Khamis, 7 Februari 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Fokus kemampuan rakyat beli rumah

DASAR Perumahan Negara (DRN) 2018-2025 diumumkan kerajaan memberi gambaran menyeluruh kecaknaan pimpinan terhadap golongan kurang bernasib baik serta kurang berkemampuan, demi memiliki tempat tinggal selesa.

Menggariskan lima fokus, 16 strategi dan 57 pelan tindakan sebagai panduan pembinaan rumah sistematik itu, DRN mengambil kira aspek keperluan masyarakat dan kepentingan pembangunan perumahan negara.

Namun, untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan proaktif dan berkesan, semua fokus dinyatakan itu perlu menyelami ekosistem menyeluruh.

Ini termasuk melihat kewajaran pelaksanaan keputusan projek, keseimbangan berdasarkan kemampuan masyarakat setempat, serta keberkesanan penyediaan projek dalam memastikan ekosistem tidak diabaikan sewenang-wenangnya.

Seringkali sesuatu dasar baharu diketengahkan, perkara utama perlu diatasi adalah persepsi rakyat. Bagi DRN pastinya isu kemampuan rakyat untuk memiliki rumah menjadi persepsi utama pelaksanaannya.

Apa pun penting dipastikan setiap strategi dijalankan dengan bersandarkan selang masa sesuai dan perkembangan pelaksanaannya disampaikan kepada rakyat secara telus serta konsisten.

Dasar boleh dilaksana

Isu ketidakmampuan membeli rumah mengikut harga pasaran dengan ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan mengikut lokasi, menjadi soal utama dalam dasar ini.

Justeru, beberapa perkara perlu dilihat secara terperinci, sedangkan sehingga kini tiada kajian menyeluruh dilaksanakan atau ketelusan kajian dalam melaporkan hasil dapatan dengan isu berkaitan.

Strategi menyediakan Sistem Pangkalan Data Bersepadu amat tepat untuk mengatasi masalah ini, namun kewajaran dan kesahihan data menjadi keutamaan terhadap ketepatan pelaporan dan kawalan bagi isu diketengahkan.

Pembabitan agensi yang berhubung kait perumahan negara perlu diserap dan diutamakan, agar kesepakatan dalam pelaksanaan dasar dapat memberi hasil jelas kepada serta tidak mengelirukan rakyat.

Isu mampu milik perlu meliputi input menyeluruh, seperti kemampuan isi rumah yang perlu dinilai terperinci dan berdasarkan ratio lokaliti.

Bancian secara rawak perlu diatasi dalam memastikan keperluan dan kemampuan lebih tepat. DRN ini mengupas kos pembiayaan perumahan dan pengangkutan sebagai antara perbelanjaan terbesar dalam belanjawan isi rumah.

Rakyat berusaha berubah

Antara 2004 dan 2016, gabungan kedua-dua kos ini menunjukkan kenaikan 104.6 peratus, yang mana peratusannya hampir sama dengan pertumbuhan pendapatan isi rumah iaitu 114.2 peratus.

Ini menunjukkan rakyat sentiasa berusaha menambah pendapatan, demi menampung peningkatan kadar kos pengangkutan.

Bagaimanapun peningkatan kos pengangkutan berkadar langsung dengan pembiayaan rumah dan kos lain dalam kehidupan seharian, menyebabkan kemampuan sebenar masih tidak dapat dicapai. Ia juga menyebabkan kehidupan terus di bawah paras kemampuan.

Oleh itu, DRN perlu melihat dengan serius kadar pengurangan harga rumah mampu milik supaya rakyat merasai apa yang menjadi fokus utama kewujudan dasar ini.

Pendapatan isi rumah perlu dilihat agar mencapai peningkatan 200 peratus atau lebih, bukan sekadar 100 peratus bagi memastikan keseimbangan dan kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya, kos keperluan harian dalam kehidupan rakyat perlu dipantau dan dikawal sebaiknya, agar kadar pendapatan isi rumah benar-benar dinikmati rakyat.

DRN 2018-2025 menjadi tunjang utama kepada rakyat menilai kesungguhan pimpinan baharu negara. Pendekatan menyeluruh dinyatakan dalam dasar itu memberi harapan sangat tinggi buat rakyat.

Pelaksanaan dasar merangkumi peringkat mikro dan makro dengan mengambil kira aspek ekosistem bersepadu yang telus bermula dari peringkat analisis, perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian sehingga ke peringkat pelaporan diharapkan menjadi realiti.

Penulis adalah Pengurus Technovation Park Pusat Kajian Harta Tanah Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

285 dibaca
Berita Harian X