Isnin, 11 Februari 2019 | 11:01am
- Foto Hiasan

UMNO, PAS harus jujur perjuang nasib peneroka

FELDA muncul lagi di dada akhbar. Kali ini sebuah akhbar negara jiran melaporkan minggu lalu agensi kerajaan itu yang menjaga lebih 110,000 peneroka berusaha membatalkan janji niaga bernilai lebih RM2 bilion yang dimasukinya dengan jutawan Indonesia, Peter Sondakh. Janji niaga penuh kontroversi itu menyaksikan FELDA membeli pegangan 37 peratus dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP), milik Rajawali Group yang dikuasai Sondakh.

Menurut laporan itu, Lembaga Pengarah FELDA baru yang dilantik kerajaan Pakatan Harapan, menerusi satu surat Januari 3 lalu, menuntut Sondakh membayar semula kepadanya harga belian asal EHP bernilai AS$505 juta, bersama faedah enam peratus setahun, atas alasan Rajawali tidak memenuhi syarat perjanjian.

Sondakh diketahui umum adalah rakan karib Datuk Seri Najib Razak yang sebagai menteri menjaga FELDA sebelum ini sudah tentu amat arif berhubung janji niaga FELDA-Rajawali itu yang dimeterai setahun lalu, ketika mantan Perdana Menteri itu masih berkuasa.

Kolum ini beberapa minggu lalu ada mencadangkan agar FELDA cuba keluar daripada perjanjian itu sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada kemelut aliran tunai dan hutang yang dihadapi agensi kerajaan itu sekarang. Namun, terbukti sukar Sondakh untuk menyetujui membeli semula saham EHP daripada FELDA pada harga belian asal 590 Rupiah sesaham, memandangkan harga saham semasa EHP yang disenaraikan di Bursa Efek Jakarta ialah 170 Rupiah sesaham.

Rajawali, syarikat milik Sondakh itu sudah pun memaklumkan kepada FELDA, pihaknya akan mencabar tuntutan itu di mahkamah. Jika dibawa ke mahkamah, sudah tentu kes itu akan diheret bertahun-tahun lamanya, sebelum sebarang penyelesaian muktamad dapat dicapai.

Sementara menunggu penyelesaian mahkamah, FELDA akan terus dibebani masalah aliran tunai kerana saham EHP dibelinya sebelum ini dibiayai dengan hutang. Selagi kemelut hutang itu berterusan, FELDA tidak akan berupaya memberi khidmat yang sempurna kepada peneroka yang kini terjejas teruk akibat kejatuhan harga minyak sawit dunia.

Punca pentadbiran terdahulu

Apa yang kita hairan, pemimpin parti pembangkang, terutama dari UMNO dan PAS, seoalah-olah tidak jujur dalam menyuarakan kesengsaraan yang dihadapi peneroka sekarang. Dalam pada mereka suka menuding jari kepada Kerajaan Pakatan Harapan di atas segala masalah kewangan dihadapi peneroka, mereka sengaja melupakan hakikat bahawa masalah dihadapi FELDA sekarang berpunca daripada tindak-tanduk pentadbiran terdahulu.

Baik pemimpin UMNO atau PAS, mereka memilih untuk menyepi apabila sesuatu isu itu membabitkan Najib. Tidak pernah kita dengar pemimpin UMNO dan PAS mendesak Najib memujuk rakan karibnya, Sondakh memulangkan duit FELDA itu. Sekalipun Sondakh kini mahu membawa FELDA ke mahkamah, orang UMNO dan PAS terus berdiam. Najib pun diam. Apakah mereka tidak kasihan dengan nasib peneroka yang akan terus terbeban jika FELDA diheret ke mahkamah? Atau apakah mereka sebenarnya lebih pentingkan nasib politik mereka sendiri?

Penulis ialah Pengarang Kumpulan BH

Berita Harian X