Sabtu, 2 Februari 2019 | 11:04am
Menimba kemahiran di Kolej Vokasional sejajar Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). - Gambar hiasan

Atasi keciciran pelajar, bukan menghukum

Cadangan Kementerian Pendidikan mewajibkan setiap pelajar mendapat pendidikan sehingga Tingkatan Lima membuktikan kesungguhan meningkatkan tahap pendidikan rakyat.

Namun, hasrat meminda Seksyen 29A Akta Pendidikan 1966 dan memasukkan denda RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, perlu diperhalusi. Hakikatnya, tiada ibu bapa ingin melihat anak masing-masing tidak bersekolah.

Bagi yang bakal berada dalam sasaran peraturan ini khususnya kumpulan B40, pindaan ini mengundang kegelisahan. Bukan kerana perlu memastikan anak bersekolah sehingga Tingkatan Lima, tetapi resah mereka apabila gagal mematuhi peraturan sehingga didenda RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mampukah mereka membayar denda sebesar itu, sedangkan hendak menghantar anak ke sekolah pun tidak mampu.

Bayangkan penoreh getah, pesawah, nelayan, pekerja binaan atau ibu tunggal dipenjara kerana hal ini. Siapa akan tanggung keluarga mereka. Apakah gelaran bakal anak terima lantaran ibu atau bapa dipenjara kerana tidak mampu menyekolahkannya.

Tergamakkah seorang hakim menjatuhkan hukuman, padahal kehidupan ibu bapa jelas ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Timbang sebelum lulus pindaan

Kementerian Pendidikan patut cakna dan prihatin mengambil kira ada yang memang tidak meneruskan persekolahan kerana kemiskinan.

Ada kes pelajar bekerja menjual burger pada malam hari untuk mencari duit poket. Ada juga mengambil upah di gerai makan selepas waktu sekolah atau cuti mingguan kerana kesempitan keluarga. Tidak kurang juga ‘selang-seli’ hadir ke sekolah kerana tidak cukup wang untuk membayar tambang bas.

Sewajarnya, kelompok ini diberi keutamaan kerana mereka berisiko keciciran. Justeru, sebelum meluluskan pindaan paling kurang empat aspek penting perlu diambil kira.

Pertama, ibu bapa atau penjaga memang tidak mampu membiayai persekolahan anak atau jagaannya, sehingga tidak dapat meneruskan persekolahan.

Kedua, sikap anak yang tidak ingin meneruskan persekolahan peringkat menengah, kerana ingin bekerja membantu keluarga.

Ketiga, implikasi peraturan terhadap pertambahan bebanan guru sedia ada kerana terpaksa mengurus satu lagi rutin tugasan. Akhir sekali, implikasi terhadap perundangan negara.

Semua ini perlu dikaji agar pelaksanaannya lebih adil, bukan bersifat memudaratkan atau menzalimi. Peraturan dirangka perlu lebih mendidik kerana Kementerian Pendidikan bukan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memerlukan tindakan keras dan agresif.

Kaedah lebih baik

Dalam situasi tekanan kos sara hidup, Kementerian Pendidikan perlu memikirkan kaedah lebih baik dan bermaslahah berbanding mengambil pendekatan populis.

Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat perlu diupayakan sebagai platform menangani masalah ini daripada berlarutan.

Jika benar kerajaan ingin mengubah taraf pendidikan rakyat, kembalikan semula matlamat asal penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang mengutamakan pelajar luar bandar tidak berkemampuan.

Berikan biasiswa penuh kepada mereka agar dapat belajar dengan selesa tanpa dihantui masalah kewangan. Bagi yang kurang menyerlah keputusan di peringkat sekolah rendah, beri peluang menimba kemahiran di Kolej Vokasional sejajar Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Namun penting sekali wujudkan pendekatan kesedaran kepada ibu bapa agar mengutamakan pendidikan anak-anak, bukan menggubal peraturan menyusahkan mereka.

Bantulah mereka keluar daripada kepompong kesempitan melalui anak-anak. Jangan lokek memperuntukkan lebih bantuan pendidikan kepada yang layak, agar masa depan anak terjamin dan menjadi aset kepada negara.

Penulis adalah Pensyarah Pengajian Malaysia Dan Hubungan Etnik, UniKL Royal Collage Of Medicine Perak

637 dibaca
Berita Harian X