Jumaat, 25 Januari 2019 | 11:01am
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019 pada pemilihan Seri Paduka Baginda yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) di Istana Negara. - Foto hiasan

Pemilihan Agong penerus syura Majlis Raja-Raja

MESYUARAT Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara semalam, memilih Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Dalam mesyuarat sama, Raja-Raja Melayu memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Perisytiharan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja adalah akuan penerusan tradisi dalam pusingan kedua pemilihan ketua negara Malaysia.

Kaedah pemilihan dalam pusingan kedua Yang di-Pertuan Agong, diperuntukkan Seksyen 4(3) dan (4) Jadual III Perlembagaan Persekutuan.

Kaedah pemilihan dibina daripada senarai pemilihan pertama berasaskan keutamaan diri seorang Raja, apabila baginda naik takhta di negeri masing-masing.

Dua kaedah pemilihan

Selepas barisan Raja dalam senarai pemilihan pertama terpilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, senarai itu disusun semula mengikut Raja bertakhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, dengan diubah mengikut dua kaedah.

Pertama, mana-mana negeri dalam senarai itu yang mendahului negeri yang rajanya sudah dipilih, hendaklah dipindahkan (mengikut susunan negeri itu dalam senarai ketika itu) ke hujung senarai.

Kaedah kedua pula, negeri yang Raja dipilih hendaklah diletakkan terakhir sekali. Ringkasnya, susunannya ditentukan mengikut negeri di kedudukan paling kanan.

Kaedah pemilihan Yang di-Pertuan Agong dalam pusingan kedua dan seterusnya akan lebih mudah difahami sekiranya dilihat pada dua amalan sebelum ini.

Pada 2001, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-12 walaupun baginda naik takhta sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000. Ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin menaiki takhta sebagai Sultan Terengganu lebih awal, iaitu pada 15 Mei 1998. Hal ini kerana dalam senarai disusun semula ketika itu, Raja Perlis berkedudukan teratas.

Amalan sama berlaku apabila Sultan Muhammad V terpilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15. Ketika Sultan Muhammad V dipilih, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menaiki takhta sebagai Sultan Johor beberapa bulan lebih awal dalam tahun 2010.

Menurut Jadual III Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negeri baginda pertama dalam senarai pemilihan. Jika Raja itu tidak menerima jawatan berkenaan, tawaran hendaklah dibuat kepada Raja negeri berikutnya selepas negeri teratas dalam senarai itu (yang telah menolak).

Amalan pengundian

Dalam peristiwa bersejarah pada 24 Januari 2019, Al- Sultan Abdullah berkenan menerima tawaran sebagai Yang di-Pertuan Agong, maka baginda akan melafazkan sumpah jawatan pada 31 Januari nanti.

Jika diperhatikan prosiding pemilihan Yang di-Pertuan Agong disiarkan Majlis Raja-Raja, ternyata terdapat amalan pengundian untuk memilih Yang di-Pertuan Agong.

Hal ini menunjukkan bagaimana Raja-Raja Melayu amat menitikberatkan amalan syura sebagai tambahan peruntukan dalam Jadual III di atas.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seorang Raja layak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, kecuali raja itu belum dewasa atau telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa baginda tidak berhasrat dipilih.

Majlis Raja-Raja juga boleh mengambil ketetapan disokong sekurang-kurangnya lima undi sulit, bahawa raja itu tidak sesuai menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong. Ini disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.

Selepas terpilih, Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menjalankan fungsi rasmi selepas baginda berdua menandatangani sumpah jawatan dalam istiadat di hadapan Majlis Raja-Raja yang disaksikan Ketua Hakim Negara, dengan ditandatangani dua saksi dilantik Majlis Raja-Raja.

Penulis adalah Pemegang PhD (Undang-Undang Perlembagaan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Penasihat Gabungan Melayu Islam Beraja (MI’RAJ)

456 dibaca
Berita Harian X