Isnin, 7 Januari 2019 | 11:00am
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto NSTP

Guan Eng harus guna amalan 'bulat kata kerana muafakat'

Episod penetapan harga runcit petrol sudah selesai. Akhirnya harga bahan api itu diturunkan menerusi kaedah apungan mingguan selaras dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Kedua-dua pihak yang bertentangan kepentingan iaitu pengguna dan pengusaha, jelas berpuas hati - pengguna dapat harga minyak yang lebih rendah, pengusaha pula dapat tambahan komisen.

Namun, sebelum penyelesaian diumumkan Jumaat lalu banyak pula drama yang perlu ditempuhi. Ia bermula dengan desakan pelbagai pihak - termasuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli - agar harga minyak diturunkan selaras dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Rentetan itu, Kementerian Kewangan sebelum Hari Natal mengumumkan harga minyak runcit akan diturunkan pada 1 Januari.

Bagaimanapun, belum sempat hari tahun baharu itu, pengusaha stesen minyak pula tampil membantah atas alasan mereka akan menanggung kerugian.

Berikutan itu, kerajaan terpaksa pula menangguhkan penurunan yang asalnya dijadualkan pada 1 Januari itu sehinggalah pengumuman Jumaat lalu.

Dari kaca mata orang luar, kita melihat Kementerian Kewangan bersikap dolak-dalik atau flip-flop dalam bahasa orang politik sekarang.

Bukankah ‘bulat kata kerana muafakat’ amalan yang tepat untuk diamalkan sebelum sebarang keputusan dibuat?

Tidakkah kementerian menyantuni semua pemegang taruh terlebih dulu sebelum keputusan dibuat?

Jika ia diguna pakai tidaklah terpaksa berdolak-dalik kerana melaluinya sudah tentu kepentingan semua sudah diambil kira. Maka tidaklah pula pengusaha stesen minyak melenting, memaksa Kementerian Kewangan mengubah tarikh pelaksanaan keputusannya. Tidaklah pula Kabinet pada mesyuarat pertamanya untuk tahun baharu mengambil masa membincang semula keputusan kementerian kewangan yang jelas kurang bulat itu.

Selesai episod ini, tertanya pula daripada mana datangnya komisen tambahan itu. Apakah ia daripada kantung kerajaan atau syarikat pengeluar minyak? Ini lupa agaknya dimuatkan dalam kenyataan akhbar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Kerajaan Pulau Pinang penuhi impian Tun M

Pada minggu yang baru berlalu, Pulau Pinang melancarkan pemasangan sistem CCTV berkeupayaan Kepintaran Buatan atau Artificial Intelligence (AI).

Kamera CCTV yang mampu mengenal pasti penjenayah itu dipasang di lokasi strategik di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Kerajaan Pulau Pinang bangga dengan hakikat bahawa ia sistem pertama seumpamanya dipasang di Malaysia, dan mahu melihat
Kerajaan Persekutuan memperluaskan pemasangan sistem itu ke seluruh negara.

Kerajaan negeri itu tidak mengumumkan syarikat mana yang berjaya memenangi kontrak pemasangan sistem CCTV berteknologi AI itu yang dilakukan secara tender terbuka.

Namun, menurut laman sesawang MBPP, syarikat tempatan dilantik membekal, memasang dan menyelenggara sistem berkenaan.

Kita tidak pasti apakah syarikat itu sendiri membangunkan aplikasi digunakan sistem CCTV itu. Bagaimanapun, tidak memeranjatkan syarikat tempatan berkeupayaan demikian, bukan hanya untuk aplikasi pemantauan tetapi bermacam aplikasi lain.

Apa yang lebih mengagumkan kontrak itu membabitkan aplikasi teknologi tinggi. Inilah hasil ilham Tun Dr Mahathir Mohamad mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Kita yakin banyak lagi syarikat tempatan, termasuk Bumiputera sudah menguasai teknologi AI yang mampu dimanfaatkan negara.

Malah, sudah ada pun syarikat Bumiputera di Cyberjaya menyediakan aplikasi teknologi AI kepada firma dari Amerika Syarikat sekalipun. Apa yang dinantikan ialah kerelaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kita sendiri untuk membuka peluang kepada mereka ini.

Jack Ma - hartawan internet China yang bernilai hampir AS$40 bilion - bermula dengan peluang yang diberi oleh GLC dari negara tembok besar itu. Malangnya di negara kita, GLC lebih gemar mendapatkan kepakaran asing.

Berbuih mulut parti seperti Bersatu serta UMNO sebelum ini mengetengahkan Agenda Melayu dan berkajang-kajang berita sudah akhbar ini melaporkannya. Namun, jika GLC - rata-rata diterajui oleh orang Melayu sendiri - masih buta dan pekak, tidak mungkin kita boleh wujudkan Jack Ma atau Steve Job dalam kalangan bangsa Melayu.

Pilihan melapor atau tidak melapor

Minggu lalu juga menyaksikan tularnya khabar angin berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Agong. Walaupun sudah tersebar luas di media sosial, akhbar ini enggan melaporkannya sehinggalah mendapat pengesahan atau penafian secara rasmi. Begitu juga dengan berita penahanan anak Mohamad Sabu. Kami enggan menyebut namanya dalam platform online sekalipun, sehingga menteri pertahanan itu sendiri mengesahkan anaknya ditahan.

Biarlah platform berita lain, blogger mahupun media sosial menang dengan khabar angin dan spekulasinya, kami mahu menang dengan maklumat yang diakui sahih.

Penulis ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian

1565 dibaca
Berita Harian X