun FGV disenaraikan, purata hasil dari ladang itu sudah merosot kepada 15 tan sehektar.

Kalau sebelum FGV disenaraikan, FELDA mendapat pulangan purata RM1.2 bilion setahun daripada ladang LLA itu, namun kini hanya RM250 juta setahun daripada pajakan yang dibayar FGV, selain 15 peratus perkongsian keuntungan - itu pun jika FGV catat keuntungan.

Kesimpulannya, tindakan Najib menyenaraikan FGV ini sudah menyebabkan FELDA kehilangan punca pendapatan yang stabil dan mencukupi untuk meneruskan kelangsungan kegiatannya bagi menambah baik kehidupan peneroka.

Jika model perniagaan FELDA sebelum penyenaraian FGV tidak diganggu oleh Najib, FELDA tidak akan mempunyai masalah aliran tunai sehingga terpaksa meminjam bagi menampung keperluan peneroka.

666 dibaca
Berita Harian X