Jumaat, 11 Januari 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Integriti dalam pengurusan air elak ketirisan

Isu kenaikan harga air di beberapa negeri hangat diperkatakan di media massa kebelakangan ini. Sudah tentu kenaikan ini akan mendapat bantahan masyarakat kerana bakal mencetus fenomena lain-lain kenaikan seperti harga barangan.

Namun apa yang menjadi persoalan penting, ialah mutu perkhidmatan bekalan air itu sendiri. Adakah ia lebih cekap. Bagaimana pula kualiti air yang sampai kepada pengguna sama ada ia selamat untuk digunakan. Sejauh mana pula perkhidmatan bekalan air bersih ini dapat dikecapi oleh penduduk yang tinggal di perkampungan terpencil.

Walaupun negara bakal menerjah 2020 sebagai sebuah negara maju, masih terdapat kawasan pedalaman yang belum memperoleh bekalan air bersih. Keadaan paip air juga usang dan berkarat, manakala kualiti air dipertikaikan.

Utama kualiti, mutu perkhidmatan

Harga air yang dinaikkan wajar diseimbangi dengan kualiti serta mutu perkhidmatan yang baik. Jangan terlalu mengejar keuntungan, tetapi mengabaikan mutu dan kualiti perkhidmatan diharapkan rakyat.

Air adalah sumber yang penting dalam kehidupan manusia, justeru pengelolaan dan penyampaian perkhidmatan bekalan air menjadi suatu kemestian dan kewajipan pemerintah.

Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang disalurkan kepada pihak dipertanggungjawabkan untuk menguruskan air di sesebuah negeri, meningkat dari setahun ke setahun dan mencecah bilion ringgit.

Peruntukan besar ini jika tidak dipantau dan diuruskan dengan berintegriti, pasti akan mengalir dan tiris sebagaimana paip yang bocor, ke poket pihak yang berkepentingan.

Skandal Jabatan Bekalan Air Sabah membuktikan penyelewengan dalam pengagihan kontrak dan tender pembinaan serta penyenggaraan air berlaku.

Kesannya walaupun beratus juta per- untukan disalurkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air, matlamat ini tidak tercapai akibat daripada rasuah dan salah guna kuasa pihak berwajib.

Sesebuah agensi atau badan dipertanggungjawabkan dalam pengurusan air wajar diperkemaskan dan berlandaskan undang-undang, dasar serta peraturan yang ketat.

Terap elemen integriti

Kakitangan yang dilantik wajar diterapkan dengan elemen integriti bagi memastikan peruntukan yang besar dapat digunakan sepenuhnya bagi mempertingkatkan kualiti dan perkhidmatan bekalan air secara keseluruhannya.

Masalah catuan pada musim kemarau, bekalan air berkarat, paip bocor, penyelenggaraan lemah, kecurian air, bekalan air tidak sampai ke sesuatu kawasan dan sebagainya, harus diatasi sebelum sesuatu keputusan kenaikan harga tarif air dibuat.

Rasuah dan penyelewengan projek bekalan air wajar dipantau dari semasa ke semasa. Pemberian projek kepada syarikat kroni, tuntutan palsu, projek ‘ali baba’ dan monopoli projek, wajar dikaji dan diatasi menerusi penambahbaikan undang-undang dan peraturan sedia ada.

Kerugian dialami syarikat atau badan dilantik untuk menguruskan perkhidmatan air, jika dikaji berpunca daripada kelemahan pengurusan dan penyelewengan.

Oleh itu, perbetulkan dahulu struktur dan standard prosedur operasi sebelum menuding jari kepada lain-lain faktor.

Penulis dalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

207 dibaca
Berita Harian X