Ahad, 3 Februari 2019 | 11:28am
GAMBAR fail, aliran trafik berikutan cuti persekolahan sempena sambutan Tahun Baru Cina di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Ubah sikap pemanduan, rancang perjalanan

Saban tahun apabila tiba musim perayaan dan bermulanya fenomena balik kampung, tidak kira ketika Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali atau Krismas, yang pasti jumlah kemalangan jalan raya dan kematian akan meningkat.

Selasa ini masyarakat Tionghua menyambut Tahun Baharu Cina, dan seperti biasa pergerakan jutaan kenderaan serta manusia untuk balik kampung sudah pun bermula. Sedihnya setiap kali musim perayaan sebegini, ada antara mereka tidak sampai ke destinasi ditunggu orang tersayang.

Keterujaan menyambut musim perayaan bersama keluarga dan sanak saudara bagi banyak keluarga pasti berubah menjadi mimpi ngeri kerana orang yang ditunggu tidak sampai, disebabkan korban atau kecederaan parah ketika dalam perjalanan balik kampung.

Mengikut rekod Kementerian Pengangkutan, setiap tahun hampir setengah juta kemalangan jalan raya direkodkan di negara ini dengan
jumlah kematian di antara 6,500 hingga 7,500 orang.

Purata 25 terkorban di jalan raya setiap hari

Rekod berkenaan menunjukkan purata 25 terkorban di jalan raya Malaysia setiap hari.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan setiap tahun hampir 1.5 juta terkorban dalam nahas jalan raya di seluruh dunia, dengan lebih separuh daripadanya disumbang negara seperti India, China, Amerika Syarikat, Eritrea, Mesir dan Libya yang kadar kematian mencecah 30 hingga 48 bagi setiap 100,000 penduduk.

Menurut data sama, pada 2016 Malaysia mencatat 23 kematian bagi 100,000 penduduk. Dengan jumlah penduduk hampir 30 juta, kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang terkorban di jalan raya setiap tahun.

Angka kematian ini disifatkan sangat tinggi bagi sebuah negara pesat membangun seperti Malaysia kerana kadarnya sudah menghampiri purata kematian negara berpendapatan rendah atau mundur.

Mengikut laporan Bloomberg, purata kematian negara maju ialah 9.3 kematian bagi 100,000 penduduk, manakala kadar bagi negara berpendapatan sederhana ialah 18.4 dan negara berpendapatan rendah 24.1 peratus.

Jika dilihat pada jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya Malaysia, ia meningkat hampir setiap tahun sejak 1997, walaupun indeks kematian bagi 100,000 penduduk menunjukkan penurunan daripada 29.10 pada 1997, 23.10 pada 2007
dan 21.06 pada 2017. Disebabkan jumlah penduduk dan kenderaan berdaftar yang terus bertambah setiap tahun.

Pada 1997, kita hanya mempunyai 8.5 juta kenderaan berdaftar bagi 21 juta penduduk, meningkat dua kali ganda pada 1997 kepada 16.8 juta kenderaan bagi jumlah penduduk yang mencapai 27 juta orang, manakala pada 2017 jumlah kenderaan berdaftar melonjak kepada 28.7 juta untuk 32 juta penduduk.

Kajian MIROS

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati kira-kira 60 hingga 65 peratus daripada yang maut dalam kemalangan jalan raya setiap tahun ialah penunggang atau pembonceng motosikal dan hampir 80 peratus berpunca daripada kesilapan manusia, iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Kadar kemalangan maut paling tinggi membabitkan orang muda yang berumur di antara 16 hingga 25 tahun.

Pastinya, Ops Sikap atau Ops Selamat yang dilancarkan setiap kali musim perayaan tidak akan banyak membantu kecuali pengguna jalan raya sendiri mengubah sikap. Cadangan Menteri Pengangkutan,
Anthony Loke supaya keselamatan jalan raya jadi kurikulum pendidikan boleh dilihat satu langkah positif, namun diharap ia tidak seperti melepaskan batok di tangga kerana ini bukan kali pertama disebut.

Bagi mereka yang merancang balik kampung atau dalam perjalanan, berhati-hati di jalan raya. Ingatlah orang tersayang sedang menunggu kita. Gong Xi Fa Cai untuk seluruh masyarakat Tionghua.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Berita & Digital

223 dibaca
Berita Harian X